Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Garis panduan klausa ‘tidak bersaing’ diumum separuh kedua 2024

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Garis panduan klausa ‘tidak bersaing’ diumum separuh kedua 2024

Feb 06, 2024 | 05:58 PM



Singapura dijangka mengeluarkan Garis Panduan Tiga Pihak mengenai klausa “tidak bersaing” pada separuh kedua 2024, demikian menurut Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, di Parlimen pada 6 Februari.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengumumkan pada tahun lalu bahawa ia bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak untuk membangun garis panduan sedemikian, yang membolehkan klausa “tidak bersaing” atau “sekatan perniagaan” digunakan secara munasabah dalam kontrak pekerjaan.

Secara umumnya, klausa “tidak bersaing” bertujuan menghalang pekerja daripada bekerja dengan syarikat pesaing bagi sesuatu tempoh selepas berhenti daripada pekerjaan atau diberhentikan oleh pihak majikan.

Jawapan Dr Tan itu adalah tambahan kepada jawapan awal kepada beberapa Anggota Parlimen (AP) pada 5 Februari, mengenai isu berkaitan pekerjaan seperti pemberhentian kerja, perjanjian kolektif dan klausa tidak bersaing.

Dalam sesi 6 Februari, beliau berkata: “Kami memahami bahawa klausa sekatan perniagaan yang terlalu ketat boleh merugikan pekerja yang diberhentikan dan menimbulkan kesukaran dalam mencari pekerjaan.”

Itulah sebabnya garis panduan tiga pihak itu sedang dibangun, katanya, sambil menambah ia akan membimbing majikan dan membentuk aturan yang lebih jelas, lapor The Business Times.


Garis panduan ini sedang dimuktamadkan dan dijangka diumumkan pada separuh kedua 2024, tambahnya.

Dr Tan menyatakan mahkamah sivil sudah pun menetapkan prinsip mengenai bila klausa sedemikian boleh diterima pakai, berbanding apabila ia tidak munasabah, tidak wajar, dan dengan itu, tidak sah.

“Mahkamah sivil akan menilai sama ada terdapat keperluan perniagaan sebenar dan sama ada syarikat berkenaan telah menggunakan klausa itu secara munasabah berdasarkan sektor, kawasan geografi dan tempoh masa,” jelasnya.

“Mahkamah juga akan mengimbangi keperluan majikan untuk melindungi perniagaan mereka dan keupayaan pekerja untuk menyara kehidupan, dengan mengambil kira bahawa klausa tersebut tidak boleh digunakan untuk membantu perniagaan memperoleh kelebihan secara tidak adil,” tambahnya.

Pekerja yang berasa klausa “tidak bersaing” dalam kontrak pekerjaan menjejas mereka secara tidak adil atau tidak wajar, boleh mendapatkan bantuan daripada kesatuan sekerja mereka, Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) atau MOM.

Baru-baru ini, peraturan “tidak bersaing” itu menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan orang ramai, melibatkan kes bekas pekerja daripada dua syarikat teknologi terkenal, Lazada dan Shopee, menurut laporan CNA.


Dr Tan turut menjawab soalan mengenai isu pemberhentian kerja daripada beberapa AP yang ingin tahu tentang cara memastikan amalan bertanggungjawab dan apa yang boleh dilakukan terhadap majikan degil.

Beliau berkata Nasihat Perikatan Tiga Pihak mengenai Pengurusan Lebihan Tenaga Kerja dan Pemberhentian Bertanggungjawab (Tamem) menetapkan garis panduan jelas untuk majikan dalam melaksana langkah penjimatan kos.

Ini termasuk memaklumkan kesatuan sekerja lebih awal mengenai langkah pembuangan pekerja, iaitu sebulan sebelum pekerja dimaklumkan.

Jika majikan tidak mematuhi nasihat tiga pihak itu, Tafep akan mendekatinya dan memintanya untuk mematuhinya, kata Dr Tan.

Kebanyakan majikan memberi kerjasama apabila didekati Tafep atau MOM, tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >