Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku misteri ‘Haron & Holmes’ rangsang pemikiran kreatif pembaca muda

Minat penulis terhadap watak Sherlock Holmes jadi inspirasi terapkan watak detektif
May 12, 2025 | 5:30 AM
 ‘Haron & Holmes’
Buku, ‘Haron & Holmes’, akan dilancarkan pada 23 Mei di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan 10 Jun di Singapura. - Foto UNGU PEN

Penulis tempatan, Hassan Hasaa’ree Ali, telah lama meminati kisah misteri, terutama yang melibatkan watak cereka, Sherlock Holmes, seorang detektif.

Beliau masih ingat lagi bagaimana kisah-kisah penuh keseronokan dan debaran detektif unggul itu memupuk minat membaca dalam dirinya ketika di sekolah rendah dahulu.

Justeru tidak hairanlah jika buku terbarunya yang berjudul, Haron & Holmes, memaparkan watak detektif tersebut.

Buku genre misteri setebal 72 muka surat itu mengisahkan tentang watak Haron, murid sekolah rendah yang memiliki daya imaginasi hebat.

Haron sangat meminati Holmes hingga detektif itu ‘wujud’ menjadi rakan khayalannya.

Kedua-duanya menyiasat kes pecah masuk pejabat sekolah yang mempunyai tanda-tanda pelik.

Mereka terjerumus dalam kes penuh misteri dan aksi, dan perlu bersemuka dengan pokok mutan.

Dalam wawancara melalui e-mel bersama Berita Harian (BH) pada 8 Mei, Hassan, 46 tahun, berkata minatnya terhadap kisah misteri, terutama sekali terhadap watak Holmes, telah mendorongnya menulis buku, Haron & Holmes.

Haron & Holmes bermula sebagai sebuah cerpen, dan kemudian dikembangkan. 

“Ilham bagi buku ini datang daripada minat saya sebagai seorang ‘Sherlockian’ iaitu panggilan peminat Sherlock Holmes.

“Watak Sherlock Holmes dalam buku ini sebagai watak kedua kepada Haron yang merupakan watak utama.

“Holmes boleh dilihat sebagai seorang rakan yang mencabar Haron untuk berfikir secara analitis, ada masanya kreatif,” kongsi pemenang Anugerah Pena Emas (Golden Point Award) 2011 itu.

Penulis tempatan, Hassan Hasaa’ree Ali, berkata minatnya terhadap kisah misteri, terutama sekali watak cereka, Sherlock Holmes, seorang detektif, telah mendorongnya menulis buku ‘Haron & Holmes’.
Penulis tempatan, Hassan Hasaa’ree Ali, berkata minatnya terhadap kisah misteri, terutama sekali watak cereka, Sherlock Holmes, seorang detektif, telah mendorongnya menulis buku ‘Haron & Holmes’. - Foto ihsan HASSAN HASAA’REE ALI

Hassan, yang mula menulis ketika berumur belasan tahun, berharap buku, Haron & Holmes, dapat menanam minat membaca terutama sekali dalam kisah misteri, penyiasatan dan pengembaraan.

Jalan cerita, Haron & Holmes, juga mudah difahami, plotnya tidak rumit dan bahasanya sesuai untuk murid sekolah rendah, tambahnya.

“Saya berharap buku ini dapat menjadi pemangkin minat membaca dan membuka kotak imaginasi pembaca,” kata Hassan, penerima Anugerah Harapan 2015 dan Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2017.

“Saya juga harap buku ini dapat menarik minat penulis-penulis muda agar mencuba genre-genre berlainan bagi buku Melayu kanak-kanak,” ujar pensyarah bidang kejururawatan di politeknik itu.

Berkongsi pandangannya tentang genre misteri dan detektif, Hassan berkata genre itu sangat menarik bagi kanak-kanak kerana ia membolehkan pembaca mengikuti plot dan watak cerita secara spontan dan seiring watak utama dalam menyelesaikan masalah.

“Genre ini mempunyai potensi besar tetapi masih kurang berkembang dalam bahasa Melayu.

“Jurang yang ada dalam genre ini memberi peluang untuk penulis Singapura menghasilkan lebih banyak cerita genre misteri dan detektif, seperti Famous Five dan Nancy Drew, yang relevan dengan menampilkan nilai-nilai budaya Melayu/Islam berlatarkan Singapura, dunia kontemporari ataupun futuristik,” kata Hassan yang sebelum ini telah menghasilkan siri cereka sains, Zac Rushd.

“Genre misteri dan detektif khususnya membina pemikiran analitis dan kreatif apabila pembaca cuba menyelesaikan kes-kes misteri bersama watak-watak dalam cerita.

“Selain itu, jalan cerita yang mendebarkan juga dapat menarik minat pembaca,” tambahnya.

Buku, Haron & Holmes, terbitan Ungu Pen itu akan dilancarkan pada 23 Mei di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan pada 10 Jun di Singapura.

Ia berharga $15 dan boleh dipesan di laman web, ungupen.com.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg