Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Relawan tinjau isu dadah di kalangan belia semasa cuti sekolah

Wartawan diundang ikut serta sebar mesej antidadah
Jun 30, 2023 | 06:18 PM



Dadah bukan perkara yang jarang ditemui dalam kalangan anak muda.

Dalam sekitar satu setengah jam wartawan akhbar ini mengikuti sekumpulan relawan belia menyebarkan mesej antidadah kepada golongan remaja di kawasan kejiranan pada musim cuti sekolah lalu, sekurang-kurangnya seorang individu dalam kumpulan yang didekati mengakui mereka tahu kenalan rapat yang mengambil dadah, pernah atau mempunyai akses kepada dadah.

Ini termasuk mereka yang mendapatkan dadah menerusi wadah dalam talian seperti Telegram.

Sekumpulan lima relawan belia berusia 18-27 tahun dari IM Volunteers Network meronda kawasan Woodlands pada awal Jun untuk mendekati belia dan mengagih bahan panduan bagi mencegah dadah dan ketagihan.

Mereka berbuat demikian untuk meninjau keadaan dan menunjukkan rasa peduli terhadap rakan sebaya supaya mereka mendapatkan bantuan secepat mungkin jika terjebak dalam kancah dadah, kata ketua kumpulan itu, Encik Imran Maen, 22 tahun, pelajar Politeknik Ngee Ann.

Kumpulan itu menjalankan tinjauan dari 8 hingga 9.30 malam dekat kawasan pusat Woodlands.

Mereka memulakan rondaan di Taman Admiralty – satu kawasan berkumpul popular dalam kalangan remaja.

Rancangannya adalah untuk mendekati kumpulan belia di situ, bertanya khabar dan mengetahui lebih lanjut tentang mereka sebelum bertanya mengenai isu dadah.

Mereka mendekati sebuah kumpulan penunggang basikal fixie, yang dianggotai sekitar 10 individu.


Salah seorang remaja berusia 17 tahun dalam kumpulan itu mengaku dia mempunyai teman-teman yang mengambil dadah.

Kemudian kumpulan relawan itu mendekati sekumpulan tiga orang – dua remaja perempuan dan seorang remaja lelaki – yang lepak di gelongsor.

Encik Imran mendekati mereka sambil bertanya khabar dan kemudian bersembang tentang kegiatan mereka sebelum bertanya jika mereka terlibat dengan dadah.

Kededua remaja perempuan berusia 15 tahun itu mengejek rakan lelaki mereka dengan berkata: “Ah dengar tu!”

Remaja lelaki 17 tahun itu mendedahkan dia pernah ketagih dahulu sejak semasa di menengah satu hingga menengah tiga dan sedang pulih daripada ketagihannya.

Remaja itu, yang enggan mendedahkan identitinya kerana takut dicari kumpulan pengedar dadah, mendapatkan dadah dari satu kumpulan terselindung di Telegram.

Dia menunjukkan kumpulan itu kepada wartawan Berita Harian (BH) – ia mempunyai sekitar 60 anggota, dengan gambar pelbagai bentuk dadah Ice sebagai bahan pemasaran anggota dalam kumpulan itu.


“Saya rasa tak wajar buat benda ini,” kata remaja itu.

Dia mendakwa mengambil dadah disebabkan tekanan keluarga.

“Mereka fikir mereka boleh ‘angkat’ benda (dadah) ini dalam senyap; tetapi bila ditangkap, sia-sia sahaja,” kata remaja itu meluahkan keprihatinannya.

Menurutnya, sekarang lebih ramai orang semakin muda yang “angkat benda ini”.

“Mereka (pengedar) pun memilih budak-budak baik juga,” ujarnya.

Selepas memberitahu remaja itu bahawa identitinya tidak akan didedahkan dan memberi bahan cegah ketagihan kepadanya, kumpulan relawan itu meronda di kawasan di sekitar Pusat Tukaran Bas Woodlands pula.

Di kawasan lapang di bawah landasan MRT yang digelar ‘Titanic’, beberapa kumpulan remaja dilihat beriadah di situ.

Seorang remaja lelaki yang didekati, berusia 17 tahun, dengan tubuh kelihatan susut, mengaku sedang berada dalam keadaan “sober”, atau pulih daripada ketagihan.

Dia pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) dan pernah mengalami relaps, iaitu kemunculan semula gejala ketagihan itu.

Ketika ditanya kenapa terdorong mengambil dadah, remaja itu berkata: “Saya datang dari latar belakang yang agak susah.

“Bila saya dan teman-teman ambil benda ini, kami rasa mungkin ia boleh membebaskan kami daripada tekanan,” tambahnya.

Menjawab pertanyaan BH mengenai dapatan itu, Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata ia sedar terhadap perkembangan terkini pengedaran dadah termasuk penggunaan wadah kiriman teks seperti Telegram.

CNB berkata ia memerhatikan perkara ini sejak 2019 dan lebih 500 pesalah dadah yang terlibat dengan cara begitu telah ditangkap.

“Ramai daripada mereka menyangka aplikasi kiriman teks ini akan membolehkan mereka menjalankan urus niaga secara tersembunyi. Itu sangkaan yang sangat salah,” kata biro itu.

“CNB sedang memantau perkembangan ini dengan teliti dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan kerap terhadap pesalah dadah yang menggunakan wadah Telegram bagi kegiatan mereka.

“Tidak kira wadah atau taktik untuk elakkan diri daripada dikesan, tiada ruang selamat bagi pesalah dadah di Singapura,” tegas CNB.

Encik Imran berkata usaha pasukannya mendekati belia adalah untuk menunjukkan bahawa ada pintu terbuka daripada pihak-pihak tertentu untuk membantu mereka tangani ketagihan dan menjauhi dadah.

“Kami ingin menunjukkan bahawa kami peduli dan mengambil tahu keadaan mereka. Ia juga membantu kami memahami landskap semasa mereka yang terjebak dalam kancah dadah,” kata beliau.







Seorang relawan, Cik Rose Syahindah Selamat, 19 tahun, dari Politeknik Ngee Ann berkata: “Saya jadi relawan sebab ingin menyumbang kepada masyarakat kita.

“Dadah adalah satu isu dalam kalangan anak muda yang terselindung tetapi sebenarnya agak sering ditemui,” ujarnya.

Seorang lagi relawan, Encik Khalid Owens, 19 tahun, berkata beliau terkilan apabila mendapat tahu salah seorang temannya dimasukkan ke DRC.

Kumpulan IM Volunteers Network, yang ditubuhkan pada 2020, antara lain menyokong CNB dan masjid tempatan dalam kempen cegah dadah, ‘Dadah Itu Haram’, serta projek kemasyarakatan lain.

CNB berkata usaha cegah dadah bukan satu usaha yang boleh dilakukan secara bersendirian. Ia memerlukan sokongan masyarakat, ibu bapa, pihak pendidikan dan golongan remaja itu sendiri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >