Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Apabila pasangan bercerai kembali bersatu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Apabila pasangan bercerai kembali bersatu

Pempengaruh popular dengan watak, ‘Bonda Bedah’, Hafidz Rahman, kongsi perkahwinan semula ibu bapanya selepas sembilan tahun cerai
Mar 11, 2024 | 05:30 AM



Kisah bekas pasangan yang kembali bersama selepas perceraian baru-baru ini menarik perhatian, setelah Berita Harian (BH) melaporkan pelakon, Nina Fevriena, mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan bekas suaminya, Zack Zuraini, setelah tujuh tahun berpisah. BH meninjau trend tersebut dan mendapatkan pandangan pakar mengenai proses dan cabaran yang dilalui pasangan seperti itu.


Setiap mahligai perkahwinan biasanya bermula dengan niat sehidup semati, dan bak kata orang, harapannya berpanjangan hingga ke jannah.

Namun seperti kata pepatah, adakalanya, panas tidak sampai ke petang dan pasangan terpaksa menghadapi ujian bahtera yang mungkin berakhir dengan perpisahan.

Tetapi ada juga pasangan yang bercerai, dan kembali bersama setelah beberapa tahun berpisah.

Baru-baru ini, kisah pasangan yang bercerai dan rujuk kembali setelah bertahun berpisah menarik perhatian apabila Berita Harian melaporkan pelakon, Nina Fevriena, mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan bekas suaminya, Zack Zuraini, setelah tujuh tahun berpisah.


Keadaan serupa itu juga dialami ibu bapa pempengaruh popular dengan watak, ‘Bonda Bedah’, Hafidz Rahman, 35 tahun, yang kembali bersatu semula setelah sembilan tahun bercerai.

Ibu bapanya – Encik Abdul Rahman Majid, 59 tahun, dan Cik Erwati Mansol, kini 58 tahun – enggan ditemu bual, tetapi rela kisah mereka dikongsi menerusi Hafidz. 

Berkongsi mengenai kisah rumah tangga orang tuanya yang pernah dilanda badai, Hafidz berkata:

“Sewaktu mereka berpisah, saya sudah dewasa, berusia 19 tahun, jadi saya tidaklah terlalu sedih, kerana saya sudah faham dan mengerti perkahwinan itu tidak bahagia. Isunya, ibu saya mahukan perubahan, bapa saya tidak mahu berganjak.”

Setelah lama tidak bergambar sebagai sebuah keluarga pada pagi Hari Raya, akhirnya, pada 2020, keluarga Hafidz bersatu semula, apabila ibu bapanya kembali bersama setelah bercerai selama sembilan tahun.

“Saya memuat naik gambar kami sekeluarga untuk merakamkan detik bersejarah itu, sambil memberitahu saudara-mara yang ibu bapa kami sudah menikah lagi, itu saja,” kata Hafidz, anak sulung daripada empat beradik lelaki.

Menurut Hafidz, salah faham dan kurang berkomunikasi adalah punca utama keretakan mahligai ibu bapanya yang dibina sejak 1988.

Beliau juga berasa kadangkala adalah perlu untuk pasangan berpisah seketika supaya lebih menghargai orang yang mereka hilang.

Ibu bapanya mendirikan rumah tangga atas dasar cinta tetapi perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian 20 tahun kemudian.

Masing-masing selepas itu mendirikan rumah tangga dengan orang lain sebelum berpisah sekali lagi.

“Semasa bercerai, saya dan adik-beradik masih sering berjumpa dengan bapa kami, walaupun kami tinggal bersama ibu. Tidak ada kebencian di antara kami, dan bapa saya pun memang semula jadi pendiam orangnya,” tambah Hafidz.

Pasangan itu tidak mempunyai zuriat dengan pasangan baru mereka.

Apabila berlakunya perceraian dengan pasangan baru, kededua ibu bapa itu bersatu semula dan mengikat perjanjian baru.

“Saban tahun, persepsi dan kemahuan ibu saya telah berubah, dan sekarang beliau dapat menerima bapa saya seadanya.

“Tentulah mereka terpaksa membuat penyesuaian dan menerima kekurangan masing-masing kerana mereka lebih tahu isi hati masing-masing,” terang Hafidz.

Pakar isu kekeluargaan, Cik Hamidah Bahashwan, berkata berdasarkan pengalamannya, sembilan daripada 10 kes pasangan yang dihadapkan kepadanya sebenarnya ada jalan penyelesaian.

“Semasa sesi perantaraan, pasangan berpeluang untuk bersatu kembali jika kededuanya terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan semua pihak,” ujarnya.

Mengenai pasangan yang sudah bercerai dan kembali semula, Cik Hamidah berkata anak-anak menjadi punca utama suami isteri bersatu lagi.

Beliau juga berkata ada kalanya juga mereka tidak mahu mencari pengganti kerana risiko tinggi.

“Pasangan yang kembali semula masih ada lagi perasaan kasih sayang tetapi terpaksa bercerai kerana desakan daripada keluarga, atau salah faham.

“Boleh jadi juga, hubungan sulit di luar perkahwinan tidak kekal (dan) menjadi antara penyebab pasangan yang bercerai kembali bersama,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >