Harta dirancang jiwa pun tenang

WASIAT harta adalah penting bagi orang Islam tetapi ramai yang kurang tahu selok beloknya, kata Timbalan Pengarah Pembangunan Aset, Dr Shamsiah Abdul Karim daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Surah Al Baqarah ayat 180 terjemahannya seperti berikut:

"Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, ( hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan) sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa".

Setelah turunnya Surah An-Nisa, hukum faraid menjadi jelas; disyariatkan bahawa ahli waris tidak boleh diwasiatkan kecuali sepertiga daripada seluruh hartanya.

Di Singapura, individu boleh membuat nominasi dari segi Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans.

Di sini, pemerintah mempermudahkan rakyat membuat pemberian mereka tanpa memerlukan wasiat untuk membuat peruntukan.

Fatwa juga telah dikeluarkan yang menjelaskan bahawa nominasi boleh dianggap sebagai hibah. Hibah ialah hadiah yang diberi semasa masih hidup lagi.

PENTINGNYA WASIAT

"Ramai daripada kita tidak mempunyai harta yang melimpah ruah. Kita mungkin ada CPF, wang simpanan dan sebuah bumbung untuk keluarga kita.

"Walaupun begitu, adanya wasiat memberikan kepastian kepada ahli waris bagaimana harta peninggalan kita hendak dibahagikan. Dengan merancang pembahagian ini, anda memberi penjelasan umpamanya supaya pengamanah akan berupaya untuk melunaskan hutang-hutang anda, membayar zakat dan fidyah, atau mengerjakan badal haji dan mewakafkan lebihannya, misalnya," ujar Dr Shamsiah.

Jika tidak dituliskan di dalam wasiat, hasrat atau tanggungjawab ini tidak dapat dilaksanakan.

"Wasiat juga bukan untuk merancang harta peninggalan kita sahaja tetapi juga sebagai pesanan terakhir kepada ahli keluarga kita tentang perkara yang penting, seperti mendoakan selepas pemergian, memberi nasihat agama, atau mengeratkan silaturahim antara keluarga," ujar Dr Shamsiah.

KISAH BENAR

Dalam satu peristiwa yang benar berlaku, seorang ahli waris ingin membayar fidyah si mati tetapi ahli waris yang lain tidak setuju kerana jumlah fidyahnya agak besar.

Mereka rasa kakak mereka tidak berhak menolak wang estet itu dengan membayar fidyah, yang membuat wang agihan mereka berkurangan.

Mereka menuntut kembali daripada Muis wang fidyah yang telah dibayar.

"Keadaan ini amat meyedihkan kerana fidyah si mati masih tidak dapat dilangsaikan kerana pertikaian yang berlaku. Banyak lagi contoh menyedihkan yang tidak seharusnya berlaku," kata Dr Shamsiah.

SEDEKAH DAN WAKAF

Menerusi wasiat, seseorang itu juga boleh merancang untuk membuat sedekah, yang boleh dibahagikan kepada dua - sedekah biasa dan sedekah jariah.

Sedekah jariah ialah sedekah berpanjangan dan wakaf merupakan sejenis sedekah jariah.

Wakaf ialah penahanan harta dan menjadikannya sebagai suatu kebajikan.

Wakaf mempunyai ainnya iaitu modal yang disedekahkan tidak boleh dibelanjakan dan harta yang diwakafkan pula mesti memberikan pulangan yang boleh memberikan manfaat kebajikan.

Misalnya, seseorang mewakafkan hartanah untuk tujuan memberi makan kepada fakir miskin. Rumah yang diwakafkan tidak boleh dipupuskan dan pulangan dari segi sewa boleh diberikan untuk fakir miskin tersebut.

Tetapi sedekah berbeza - ain atau modal itu boleh diberikan secara langsung. Jika disedekahkan $100 untuk fakir miskin, kesemuanya diberikan kepada fakir miskin itu.

Oleh itu, konsep wakaf ini yang dikategorikan sebagai sedekah jariah yang berpanjangan dan berkekalan kerana modalnya tidak dipupuskan.

SYARAT DAN HUKUM WAKAF

1) Pewakif itu mestilah orang yang sudah berakal, baligh dan memiliki harta itu dengan bebas, tidak ada ikatan dan sebagainya.

2) Mauquf ialah harta yang hendak diwakafkan - hartanya mestilah milik sempurna. Misalnya, bukan dalam gadaian, masih lagi berhutang, atau wang curian. Harta boleh berbentuk rumah atau wang tunai iaitu harta tetap atau harta yang tidak tetap ( immovable).

3) Mauquf alaih - atau penerima manfaat wakaf itu. Ia mestilah berunsur kebajikan umpamanya untuk fakir miskin, untuk masjid, madrasah, untuk pelajaran, untuk menyumbang mereka pergi haji, umrah untuk perbelanjaan ubat-ubatan. Ia tidak boleh bercanggah dari segi agama atau niat membawa kerosakan. Memberi pada saudara mara dan keluarga juga dibolehkan dan di sini di kategorikan sebagai wakaf ahli.

4) Mutawalli atau pentadbir yang boleh dilantik.

Muis akan menampilkan Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman dan Ustaz Irwan Hadi untuk membincangkan topik Wasiat dan Pemberian Rancangan di Seminar Hartanah anjuran Warna pada 15 Mac ini. Tiket boleh didapatkan di Muzika Records pada harga $65 setiap satu.


"Adanya wasiat memberikan kepastian kepada ahli waris bagaimana harta peninggalan kita hendak dibahagikan."

- Dr Shamsiah Abdul Karim.


Antara wasiat pertama di Singapura

Wakaf Syed Mohamad Ahmad Alsagoff dibahagikan kepada 100 bahagian.

66 bahagian:

1. Senggara Masjid Hajjah Fatimah

2. Senggara Madrasah Alsagoff Al-Arabiah

3. Beri tiket bagi pengembara Islam yang terkandas

4. Pengebumian fakir miskin di Singapura

5. Sedekah kepada fakir msikin pada 27 Ramadan setiap tahun di Masjid Hajjah Fatimah

6. Jamuan buka puasa untuk fakir miskin semasa Ramadan

7. Jamuan untuk fakir miskin setiap tahun pada ulang tahun kematian pewakaf

8. Bantu saudara-mara miskin di S'pura dan luar negara

9. Bantu saudara mara dan fakir miskin di Seiyun, Hyderamaut

10. Bantu pelajar miskin Islam di Seiyun

11. Beri bantuan kewangan kepada fakir miskin di Makkah dan Madinah

12. Bantu sediakan air Zam Zam dan sejadah di Masjidil Haram di Makkah

13. Pembacaan Al-Quran di kubur pewakaf, di Singapura, Seiyun dan Makkah

13 bahagian:

Bantu saudara-mara dekat pewakaf, anak angkatnya dan keturunan mereka

21 bahagian:

Beri sokongan kepada kegiatan Persatuan Derma Amanah Muslimin, termasuk Rumah Anak Yatim Darul Ihsan

Sumber: Muis

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.