Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24

Ibadah korban luar negara kian dapat sambutan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SALAMSG KORBAN

Ibadah korban luar negara kian dapat sambutan

May 10, 2024 | 05:30 AM



Kini sudah menjadi trend atau norma baru bagi masyarakat Islam di Singapura menjalankan ibadah korban di luar negara.

Tambahan pula, lebih banyak pengusaha korban menawarkan ibadah tersebut di luar negara.

Norma baru menjalankan ibadah korban di luar negara tercetus semasa pandemik Covid-19 apabila ibadah korban secara langsung dihentikan di masjid-masjid di serata Singapura.

Ekoran itu, ramai dalam kalangan masyarakat Islam setempat memilih menjalankan ibadah korban di luar negara.

Ini sekali gus menjadikan Covid-19 pemangkin bagi masyarakat Islam di Singapura menjalankan ibadah korban di luar negara.

Bagi masyarakat Islam yang mahu menjalankan ibadah korban di luar negara, mereka mempunyai dua pilihan.

Mereka boleh melaksanakannya di negara membangun seperti Indonesia dan India, dan daging korban diagihkan kepada penduduk setempat di negara tersebut.

Ia juga boleh dijalankan di negara seperti Australia yang dagingnya boleh dihantar ke Singapura.

Daging korban kemudian diterbangkan ke Singapura dan diagihkan sesama sohibul korban ataupun didermakan kepada penerima lain.


Demikian ulasan mantan pengerusi SalamSG Korban (SSGK), Ustaz Khairul Anwar Mohd Aznan, mengenai khidmat ibadah korban di luar negara yang kian mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat Islam Singapura.

Bagaimanapun, para sohibul korban yang memilih melaksanakan ibadah korban di luar negara masih mempunyai permintaan tinggi untuk mengagihkan daging korban kepada golongan penerima zakat atau mereka yang memerlukan bantuan di Singapura.


“Ini menunjukkan bahawa syiar Islam di sini tetap segar dan tidak terjejas dengan trend baru menjalankan korban di luar negara dan mengagihkan kepada masyarakat di luar Singapura,” kata Ustaz Khairul Anwar.

Lantaran itu, sejumlah 52 masjid setempat di bawah usaha SalamSG Korban akan menawarkan perkhidmatan korban luar negara sempena Hari Raya Aidiladha.

Pada 2024, Hari Raya Aidiladha dijadual jatuh pada 17 Jun.

Buat julung-julung kalinya, SalamSG Korban menawarkan dua ternakan – lembu dan anak kambing biri-biri – selain kambing biri-biri untuk umat Islam setempat mengerjakan ibadah korban di luar negara pada 2024.

Menurut Ustaz Khairul Anwar, SSGK mewakili masjid di Singapura untuk menyelaraskan pelaksanaan ibadah korban di Australia.

Haiwan korban disembelih di pusat penyembelihan di sana dan daging korban diterbangkan ke Singapura bagi membolehkan pengagihan kepada golongan penerima zakat atau golongan lain yang memerlukan bantuan.

Penyembelihan ternakan akan dikendalikan di Australia pada Hari Raya Aidiladha atau hari tasyrik (10 hingga 13 Zulhijah).

Bagi memastikan proses penyembelihan ternakan berjalan lancar pada Hari Raya Aidiladha, Ustaz Khairul Anwar menjelaskan SSGK akan menghantar beberapa pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan sukarelawan ke negara penyembelihan, contohnya Australia, sebagai pemerhati untuk menyaksikan proses ibadah korban di luar negara.

Di sana, SSGK akan berkunjung ke pusat penyembelihan dan pemotongan haiwan korban bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan betul dan daging korban diproses mengikut piawaian sebelum dihantar ke Singapura untuk diagihkan kepada sohibul korban.


Penyembelihan ternakan pula dilaksanakan oleh mereka yang mahir dan diiktiraf. Ia disediakan oleh pihak pengendali korban.

Setelah daging dibersih dan dipotong, ia akan dibungkus ke dalam kotak dalam suhu yang dapat mengekalkan kesegarannya.

Kaedah ibadah korban itu merupakan kaedah tetap yang diusahakan sebahagian besar masjid di Singapura.

Bagi memastikan ibadah korban memenuhi prosedur standard Muis, SSGK meletakkan syarat yang dikehendaki Muis di dalam kontrak agar difahami semua pihak.

Jika pengusaha korban tidak mematuhi syarat-syarat di dalam kontrak, SSGK boleh mengenakan tindakan undang-undang.

Sejauh ini, sohibul korban berpuas hati dengan khidmat SalamSG Korban kerana mereka dapat menyempurnakan ibadah korban dengan mudah.


Slot untuk perkhidmatan korban akan diperuntukkan berdasarkan yang dahulu didahulukan.

Pendaftaran telah dibuka pada 26 Mac dan akan ditutup pada 8 Jun.

Mereka yang ingin melaksanakan korban boleh, sama ada mendaftar secara fizikal dengan mengunjungi salah satu daripada 52 masjid yang mengambil bahagian, atau berbuat demikian secara dalam talian di https://www.ourmasjid.sg/korban yang turut menyenaraikan masjid yang terlibat tahun 2024 ini.

Selain memilih masjid bagi ibadah korban, sohibul korban juga dapat menentukan bahagian daging
yang mereka ingin ambil – sama ada sepertiga, dua pertiga atau bahagian penuh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >