Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Meninjau ‘pejabat keluarga’ golongan mewah

Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Pembentukan pejabat keluarga atau pejabat urus aset di Singapura kian meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurut perangkaan, Singapura mempunyai sekitar 1,500 pejabat keluarga pada akhir 2022, lapor akhbar The Business Times (BT) baru-baru ini yang menukil dapatan firma pengurusan kekayaan Julius Baer Group.


Terbaru BT juga melaporkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan meluaskan skop insentif cukai di sini untuk menggalakkan pejabat keluarga itu mengerahkan modal mereka secara lebih bertekad dan bermatlamat bagi manfaat mereka.

Ini selain mendorong mereka supaya menyumbang kepada usaha-usaha sosial dan sekitaran.

Menurut satu lagi laporan akhbar tersebut, Singapura bahkan berpotensi menjadi hab global lepas pantai bagi pengurusan kekayaan yang berlandaskan syariah. Ini kerana minat terhadap pelaburan bagi produk dan perkhidmatan kewangan Islam semakin meningkat, kata beberapa pemain industri satu persidangan Maybank’s Invest Asean 2023 pada 21 Jun lalu.


Selepas pandemik Covid-19 pula, peningkatan pejabat keluarga semakin ketara – didorong kesedaran bahawa trend kekayaan keluarga mewah, jika tidak diuruskan dengan baik dan berkesan, mudah terhakis bila ia diwariskan kepada generasi seterusnya.

Misalnya, 70 peratus kemewahan keluarga luput apabila ia sampai kepada generasi kedua, 90 peratus (generasi ketiga) dan 96 peratus (generasi keempat).

Namun ramai daripada anggota masyarakat Melayu/Islam di sini mungkin kurang mengenali apa itu pejabat keluarga.

Ramai mungkin kurang memahami peranan dan skopnya kerana ia bukan ‘pejabat’ atau ‘keluarga’ yang kita ketahui umum – ia lebih daripada itu.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan mewawan­cara Encik Mohit Ralhan, CEO Global dan Rakan Kongsi Pengurusan TIW Capital Group – sebuah firma pengurusan aset yang mempunyai pejabat di Singapura, Dubai, Bahrain, Mongolia dan India – untuk mengetahui lebih lanjut perihal pejabat keluarga.

Dengan kerjaya yang menjangkau dua dekad, Encik Ralhan telah melabur dan membimbing pelbagai syarikat merangkumi berbilang sektor. Selain pernah memenangi beberapa anugerah dalam bidang pelaburan dan sebagai pemimpin perniagaan, beliau juga penceramah dan moderator dalam forum-forum industri.

Dalam wawancara menerusi e-mel itu, Encik Ralhan menyentuh pelbagai aspek yang sedikit sebanyak membuka ‘jendela’ pengetahuan kita tentang kegiatan pejabat keluarga.

Secara ringkas pejabat keluarga itu merupakan pejabat yang menguruskan segala harta keluarga mewah dalam bidang-bidang seperti pelaburan, cukai, harta pusaka dan pengekalan kekayaan.

Berikut kami siarkan sedutan wawancara tersebut.

Apa sebenarnya pejabat keluarga?

Pejabat keluarga merupakan entiti pengurusan harta privet yang memenuhi keperluan kewangan dan pelaburan individu yang mempunyai nilai bersih tinggi (HNWI) atau individu yang mempunyai nilai bersih teramat tinggi (UHNWI) dan keluarga-keluarga mereka.

Ia berfungsi sebagai pusat yang memantau pelbagai ehwal kewangan keluarga mewah, termasuk pengurusan pelaburan, perancangan hartanah, perkhidmatan cukai, kedermawanan dan perkhidmatan peribadi yang lain.

Pejabat keluarga boleh dibahagikan kepada dua bentuk utama: pejabat keluarga tunggal (SFO) dan pejabat berbilang keluarga (MFO).

SFO ditubuhkan untuk memenuhi keperluan keluarga kaya dan lazimnya diuruskan sekumpulan karyawan yang diambil bekerja oleh keluarga itu sendiri. MFO pula menyediakan khidmat dan sumber yang dikongsi buat beberapa keluarga mewah. Ia boleh dimiliki secara bebas atau dikendalikan oleh institusi kewangan.

Pejabat keluarga juga memainkan peranan penting dalam melakukan pemindahan kekayaan antara generasi dan merancang penggantian waris. Ia turut membantu dalam memelihara nilai keluarga, memudahkan struktur tadbir urus yang berkesan, serta memastikan peralihan kekayaan yang lancar kepada generasi akan datang.

Apakah kegiatan dilakukan pejabat keluarga?

Biasanya ia melibatkan pengurusan pelaburan, perancangan kewangan, pengurusan risiko, perancangan cukai, pematuhan, perancangan harta pusaka, kedermawanan dan tadbir urus keluarga.

Misalnya strategi pelaburan harus disesuaikan dengan toleransi risiko, objektif kewangan dan nilai keluarga tersebut.

Satu lagi peranan ialah untuk melaksanakan strategi pengurusan risiko dengan tujuan melindungi kekayaan keluarga agar ia tidak luput dan berkurangan.

Pengurusan risiko ini penting kerana perangkaan menunjukkan secara umumnya hanya sekitar 3-4 peratus kekayaan keluarga dapat dikekalkan hingga ke generasi keempat.


Jika peranan pejabat keluarga dijalankan secara berkesan, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku.


Pejabat keluarga juga memainkan peranan penting dalam menstruktur dan melaksanakan rancangan harta pusaka bagi melancarkan pemindahan harta kepada generasi seterusnya.

Secara ringkas, matlamat utama pejabat keluarga ialah untuk menyediakan khidmat pengurusan kekayaan secara menyeluruh dan peribadi bagi memenuhi keperluan kewangan keluarga mewah dengan menawarkan mereka kepakaran, panduan dan sokongan dalam semua aspek kehidupan kewangan mereka.

Berapa banyak kekayaan sesebuah keluarga itu perlu ada sebelum menubuhkan pejabat keluarga?

Pejabat keluarga biasanya ditubuhkan golongan HNWI dan UHNWI kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

UHNWI lebih sesuai diuruskan oleh SFO kerana golongan ini mempunyai kekayaan dalam lingkungan ratusan juta dolar atau lebih.

HNWI pula sesuai dijaga di bawah MFO dengan tahap kekayaan yang lebih rendah.

Tahap kemewahan minimum yang boleh diuruskan MFO berbeza tetapi secara umum ia sekitar AS$20-25 juta ($27-33 juta).

Keluarga atau individu mula menimbangkan untuk menubuhkan pejabat keluarga apabila mereka telah mencapai tahap kekayaan yang tidak mudah diuruskan menerusi institusi kewangan tradisional atau firma khidmat penasihat.

Sedang kemewahan keluarga bertambah, semakin penting bagi mereka memberi tumpuan kepada mengekal dan meningkatkan aset mereka, mengurus cukai dan harta pusaka dan mempelbagaikan pelaburan.

Namun perlu diingat bahawa pejabat keluarga bukan sahaja secara eksklusif ditubuhkan untuk jutawan yang memiliki aset berbilion dolar, ia juga boleh memenuhi keperluan keluarga yang mempunyai tahap kekayaan yang lebih rendah diurus menerusi MFO.

Mengapa ada peningkatan dalam bilangan pejabat keluarga di Singapura pasca-Covid-19?

Permintaan dari Asia kian ketara memandangkan kekayaan privet di rantau ini tumbuh lebih pantas berbanding bahagian lain dunia.

Peningkatan bilangan pejabat keluarga di sini didorong oleh perubahan yang dilakukan terhadap pengaturan kawal selia dan kedudukan Singapura sebagai hab pengurusan kekayaan global, selain keberkesanan pengurusan pandemik yang dikendalikan pemerintah.

Reputasi Singapura yang mesra niaga, ditambah dengan kadar cukai rendah bagi individu dan perniagaan, serta keupayaan menangani krisis global, telah menjadikan Singapura destinasi menarik bagi pejabat keluarga yang inginkan kestabilan, rangka kerja peraturan yang disenangi dan ekosistem yang menyokong.

Apakah pekerjaan yang dapat diwujudkan pejabat keluarga bagi ekonomi Singapura?

Beberapa peranan utama yang dapat diwujudkan termasuk karyawan pelaburan, pengurus kekayaan, pengurus risiko, karyawan guaman, pakar cukai dan pentadbir pejabat keluarga.

Pejabat keluarga di Singapura secara purata menguruskan lebih $1 bilion dalam bentuk aset. Ini bermakna pejabat keluarga di sini mempunyai modal yang banyak untuk melabur.

Mereka melabur dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, ekuiti privet dan penerokaan modal. Pelaburan ini dapat mewujudkan pekerjaan dalam sektor-sektor tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >