Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha manfaat bola sepak perkasa belia kurang bernasib baik dilancar

Jun 25, 2023 | 03:22 PM



Satu inisiatif yang bukan sahaja menyediakan laluan buat belia kurang bernasib baik memburu cita-cita sebagai pemain bola sepak profesional tetapi juga membangunkan diri mereka secara menyeluruh, telah dilancarkan pada Ahad.

Dinamakan Tasek Sailors, ia ditubuhkan kelab bola sepak Lion City Sailors bersama Akademi Bola Sepak Tasek.

Usaha yang menggabungkan bimbingan bola sepak oleh pemain profesional dan pementoran secara berstruktur termasuk bidang kemahiran hidup dan akademik oleh para relawan, akan diperluas dari bahagian barat ke timur Singapura. 

Lion City Sailors mula bekerjasama dengan Akademi Bola Sepak Tasek, yang terletak di bahagian barat Singapura, pada 2022. Kini, terdapat rancangan untuk memperluas program itu ke pusat baru Tasek di kawasan timur.

Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang juga penaung Tasek Jurong yang mengendalikan Akademi Bola Sepak Tasek, turut hadir selaku tetamu kehormat di majlis pelancaran Tasek Sailors di Pusat Latihan Lion City Sailors di Mattar Road.

Dalam ucapannya, Encik Tharman mengalu-alukan usaha yang menyatukan bimbingan profesional, pementoran dan pembangunan belia itu.

“Tujuan kita adalah untuk membantu setiap individu mengenal pasti kekuatan mereka... kekuatan yang mereka tidak pernah ketahui sehingga mereka diberi peluang, sokongan dan bimbingan.

“Sukan merupakan cara yang hebat untuk mencungkil potensi terbaik dalam diri orang ramai,” ujarnya sambil menambah bahawa wadah ini juga bertujuan membantu belia mengharungi cabaran yang mereka hadapi.

Encik Tharman juga mengalu-alu peningkatan dalam jumlah belia perempuan yang melibatkan diri dalam bola sepak.

Kini, terdapat hampir 100 pemain belia perempuan yang telah memberi komitmen untuk menceburi bola sepak di Tasek, menurut Pengurus Kanan Tasek Jurong, Dr Nurul ‘Ain Azman, 30 tahun.

Antara mereka termasuk Nur Shafira Mohamad Yusoff, 17 tahun, yang bercita-cita menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Beliau, yang menyertai Akademi Bola Sepak Tasek pada Jun tahun lalu dan kini bersama Tasek Sailors, berkata usaha itu juga memberinya banyak sokongan emosi dan memastikan kesejahteraan dirinya selain memberinya peluang mengasah kemahiran dalam bola sepak.

Pelajar menengah empat dari Sekolah Menengah Woodlands itu berkata:

“Saya telah pelajari banyak perkara, bukan hanya tentang bola sepak, tetapi juga dalam aspek lain seperti kemahiran hidup.

“Saya juga dapat meraih manfaat dari segi pelajaran saya kerana saya terlibat dalam bimbingan akademik mereka juga.”

Dalam pada itu, Tasek Sailors juga akan memberi peluang kepada penerima bantuannya untuk menyertai pertandingan bola sepak belia setempat dan menyediakan laluan bagi mereka yang berpotensi untuk memasuki Akademi Elit Lion City Sailors, dan kemudian pasukan profesionalnya yang terdiri daripada pemain seperti Hariss Harun.

Mereka juga berpeluang bermain bersama kelab profesional di Asia mahupun Eropah.

Pada Ahad, sebuah acara mengumpul dana bagi Tasek Sailors turut diadakan.

Sebahagian besar dana yang dikumpul akan disalurkan kepada pemain bola sepak perempuan Tasek Sailors, agar mereka dapat meraih manfaat daripada laluan latihan belia profesional Lion City Sailors.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >