Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

NURMAN ZAHIN: SARJANA MUDA KEJURUTERAAN (KEJURUTERAAN KIMIA) DENGAN KEPUJIAN KELAS PERTAMA NUS

Tekad hanya mahu menang ubah pelajar 'biasa-biasa' jadi siswa berjaya

Di NUS, Nurman imbangi masa antara belajar dengan kegiatan dalam dua CCA tarian jalanan dan hip-hop - NUS Dance Blast! dan NUS D'Hoppers.
Oct 18, 2021 | 05:30 AM



BERKAT usaha dan kesungguhan, Encik Nurman Zahin Jupri bangkit berjaya daripada seorang pelajar biasa-biasa menjadi antara mahasiswa luar biasa dalam jurusan di universitinya.



Encik Nurman, 26 tahun, tamat pengajiannya dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Kimia) dengan kepujian kelas pertama.



Pencapaian itu memaparkan ketekunan Encik Nurman, yang hanya mampu meraih agregat 201 mata bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan menuntut di sekolah kejiranan, Sekolah Menengah Boon Lay.



Beliau, yang merupakan kohort mahasiswa NUS tahun lalu, menerima ijazahnya secara fizikal dalam satu konvokesyen yang diadakan di Pusat Budaya Universiti NUS baru-baru ini.



Upacara penyampaian sijil itu ditunda selama setahun akibat pandemik Covid-19.



"Saya secara umumnya seorang yang kompetitif. Saya hanya ingin menang. Itulah yang mendorong saya untuk terus berusaha," kata Encik Nurman kepada Berita Harian (BH).



"Tidak kira apa jua latar belakang anda, apabila sudah sekali anda menang, anda akan ingin mengecap kemenangan itu lagi."



Encik Nurman, seorang pelatih (trainee) program Pembangunan dan Pendidikan Peningkatan Kemahiran (SEED) dan jurutera pembelajaran mesin (machine learning engineer) di DBS Singapore, menambah pencapaian beliau ke menara gading merupakan salah satu detik kemenangan dalam hidupnya.



Ia menjadi pembakar semangat untuk beliau terus melakukan yang terbaik di universiti.



Bahkan, nama Encik Nurman disertakan dalam senarai dekan sebanyak dua kali dalam tempoh empat tahun pengajian di NUS.



Kejayaan beliau namun tidak datang bergolek.



Encik Nurman berkata pemikiran beliau terhadap pendidikan hanya berubah ketika di Maktab Rendah Catholic, di mana beliau mula menyemai cinta pada pembelajaran.



"Maktab rendah adalah detik yang agak pelik sebab sekiranya saya gagal, saya hanya ada sijil peperiksaan peringkat 'O'. Jadi, ada insentif untuk saya belajar bersungguh-sungguh.



"Tetapi, bagi saya, saya nikmati proses pembelajaran (di maktab rendah) dan tidak berfikir saya harus memaksa diri untuk belajar hingga larut malam," jelas beliau.



"Anda hanya harus ingat apa yang anda suka lakukan. Bagi saya, saya fikir saya tidak akan menghabiskan banyak masa untuk belajar sekiranya saya tidak suka belajar. Kemenangan (berjaya ke universiti) adalah bonus tambahan," katanya lagi.



Di maktab rendah jugalah Encik Nurman memupuk minat dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, dan mendorong beliau untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di NUS.



Semasa di NUS, Encik Nurman turut harus mengimbangi masa antara belajar dengan kegiatan kokurikularnya (CCA).



Beliau terlibat dalam dua CCA tarian jalanan dan hip-hop - NUS Dance Blast! dan NUS D'Hoppers.



Latihan bagi kededua CCA itu diadakan empat kali seminggu.



"Tidur. Itu yang saya harus banyak korbankan," kata Encik Nurman, yang menyertai jawatankuasa eksekutif NUS D'Hoppers pada tahun akhirnya dan memegang jawatan kapten tarian.



"Saya cuba untuk merancang awal jadual sekolah saya supaya saya dapat pilih modul yang sesuai dan pastinya, perlu menguruskan waktu dengan baik."



Encik Nurman juga berpeluang melakukan program pertukaran pelajar selama enam bulan di Universiti Aalto di Espoo, Finland, pada 2019.



Kini, Encik Nurman menceburi bidang kejuruteraan perisian.



Untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, beliau mengikuti kursus perantisan (apprenticeship) selama sembilan bulan bersama DBS Singapore selepas tamat pengajian tahun lalu.



Kursus itu mengajar asas kejuruteraan perisian, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.



Encik Nurman memulakan jawatan sepenuh masanya bersama syarikat bank itu pada Julai tahun ini.



Beliau sasar membina kerjaya dalam sektor kejuruteraan perisian dan membangun sebuah bisnes 'start-up' bersama teman-temannya kelak.



Ditanya siapa yang menjadi inspirasi beliau untuk terus berjaya, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata:



"Ibu bapa saya, walaupun mereka selalu pesan untuk hanya lakukan yang terbaik. Tapi, untuk melihat mereka bangga dan gembira dengan apa yang telah saya capai, itu yang memberi inspirasi kepada saya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >