calit warna-warni kenangan seperti parut pada kanvas wajah infiniti masih terus diteliti

berus-berus berkerak cat di dalam gelas berair pelangi tenggelam di danau semalam

titis tompok di lantai lakaran peta dunia baharu dimensi meta bersempadan leta

dan di sana terbiar kini di bingkai kaku karya agung terabai tidak sempat selesai

MOHAMED NAGUIB NGADNAN

Langkah

hati ini hendaklah dididik untuk berbudi dan juga berbakti barulah berpahala setiap langkah kaki setiap niat amali akal juga harus cerdik berakar dengan ilmu menggalas tanpa malu baru bercambah dedaunan kasih mekar menjadi rimbunan insan berteduh lalu jadikan kalam Tuhan zikir abadi bukan senandung cerca bukan pula gurindam maki basahkan lidah dengan talbiah isikan kalbu dengan tarbiah barulah pulangmu dengan aman syahdu diiring dengan ganjaran ingatlah bermulanya kita dengan penantian fitrah pengharapan berakhirnya kita pula dengan panggilan meniti ujian kemenangan bermuhasabahlah neraca iman bukan mainan azab Tuhan pula bukanlah satu gurauan

ZAINOL ABI

Gurindam Ikhlas

Jikalau ikhlas menunaikan ibadah urusan hidupnya Allah permudah

Jikalau ikhlas mengikut sunah terhindar pasti genjala fitnah

Jikalau ikhlas mencari nafkah rezeki diraih sentiasa barakah

Jikalau ikhlas menuntut ilmu hilang istilah penat dan jemu

Jikalau ikhlas memberi nasihat natijahnya tentu jelas terlihat

Jikalau ikhlas menerima teguran setiap ungkapan ada pengajaran

Jikalau ikhlas ketika membantu ganjaran syurga sudahlah tentu

Jikalau Ikhlas menegak kebenaran segala tindakan menepati sasaran

Jikalau ikhlas tinggalkan maksiat dosa kemungkaran musnah tersiat

Jikalau ikhlas menyumbang bakti jasanya dikenang sampai ke mati

Jikalau ikhlas berbaik sangka ukhuwah terbina indah belaka

Jikalau ikhlas ingin berubah pahala dicari pasti bertambah

Jikalau ikhlas genggam wawasan setiap diusahakan memberi kesan

HAMDAN NAIM