Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 penerbit buku Melayu S’pura bentuk kolektif ‘Pupuk’, sertai pesta buku KL

Gabungan di bawah kolektif bolehkan kerjasama lebih tersusun dan strategik antara penerbit setempat
May 26, 2025 | 5:30 AM
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Singapura, Pupuk
Lima penerbit dari Singapura menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di bawah satu reruai kolektif, yang dinamakan ‘Pupuk: Kolektif Penerbit Singapura’. Penerbit yang terlibat ialah Pustaka Nasional, Ungu Pen, Poppet, Unggun Creative dan Caliph Readers. - Foto MARIA MAHAT

Lima penerbit buku Melayu dari Singapura telah bergabung secara rasmi di bawah satu kolektif untuk menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun.

Kolektif bernama Pupuk: Kolektif Penerbit Singapura itu dibentuk oleh Pustaka Nasional, Ungu Pen, Poppet, Unggun Creative dan Caliph Readers, serta berkongsi satu reruai untuk mempamer dan menjual koleksi buku mereka.

Pesta buku tahunan itu turut menyaksikan pelancaran 11 buku baru, karya penulis tempatan, termasuk antologi cerpen dan buku kanak-kanak, pada 24 Mei.

Wakil Pupuk, Maria Mahat, yang juga pengasas bersama Ungu Pen, memberitahu Berita Harian (BH), gabungan di bawah kolektif itu membolehkan kerjasama yang lebih tersusun dan strategik antara penerbit.

Ia termasuk dalam mendapatkan sebahagian sokongan dana daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC), penjimatan kos logistik dan penghantaran, perancangan bersama untuk kegiatan promosi dan pelancaran, serta penjenamaan bersama yang memperkukuh identiti penerbitan Singapura di mata pembaca Malaysia dan mungkin serantau.

Sebelum ini, penyertaan penerbit dalam PBAKL lebih bersifat individu – misalnya, Ungu Pen, Pustaka Nasional dan Poppet, pernah menyertai secara persendirian, kata Maria.

“Usaha ini mencerminkan komitmen penerbit-penerbit Singapura dalam memperluas jangkauan karya mereka serta memperkukuh hubungan serantau melalui dunia buku,” jelas beliau.

Selain lima penerbit yang membentuk kolektif itu, beberapa penerbit lain dari Singapura seperti EduReach dan The Safaa Safiyyah Publication turut meletakkan buku-buku mereka untuk dipamer dan dijual di reruai kolektif itu.

Terdapat juga penerbit akademik dan pengedar buku dari Singapura yang mempunyai reruai berasingan.

Menurut Maria, PBAKL merupakan wadah terbaik untuk penerbit dari Singapura mengembangkan pasaran mereka ke Malaysia, yang merupakan pasaran pengguna bahasa Melayu terbesar di rantau ini.

Penyertaan dalam PBAKL turut membuka ruang untuk jualan langsung kepada peminat buku, serta menjalin rangkaian dengan pustakawan, pengedar, dan pemain industri buku Malaysia.

Ini penting memandangkan industri buku tempatan telah kembali rancak dengan peningkatan dalam penerbitan karya penulis tempatan selepas berakhirnya pandemik Covid-19.

“PBAKL memberi peluang kepada penerbit untuk menonjolkan karya-karya penulis tempatan, serta memperkenalkan hasil penerbitan Singapura kepada pembaca dan institusi seperti perpustakaan di Malaysia.

“Kehadiran di PBAKL bukan sahaja memperluas rangkaian pasaran, malah menjadi medan penting untuk menjalin kerjasama rentas negara serta memperkukuh kedudukan penerbitan Melayu Singapura di peringkat serantau,” tambahnya.

Beliau menerangkan penyertaan dalam PBAKL membolehkan penerbit mengenal pasti karya dari Malaysia yang berpotensi dibawa masuk ke pasaran Singapura, dan menjalin kerjasama penerbitan dengan penulis, penyunting, tenaga kreatif dan penerbit Malaysia.

Hasil kerjasama yang terjalin melalui pesta buku sebelum ini telah membuahkan hasil.

Misalnya, Maria pada 2025 akan melancarkan tiga buku baru yang dihasilkan dengan kerjasama penerbit Malaysia.

Novel kanak-kanak baru terbitan Ungu Pen, Haron dan Holmes: Misteri Pokok Mutan, pula merupakan kerjasama penulis Singapura, Hassan Hasaa’ree Ali, dan tenaga kreatif Malaysia seperti Nazry Salam, daripada penerbit Skuad Misi dan pengilustrasi baru, Syahmi Taib.

Selain pelancaran buku, Pupuk akan mengadakan promosi di media sosial dan kegiatan reruai bersama beberapa penulis Singapura yang hadir bagi menarik perhatian pengunjung dan sesi bertemu mesra, kata Maria.

Antara penulis Singapura yang hadir untuk pelancaran atau menjayakan kegiatan di reruai termasuk Nur-El-Hudaa Jaffar, Abdollah Lamat, Noridah Kamari dan Manaf Hamzah.

Sementara itu, Syed Ali Semait dari Pustaka Nasional dijemput sebagai anggota panel, Dialog Buku Asean, pada 29 Mei bagi membincangkan peranan dan masa depan buku bahasa Melayu di Asean.

Norlin Samat pula meluahkan rasa syukur syarikat penerbitannya yang kecil, Poppet, dapat menyertai PBAKL 2025 bersama penerbit buku Singapura yang lebih besar dan mapan.

“Pastinya ini bukan sahaja memberi kami peluang untuk meraih pengalaman bahkan juga turut serta dalam satu acara yang amat gah dalam suasana yang lebih ‘selamat’ kerana didampingi dan disokong oleh penerbit-penerbit Singapura,” katanya.

Farihan Bahron dari Unggun Creative pula berkata di PBAKL 2025, syarikat penerbitannya mahu memberi tumpuan kepada pengumpulan data, trend penerbitan dan minat pembaca.

11 buku baru S’pura dilancar di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025

Terima Kasih Tuan Presiden
Naskhah ini menghimpunkan 25 cerpen oleh 25 penulis dari Singapura, Malaysia dan Indonesia, mewakili suara sastera kontemporari serumpun yang kaya dengan pelbagai gaya, pandangan dan pengalaman budaya. Menampilkan tema seperti sastera hijau, konflik, paradoks, realisme magis dan pelbagai pergelutan kemanusiaan, antologi ini menjadi cerminan kerjasama sastera serantau yang kian matang dan saling terhubung.

Terima Kasih Tuan Presiden.
Terima Kasih Tuan Presiden. - Foto UNGGUN CREATIVE

Haikura
Buku ini adalah gabungan puisi haiku dengan tema kura-kura. Lokasi Taman Tasik Jurong sering dikunjungi penulis untuk memerhatikan gelagat reptilia yang berdarah sejuk ini. Penggunaan bahasa yang ekonomis, padat dan tepat dalam buku ini dapat memancing minat kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun untuk membaca.

Haikura.
Haikura. - Foto CALIPH READERS

Zaleha Tidak Ada Baju
Adakah almari baju anda terlalu penuh? Pernahkah anda melihat isi almari anda, tetapi tidak dapat memilih baju? Atau berfikir anda tidak ada baju untuk dipakai? Ayuh, kita baca bagaimana Zaleha menyelesaikan masalah ini.

Zaleha Tidak Ada Baju.
Zaleha Tidak Ada Baju. - Foto PUSTAKA NASIONAL

Pokok Yang Paling Biasa Di Dunia
Pati ialah sebatang pokok yang hidup di salah satu tempat terindah di dunia. Dia dikelilingi pelbagai tumbuhan dan haiwan, seperti pokok kayu merah, cendawan dan mentadak. Setiap pagi, pokok dan haiwan lain akan bernyanyi tentang keistimewaan masing-masing, tetapi Pati berdiam diri. Dia fikir dia pokok yang biasa sahaja. Pada suatu hari, murid-murid datang ke tempat Pati. Mereka memberi Pati kejutan. Apakah kejutan itu?

Pokok Yang Paling Biasa Di Dunia.
Pokok Yang Paling Biasa Di Dunia. - Foto PUSTAKA NASIONAL

Haron dan Holmes: Misteri Pokok Mutan
Sekolah Haron dipecah masuk tetapi tiada apa yang hilang. Dengan bantuan rakan detektif khayalannya, Holmes, mereka menemui petunjuk aneh – daun dan akar yang luar biasa, cecair hijau misteri, dan tumbuhan mutan yang mengganas! Ikuti Haron dan Homes membongkar dalang di sebalik ciptaan yang mengerikan ini.

Haron dan Holmes: Misteri Pokok Mutan.
Haron dan Holmes: Misteri Pokok Mutan. - Foto UNGU PEN

Aliman di Alam Jin
Ada hantu di bilik air sekolah? Begitulah pengalaman Aliman – dia bertemu dengan lembaga halus di bilik air sekolahnya. Tetapi Cikgu enggan percaya! Ternyata pengalaman itu membuka pintu kepada alam jin! Ikutilah pengembaraan Aliman ke alam penuh misteri – di mana jin lawan jin untuk merebut mahkota dunia jin, dan Aliman terperangkap di tengah-tengah! Dapatkah Aliman melepaskan diri dari alam jin – dan menjadi pendamai puak-puak jin yang bertelagah?

Aliman di Alam Jin.
Aliman di Alam Jin. - Foto CALIPH READERS

Tajam Akal
Peribahasa adalah ‘bunga bahasa’. Ia mengandungi kekata yang indah yang menjadi suntingan dalam mencantikkan pertuturan dan penulisan. Penulis mengambil pendekatan menyebut setiap peribahasa dua kali. Ia diulang bagi menimbulkan cinta dan ingat kepada peribahasa yang dipelajari.

Tajam Akal.
Tajam Akal. - Foto CALIPH READERS

Mulianya Hatimu Ayah
Buku ini mengandungi 11 cerpen. Mengisahkan tentang seorang Ayah yang warak mengerjakan rutin sehariannya berqiamullail. Ayah dengan mesin jahit yang dihadiahkan isterinya itu bagaikan isi dengan kuku. Tidak dapat dipisahkan lagi kerana ada nilai estetikanya yang tersendiri. Malah, Ayah tanpa jemu terus berusaha menjahit pelitup barunya. Dalam usia senjanya dan dengan keadaan kesihatan yang berkurang, Ayah tetap bersemangat waja dan berdaya bingkas menjahit pelitup yang direka sendiri untuk diberikan kepada jemaah masjid. Cerpen ini sarat dengan emosi yang mengangkat nilai keprihatinan dan empati terhadap orang di sekeliling Ayah.

Mulianya Hatimu Ayah.
Mulianya Hatimu Ayah. - Foto CALIPH READERS

Sebuah Ikrar Segenggam Sabar
Buku ini menghimpunkan 10 cerpen karya Peter Augustine Goh. Cerpen yang dihasilkan antara 2018 dengan 2022 ini mengangkat pelbagai persoalan sejagat. Pelbagai cerita berunsur cinta dan kasih sayang, kemanusiaan, pengorbanan, keadaan penuh cabaran sewaktu pandemik Covid-19, dan psikologi dihidangkan dalam kumpulan cerpen ini. Bertunjang aliran realisme, cerpen-cerpen ini disentuh begitu berseni dan sarat dengan metafora dan falsafah. Penulis menggunakan pelbagai teknik plot serta mengatur plot yang berjaya ‘membelit’ fikiran pembaca, walaupun jalanan ceritanya disampaikan dalam gaya bahasa yang santai dan segar dengan alunan intonasi nostalgik yang mampu mengusik hati pembaca.

Sebuah Ikrar Segenggam Sabar.
Sebuah Ikrar Segenggam Sabar. - Foto CALIPH READERS

Pokok Rahmat Pengikat Persaudaraan
Sebaik saja Prakash, Jason Lim dan Amir hendak memetik buah epal, seorang lelaki menghampiri dan menahan mereka. Kemunculan orang tua secara mendadak itu membuat darah mereka berderau. Suatu petang, Amir, Jason Lim dan Prakash terkejut apabila melihat pokok luar biasa itu hilang. Hanya berbekas tapak bertanah kering dan sebelahnya ditumbuhi lalang. Ketika mereka dirantai kebodohan, lelaki tua itu mendatangi mereka, bukan secara fizikal tetapi dalam bentuk suara amat garau dan penuh nada kesal. Mengapakah pokok ajaib berbuah lebat dan harum itu hilang dan bagaimanakah pula pokok itu boleh wujud semula?

Pokok Rahmat Pengikat Persaudaraan.
Pokok Rahmat Pengikat Persaudaraan. - Foto CALIPH READERS

Lelaki Berwajah Dua
Terkebil-kebil mata Johan membaca surat agak panjang itu. Mulutnya terlopong dan tidak percaya apabila habis saja membaca, surat itu hilang bersama sampul surat. Yang kelihatan hanyalah asap nipis yang memanjat udara ruang tamu rumahnya, lalu menghilang apabila mencecah siling rumah. Benar, ada semacam filem lama dimainkan semula dan tertayang dalam bola kristal! Melihat adegan bersilih ganti membuat Johan terasa amat bersalah dan kesal. Semua perbuatan itu tidak boleh disembunyikan lagi. Sebaik saja kata-kata terhambur keluar dari kedua-dua belah mulut lelaki berwajah dua itu serentak, semacam cahaya sorot di bahagian wajah sebelah kiri memencar.

Lelaki Berwajah Dua.
Lelaki Berwajah Dua. - Foto CALIPH READERS
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg