Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Lebih baik lafaz talak di mahkamah, elak keraguan

Mahkamah Syariah, yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-65 November ini, telah mempertingkatkan beberapa prosesnya dalam beberapa tahun kebelakangan. Antaranya, ia telah mempermudahkan proses pendaftaran perceraian bagi pasangan yang mahu merujuk kembali, dan memperkenalkan proses dipertingkat bagi mewawancara anak-anak yang penjagaannya dipertikaikan sedang ibu bapa mereka menjalani proses perceraian. Berita Minggu melaporkan.
Sep 17, 2023 | 05:32 AM



Seorang suami yang telah melafazkan talak di luar mahkamah tetapi kemudian menyesal dan memutuskan mahu terus melayari bahtera rumah tangga bersama isteri berlumba dengan masa untuk merujuk kembali sebelum tamat tempoh idah.

Bagi memudahkan pasangan sedemikian berdamai, Mahkamah Syariah telah menyediakan proses yang dibezakan, yang membolehkan mereka mendaftar perceraian lebih awal daripada proses perceraian biasa.

Proses Niat Untuk Rujuk (ITR) yang dibezakan itu telah dilaksanakan sejak November 2022 berikutan semakan yang dijalankan ke atas proses sebelumnya, kata Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Cik Guy Ghazali.

Proses yang dibezakan

Pasangan yang mahu merujuk kembali perlu datang ke Mahkamah Syariah dan menyatakan hasrat mereka itu.

Mereka akan diberikan borang ITR untuk diisi. Borang itu antara lain menghendaki pasangan memberi maklumat seperti talak yang dilafazkan serta tarikh dan masa ia dinyatakan.

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam borang itu, jika pada zahirnya terdapat lafaz talak yang jelas, dan tempoh idah belum berakhir, pasangan akan disalurkan kepada proses yang dibezakan supaya ia dapat diselesaikan dengan segera.

Proses yang dibezakan itu tidak menghendaki pasangan menjalani Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) yang diwajibkan bagi pasangan di ambang perceraian apabila mereka membuat aduan di mahkamah.

Pasangan boleh terus memfailkan Saman Pemula serta dokumen yang diperlukan untuk memulakan proses di mahkamah.

Akhirnya, Presiden Mahkamah Syariah akan menentukan sama ada talak itu sah atau tidak sah.

Jika mahkamah memutuskan bahawa talak itu sah dan mendaftarkan perceraian tersebut, pasangan perlu ke Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) untuk merujuk kembali sekiranya masih berada dalam tempoh idah.

Sekiranya tempoh idah sudah tamat pada masa perceraian didaftarkan, pasangan itu perlu ke ROMM untuk bernikah semula.

Jika tempoh idah telah berakhir semasa pasangan hadir di Mahkamah Syariah untuk menyatakan hasrat ingin merujuk kembali, atau suami telah melafazkan talak ketiga atau talak tiga, proses yang dibezakan itu tidak boleh digunakan.

Presiden Mahkamah Syariah, Ustaz Muhd Fazalee Jaafar, berkata proses yang dibezakan itu membolehkan pasangan menyelesaikan proses merujuk kembali dalam masa dua hingga tiga minggu, bergantung kepada kes.

Masa yang diambil untuk menyelesaikan proses itu juga bergantung kepada sama ada semua dokumen yang diperlukan telah diserahkan, dan sama ada maklumat yang diberikan mencukupi.

Disebabkan ini, walaupun pasangan mengisi borang ITR sebelum tempoh idah tamat, adakalanya perceraian hanya boleh didaftarkan setelah tempoh idah berakhir dan pasangan masih perlu bernikah semula walaupun menjalani proses yang dibezakan.

Proses dipertingkat

Menurut Cik Guy, proses ITR yang disemak itu lebih jelas, pasti dan selaras dalam mentadbirkan kes rujuk mengikut perundangan.

Maklumat yang diperlukan mahkamah lebih jelas dan ini memastikan bahawa semua fakta relevan diberikan pada permulaan proses. Ini membantu menjimat masa kerana mahkamah tidak perlu mendapatkan penjelasan atau maklumat lanjut daripada pasangan semasa perbicaraan.

Proses itu juga memastikan tidak ada kekeliruan tentang apa yang disampaikan kepada mahkamah kerana segala maklumat yang diberikan kepada mahkamah adalah dalam bentuk dokumen yang difailkan secara rasmi.

Proses ITR yang dipertingkat itu juga menetapkan bahawa hanya Presiden Mahkamah Syariah boleh membuat penilaian sama ada terdapat lafaz talak yang nyata, sama ada tempoh idah telah berakhir berdasarkan maklumat yang diberikan pasangan dan sama ada kes itu perlu menjalani MCP atau tidak.

Proses itu juga menetapkan bahawa hanya Presiden Mahkamah Syariah boleh membuat penentuan tentang lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah dan memutuskan sama ada talak yang telah dilafazkan itu adalah sah ataupun tidak.

“Ini akan memastikan kepastian dan penyelarasan kerana Presiden Mahkamah Syariah mempunyai kepakaran dan diberi kuasa undang-undang untuk membuat penentuan sedemikian,” kata Ustaz Fazalee.

Proses dahulu

Ustaz Muhd Fazalee, yang telah berkhidmat di Mahkamah Syariah selama tujuh tahun, berkongsi bahawa sebelum proses ITR dirasmikan sekitar 2019, suami yang telah melafazkan talak di luar mahkamah akan datang ke mahkamah untuk “bertanya tentang hukum” dan status perkahwinan mereka.

“Dahulu, sekitar awal 2000, kami ada proses yang dipanggil pengesahan talak. Apabila talak dilafazkan di luar mahkamah, pasangan datang ke mahkamah dan mereka menerangkan apa yang berlaku kepada pegawai mahkamah. Mereka diberi kaunseling oleh kaunselor MCP yang ketika itu merupakan kakitangan mahkamah dan diberi petanda talak mereka sah atau tidak sah. Tapi kes itu belum masuk ke mahkamah lagi. Mereka tidak sedar sebenarnya terdapat proses tertentu yang perlu mereka ikuti di mahkamah. Mereka tidak boleh sekadar datang ke mahkamah untuk mendapatkan jawapan,” katanya.

Cik Guy menambah: “Masalah dengan sistem tersebut ialah, setelah mendapat jawapan sama ada talak mereka sah atau tidak, pasangan tidak memfailkan apa-apa permohonan untuk mendaftarkan perceraian mereka walaupun petanda yang diberikan adalah talak itu sah.”

Beliau menekankan bahawa di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Amla), perceraian dan rujuk wajib didaftarkan.

Pasangan yang suami telah melafazkan cerai di luar mahkamah perlu hadir di mahkamah dalam masa tujuh hari bermula pada tarikh talak dilafazkan atau tempoh lanjutan yang mahkamah dapati sesuai, dan memberi butiran yang diperlukan supaya perceraian itu dapat didaftarkan.

Bagi pasangan yang ingin merujuk kembali, mereka perlu hadir di ROMM dalam tempoh idah isteri setelah cerai didaftarkan untuk mengemukakan permohonan pendaftaran rujuk.

Pendirian mahkamah

Cik Guy berkata Mahkamah Syariah berpendirian bahawa jika pasangan mahu bercerai, adalah elok jika mereka memfailkan permohonan cerai dan melafazkan talak di mahkamah.

“Apabila suami melafazkan talak di luar mahkamah, kadangkala mereka tidak ingat apa yang mereka ucapkan, bila mereka mengucapkannya, dan berapa kali ucapan tersebut dilafazkan. Kadangkala mereka terlafaz talak tiga sekali gus dan menyesal selepas itu. Kadangkala mereka sendiri yang cuba meyakinkan mahkamah bahawa talak mereka itu tidak sah kerana dilafazkan dalam keadaan marah. Kami temui pelbagai isu ini apabila mereka datang ke mahkamah setelah melafazkan talak di luar mahkamah. Disebabkan itu, pendirian mahkamah ialah kalau boleh, bagi mengelakkan keraguan, adalah lebih baik sekiranya talak dilafazkan di dalam mahkamah,” kata Cik Guy.

Beliau menambah: “Apa yang kami ingin katakan ialah bukannya suami tidak boleh melafazkan talak di luar mahkamah tetapi jika mereka mahu melakukan demikian, mereka perlu pastikan ia dilakukan dengan betul, di hadapan isteri dan saksi, serta mereka ingat apa yang dilafaz dan bila ia dilafaz. Masalahnya timbul apabila mereka melafazkannya dalam keadaan marah dan kadangkala berkali-kali dan mereka tidak ingat semua itu.”

“Kami juga ingin menyarankan, jika pasangan merasakan mereka sedang mengalami masalah rumah tangga, mereka boleh mendapatkan bantuan pakar untuk cuba meleraikan masalah mereka, teroka semua kemungkinan. Jika perceraian adalah jalan penyelesaian, bercerailah secara ihsan dan dengan cara yang melindungi anak-anak,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >