ARS WAJIB

Mufti perjelas proses daftar bagi asatizah yang belum

SEMUA asatizah setempat harus mendaftarkan diri di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dalam tempoh tiga bulan selepas skim itu dijadikan mandatori mulai 1 Januari 2017.

Demikian didedahkan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram dalam perbincangan meja bundar Berita Harian mengenai ARS baru-baru ini.

Sebagai antara ciri baru skim tersebut, Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) berkata semua pusat pendidikan Islam swasta juga diberi masa sehingga setahun bagi memastikan semua guru agama dan asatizah mereka diiktiraf ARS selepas skim itu menjadi mandatori.

Pusat swasta itu diberi masa lebih lama bagi membolehkan guru mereka mendapatkan pensijilan relevan selain memastikan semua guru mereka dapat menyertai skim baru itu.

Kini, semua asatizah yang mengajar di masjid dan madrasah sepenuh masa harus memiliki pengiktirafan ARS itu untuk membimbing kelas agama, kata Mufti.

Antara kelayakan minimum yang perlu diperolehi di bawah ARS ialah diploma dalam pengajian Islam daripada institusi diiktiraf ARB. Bagaimanapun, asatizah yang tidak memiliki kelayakan yang diperlukan itu akan diberi pengiktirafan sementara bagi tempoh tiga tahun sementara mereka mempertingkat diri dengan melanjutkan pengajian bagi meraih keperluan minimum itu.

Sekitar 20 peratus asatizah setempat masih belum mendaftarkan diri di bawah skim itu.

Namun lebih daripada itu, Mufti menarik perhatian satu lagi cabaran iaitu bagaimana membantu asatizah yang sudah mengajar di rumah atau pusat pendidikan swasta sekarang tetapi tidak mempunyai kelulusan yang diperlukan untuk mendapatkan pengiktirafan ARS.

"Kalau mengikut kriteria sekarang, kemungkinan mereka tidak memenuhi kelayakan kalau hendak memohon bagi menyertai ARS.

"Namun dari awal lagi... kami mempunyai kesedaran bagaimana untuk memastikan terdapat garis panduan supaya masyarakat tidak terdedah kepada pimpinan orang yang tidak layak memimpin.

"Kami juga mempunyai kesedaran agar jangan sampai proses dan aktiviti agama itu terbantut. Bagaimana kita nak membantu golongan ini? Mereka mempunyai semangat, keikhlasan dan dedikasi. Mereka juga mempunyai murid yang sudah lama dibimbing. Inilah antara perincian yang Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan ARB sedang fikirkan," kata Mufti.

Buat masa ini, asatizah yang menyertai ARS juga dibahagikan kepada empat kategori - Pelajar (bagi mereka yang sedang mengikuti pengajian Islam di institusi diiktiraf ARB), Sekutu (lulusan minimum Thanawi Aliyyah atau prauniversiti daripada madrasah setempat atau diploma pengajian Islam daripada institusi diiktiraf), Graduan (lulusan minimum Sarjana Muda dalam pengajian Islam daripada institusi diiktiraf), dan Zamil (asatizah yang memberi sumbangan menyerlah dalam pembangunan kehidupan agama dan negara).

Kategori itu akan terus digunakan selepas ARS menjadi mandatori tetapi akhbar ini juga difahamkan ia akan diperhalusi lagi.

Perbincangan meja bundar yang turut disertai Pengerusi ARB, Ustaz Ali Haji Mohamed; pengasas Safinah Institute, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid; dan seorang ibu yang ketiga-tiga anaknya mengikuti kelas madrasah sambilan aLIVE, Cik Hartini Inawati Hamzah, turut menimbulkan beberapa isu lain berhubung ARS termasuk cabaran lain dengan langkah menjadikannya mandatori serta manfaatnya bagi asatizah dan masyarakat.

Skim pelengkap keupayaan asatizah hadapi cabaran masa kini

Mufti: Tiga kriteria perlu dipenuhi sebelum asatizah diiktiraf

 

 

Waktu Solat

Subuh
5:32
Syuruk
6:55
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:58
Isyak
8:13
3 HR PSI: 69
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 2,949.120 +6.070