PENCAK silat, yang awalnya tidak disertakan dalam senarai sukan bagi Sukan SEA Kemboja tahun depan, kini akan dipertandingan dalam edisi ke-32 temasya sukan serantau itu.
Bagaimanapun, nasib bagi satu lagi sukan, sepak takraw, belum lagi pasti. Difahamkan acara antara regu dan beregu sepak takraw, yang disenaraikan sejak Sukan SEA Manila 1981, tidak akan disertakan pada temasya sukan tahun depan.
Sebaliknya, acara regu berpasukan, kuadran, gelung dan chinlone yang mempertaruhkan 16 pingat emas akan dipertandingkan, lapor akhbar Malaysia, Harian Metro.
Senarai sukan bagi Sukan SEA Kemboja pada 5-17 Mei itu menimbulkan kejutan, dengan beberapa sukan yang telah kerap ditampilkan dalam edisi temasya sukan dwitahunan itu sebelumnya dijangka terlepas disertakan.
Di mesyuarat terkini Persekutuan Sukan SEA di Hotel Sokha di Phnom Penh minggu lepas, senarai sementara yang merangkumi 40 sukan termasuk sukan utama seperti atletik dan akuatik, dengan polo air kembali dimasukkan selepas gagal mendapat tempat dalam edisi terakhir di Hanoi Mei lalu, yang ditunda selama tujuh bulan akibat pandemik.
Persekutuan Sukan SEA dijangka mengadakan mesyuarat dalam minggu-minggu mendatang untuk memuktamadkan senarai sukan yang akan dipertandingkan di ibu kota Kemboja itu.
Susunan program sukan bagi setiap edisi temasya diputuskan negara tuan rumah dan disokong oleh Persekutuan Sukan SEA. Oleh itu, sukan dan jenis acara disertakan berlainan pada edisi temasya sukan yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, baru-baru ini mendedahkan kepada Berita Harian (BH) bahawa silat telah mendapat 'lampu hijau' untuk dipertandingan dalam Sukan SEA Kemboja.
"Saya gembira silat mendapat sokongan untuk disertakan dalam Sukan SEA Kemboja. Sukan SEA memberikan platform baik untuk pesilat kami menguji kehebatan mereka dan mencapai kecemerlangan di rantau ini," ujarnya.
Majlis Olimpik Malaysia, dalam satu posnya di Facebook pada 13 Julai lalu, turut mengesahkan penyerataan sukan itu.
Bagi sepak takraw pula, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) akan cuba 'memujuk' Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) untuk memasukkan semula acara antara regu dan beregu sepak takraw dalam edisi temasya sukan mendatang ini, menurut Harian Metro.
Presiden Astaf, Abdul Halim Kader, dipetik sebagai berkata acara berkenaan seharusnya dipertandingkan kerana sudah lama disenaraikan sejak Sukan SEA 1981.
Beliau menambah pihaknya juga akan mendapatkan sokongan Presiden Majlis Olimpik Thailand, Jeneral Pravit Wongsuwan, dan Presiden Majlis Olimpik Indonesia, Raja Sapta Oktohari, untuk menyokong usaha membawa kembali acara itu supaya dipertandingkan semula di Kemboja kelak.
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Nasri Haron, ketika ditanya BH mengenai hal tersebut pada Pesta Sukan Sepak Takraw 2022 di Anjung@WGS Isnin lalu, enggan mengulas lanjut dan "akan hanya menunggu pengumuman daripada para penganjur".
Sukan lain seperti boling dan menembak - yang secara tradisi menyumbang pingat kepada Team Singapore - juga harus menanti nasib mereka.
Boling telah ditampilkan dalam tujuh daripada sembilan edisi terakhir Sukan SEA sejak 2005, manakala menembak telah dipertandingkan dalam kesemua 31 edisi Sukan SEA.
Sukan SEA Kemboja namun akan menyaksikan kapal layar, floorball dan kriket disertakan semula.
Teqball, sukan yang menggabungkan bola sepak, sepak takraw dan tenis meja dan dimainkan di atas meja melengkung, juga akan diperkenalkan sebagai sukan pertunjukan di edisi itu.
SEKILAS
SENARAI SUKAN YANG DILULUSKAN BAGI SUKAN SEA KEMBOJA 2023
1. Atletik
2. Akuatik (renang, terjun indah & polo air)
3. Badminton
4. Bola keranjang (3x3 & 5x5)
5. Biliard dan Snooker
6. Bina badan
7. Tinju
8. Catur (xiangqi & ok chakktrong)
9. Kriket
10. Berbasikal (perlumbaan basikal gunung dan jalan raya)
11. Sukan tarian
12. E-Sukan
13. Perlumbaan daya tahan (aquathlon, duathlon & triatlon)
14. Lawan pedang
15. Renang fin
16. Floorball
17. Bola sepak
18. Golf
19. Gimnastik (artistik & aerobik)
20. Hoki (padang & dalam dewan sukan)
21. Jet ski
22. Judo
23. Karate
24. Kun Khmer (muay)
25. Seni mempertahan diri (arnis, jujitsu, tinju tendang, kun bokator, vovinam dan seni mempertahan diri Korea)
26. Perlumbaan berhalangan
27. Petanque
28. Kapal layar
29. Sepak takraw
30. Pencak silat
31. Tenis 'soft'
32. Tenis meja
33. Taekwondo
34. Tenis
35. Perlumbaan bot tradisional
36. Bola tampar & bola tampar pantai
37. Angkat berat
38. Gusti
39. Wushu
SUKAN PERTUNJUKAN:
1. Teqball
- Sumber: FACEBOOK MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA