Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

‘Saya sudah bersedia untuk tugasan selanjutnya’: DPM Wong

Nov 05, 2023 | 06:25 PM



Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau sudah bersedia untuk ‘tugasan selanjutnya’, dan telah bekerja keras untuk menyiapkan diri bagi mengambil alih daripada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Berucap semasa Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Ahad di Singapore Expo kepada lebih 1,000 aktivis, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau telah bekerjasama rapat dengan pasukan pemimpin 4G untuk membawa Singapura ke hadapan.

“Saya tidak akan bersendirian dalam usaha ini. Saya mempunyai pasukan pemimpin 4G yang telah bekerjasama rapat dengan saya selama ini. Kami bersedia untuk memimpin.

“Dan saya akan terus mendapatkan nasihat Setiausaha Agung PAP (Encik Lee), Menteri Kanan Encik Teo dan Menteri 3G lain yang akan terus berkhidmat. Mereka telah menjadi mentor dan teladan yang sangat baik, dan saya menghargai nasihat dan pandangan mereka,” kata Encik Wong, yang juga Timbalan Setiausaha Agung PAP.

Pada April 2022, Encik Lee telah mengumumkan bahawa Menteri Kewangan Encik Wong telah dipilih sebagai ketua pasukan 4G PAP oleh menteri Kabinet, lantas membuka jalan bagi beliau untuk menjadi Perdana Menteri Singapura yang seterusnya. Keputusan itu turut disokong oleh semua Anggota Parlimen (AP) PAP lain.

Pada Jun 2022, Encik Wong telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri di samping menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kewangan. Pada November 2022, beliau juga dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung PAP.

Berucap di acara sama pada Ahad, Encik Lee mengumumkan hasratnya menyerahkan pucuk pimpinan kepada Encik Wong sebelum Pilihan Raya Umum akan datang, yang perlu diadakan menjelang November 2025.

Encik Wong berkata sejak tahun lalu, beliau sibuk membantu rakyat Singapura menghadapi peningkatan kos sara hidup dan juga menumpukan perhatian kepada bidang kerja baru seperti dalam dasar ehwal luar, pertahanan dan hal-hal keselamatan negara.

“Tanggungjawab terbesar bagi saya adalah di hadapan saya. Saya memang akur akan beratnya tugas ini dan tuntutan peranan ini.

“Tetapi saya berjanji bahawa saya, dengan sepenuh hati dan jiwa, akan memberikan yang terbaik,” kata Encik Wong.

Beliau juga mengingatkan aktivis bahawa sokongan rakyat tidak terjamin dan PAP tidak seharusnya menganggap parti itu akan memenangi Pilihan Raya Umum akan datang dengan mudah.

Justeru, beliau menyeru aktivis untuk menggandakan usaha membina hubungan yang lebih kukuh dengan semua rakyat Singapura, bukan hanya dengan penyokong PAP, malah dengan mereka yang tidak menyokong, supaya PAP boleh menambat kepercayaan dan keyakinan mereka.

“Jika kita mahu menambat kepercayaan mereka, mereka mesti sering didekati. Jika kita mahu memenangi keyakinan mereka, mereka mesti rasa terlibat.

“PAP mestilah menjadi sebuah parti, yang bukan hanya untuk penyokong kita, tetapi untuk semua rakyat Singapura,” kata Encik Wong.

Dalam beberapa bulan akan datang, Encik Wong berkata beliau dan pasukan pemimpin 4G akan terus melibatkan aktivis untuk memperbaharui, menyegarkan dan mengukuhkan parti.

Ini termasuk meluaskan jangkauan parti, termasuk kepada mereka yang mungkin tidak bersetuju dengan pandangan parti, menajamkan mesejnya, dan menyemak serta mengukuhkan parti.

“Kita mesti memperbaiki cara parti berkomunikasi, dan bukan hanya bergantung kepada komunikasi pemerintah,” kata Encik Wong.

Beliau juga menyeru aktivis untuk mengetengahkan perbezaan antara dasar PAP dan pembangkang, dan menyatakan dengan jelas pendirian parti, rancangan jangka panjangnya dan apa yang dilakukan oleh parti secara menyeluruh.


“Dalam banyak perkara, dasar-dasar yang dicadangkan pembangkang mirip dasar PAP. Tetapi dalam beberapa perkara yang lain, pendirian mereka secara asasnya amat berbeza, dan kita mesti menjelaskan mengapa pendekatan kita lebih baik untuk rakyat Singapura,” kata Encik Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >