Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Konflik timur tengah serlahkan perpaduan, rakyat kecam pengganasan: AP Melayu

Nov 06, 2023 | 07:37 PM



Biarpun berpandangan berbeza, rakyat Singapura mengongsi titik persamaan dalam mengecam penggunaan keganasan selain menyuarakan keprihatinan terhadap angka korban orang awam yang semakin meningkat, terutama kanak-kanak.

Sejak konflik antara Israel-Palestin bermula, masyarakat Singapura juga telah menunjukkan perpaduan mereka dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan, dan mendoakan agar perang yang berlaku sejak sebulan lalu dapat segera ditamatkan secara aman. 

Demikian dinyatakan beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam ketika membahaskan tentang usul mengenai konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, di Parlimen pada Isnin.

Usulan ‘Perpaduan, Keselamatan dan Keamanan’ telah dibentangkan Encik Vikram Nair (GRC Sembawang) dan disokong dua lagi AP, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Choa Chu Kang) dan Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee).

Antara lain, usulan tersebut mencadangkan agar Dewan merakamkan ucap takziahnya kepada semua mangsa perang dan orang awam yang terkorban; menyokong penghantaran segera bantuan kemanusiaan kepada masyarakat awam di Gaza serta mengutuk mereka yang bertanggungjawab ke atas tindakan pengganasan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Encik Zhulkarnain berkata, beliau terharu melihat bagaimana masyarakat Singapura dari pelbagai lapisan masyarakat telah berganding bahu dalam usaha untuk memberikan bantuan kemanusiaan.

Ini termasuk menghulurkan bantuan untuk membekalkan keperluan perubatan, membuat derma bagi membantu masyarakat terjejas oleh konflik Israel-Palestin di Gaza serta menunaikan solat hajat beramai-ramai di masjid-masjid serata negara anjuran Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). 

“Saya terkesan dengan bantuan derma yang memberangsangkan untuk bantuan kemanusiaan di Gaza bukan sahaja daripada masyarakat Melayu Islam kita, tetapi dari semua masyarakat Singapura. 

“Ini menunjukkan bahawa usaha kita bersama adalah tanpa mengira bangsa, agama atau usia. 

“Secara rohani masyarakat Melayu/Islam kita juga telah memanjatkan doa untuk kedamaian dalam masjid-masjid kita melalui solat-solat hajat dan doa qunut nazilah dalam solat. 

“Ramai jemaah kita (tua dan muda) yang turut hadir. Ini bukan sahaja saluran rohani kita tetapi juga mencerminkan kepada semua bahawa agama kita mengajar kita untuk menitikberatkan belas ihsan, kedamaian dan perikemanusiaan,” kata Encik Zhulkarnain. 

Sejak memulakan kempen bantuannya pada 19 Oktober, lebih $4.6 juta telah dikumpul Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Ini jelas menunjukkan kesediaan rakyat Singapura membantu masyarakat terjejas oleh konflik Israel-Palestin di Gaza.

Namun begitu, Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio) menekankan bantuan kemanusiaan tidak mencukupi untuk memulihkan dan membangunkan semula sebuah rakyat. 

“Untuk mencapai keamanan yang berkekalan bagi semua pihak, penyelesaian jangka panjang harus diusahakan,” katanya.

Justeru, ketetapan bagi melindungi keselamatan orang awam dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan. 

Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) berkata, beliau gembira pemerintah Singapura telah mengundi untuk menyokong resolusi ini.

“Resolusi ini menyeru untuk gencatan senjata kemanusiaan yang segera, penyediaan bekalan penting kepada rakyat awam di Gaza, dan menegaskan semula bahawa penyelesaian konflik harus melalui penyelesaian dua negara yang damai,” kata beliau.

Dr Wan Rizal turut meletakkan harapan agar pihak pemerintah terus mendekati masyarakat, memberi ruang untuk mendengar rintihan mereka dan memberi penjelasan yang sewajarnya. 

“Kita harus mengambil kesempatan ini untuk mendidik dan memberi pencerahan kepada masyarakat kita tentang isu-isu global ini, dan menjelaskan bagaimana Singapura, sebagai negara kecil, memainkan peranannya di pentas global untuk mendorong perdamaian dan kemanusiaan. 

“Ini adalah tanggungjawab kita, untuk menjadikan masyarakat kita lebih memahami dan bersedia untuk menghadapi cabaran di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) berkata, kesan konflik yang berlarutan di Gaza, dan jika ia merebak atau bertambah buruk, akan memberi kesan ekonomi dan kewangan secara global.

Beliau berkata, ahli ekonomi telah menyuarakan kebimbangan bahawa pertempuran antara Israel dan Hamas yang semakin meningkat berkemungkinan akan membawa dunia ke arah kemelesetan, dan Singapura tidak terkecuali.

Sama seperti perang Russia-Ukraine, konflik besar di Timur Tengah juga mungkin mempunyai kesan harga yang sangat luas merentasi julat harga komoditi, tambah beliau.

“Semua ini akan membawa kepada ‘eksternaliti’ negatif dan kesan ke atas harga di Singapura dalam masa yang singkat.

“Adalah demi kepentingan kami juga untuk memastikan konflik ini tidak berpanjangan, bukan sahaja penting untuk menyelamatkan nyawa yang tidak bersalah, tetapi juga untuk melindungi kebajikan rakyat Singapura pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam ucapannya, AP Dilantik (NMP), Dr Razwana Begum Abdul Rahim, berpendapat usul ini amat relevan bagi keselamatan awam Singapura.

Beliau berkata, ia berkait secara langsung dengan keharmonian kaum di negara ini, kewajipan rakyat Singapura untuk mencegah ancaman keselamatan, serta komitmen untuk mengetengahkan kebimbangan orang ramai.

“Sokongan kita untuk keamanan dan kecaman terhadap tindakan keganasan bergema bukan sahaja di pentas antarabangsa tetapi di dalam sempadan kita sendiri.

“Sambil kita merenung krisis ini, marilah kita mengingati nilai perpaduan, keselamatan dan keamanan kepada negara kita,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >