Sejak kita berpisah, nama mu sering ku ucap. Rindu yang bertaut seakan tersimpul menanti terlerai Masih terbayang sebuah 'rendezvous' yang seakan kilat berlalu
Saat engkau disisi, layanan ku berikan begitu tulus dan ikhlas Ku bisukan mulut ku, ku butakan mata ku dan ku tulikan telinga ku, dan beri penuh perhatian pada mu
Dan saat matahari terbenam, kita menadah rezeki seadanya Bersyukur apa yang dikurnia Menjamu berpada pada Sesuci nikmat yang dikecap
Dan pabila malam bertandang, kita berlagu beramai ramai dengan dendangan rukuk dan sujud. Dan sepertiga malam kita berirama dengan kalimah kalimah yang cukup indah, damai dan tenang
Dan semua ini akan ku ulangi lagi dengan kehadiran mu yang bakal menguntum nafas syukur Akan ku hiasi hari ku dengan amal dan sedekah Akan ku pelihara pertemuan ini lebih baik dari yang sudah
Ku nanti kehadiran mu Kerana kasih ku pada Ramadan
ARJUNAH RINDU
Buka hati untuk Ramadan
menjelang Ramadan kepada yang tebal iman ghairah menunggu ketibaan tidak perlu segala persiapan hanya kepada Allah diharap keredhaan terhadap semua amalan
kesihatan baik dipastikan bukan saja tubuh malahan akal dan fikiran agar ibadah dapat dilaksanakan cukup kemudahan jauh gangguan mencapai matlamat dan harapan
kepada yang kurang pasti dapatkah guru pembuka hati semoga tercapai apa yang dicari membetulkan fahaman untuk berdikari kerana Allah kita berdiri segala rintangan dapat diatasi
AMAN SAMAT
Gerbang Ramadan
Ramadan kemunculanmu dinanti dirindu bulan rahmat menyentuh kalbu mengakui kekerdilan menuju keinsafan bertaut pengharapan mengerat hubungan merangkul kemanisan menuju keredaan
Kian lama larut dalam keduniaan tiba saat kembali kepada fitrah memperkukuh keazaman merancang di sela kesibukan merebut kesempatan sebelum berpulang
JUNAIDAH BAHARAWI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg