Seperti kau, alam juga berkata-kata ada jiwa dilapah kontang lidah musim terjelir seperti serigala dirasuk malam mengekori angin yang tidak berwajah apa gunanya kau menyamar seperti anjing? Matamu tidak menembusi lapisan tanah ribut hanya mematahkan ranting yang rapuh dan kau juga tahu tentang rahsia kesuburan biarpun bukit yang kau pandang bercahaya dan langit petang seperti bidadari telanjang ah....! Kenapa kau tidak menggonggong lagi?
Seperti kau, alam juga turut merintih ada semangat ditusuk jarum waktu bergulir seperti suara angin di celahan bukit risau burung-burung senja pulang ke sarang apa gunanya kau meminjam sayap bidadari? Kau kelkatu tergoda seru lampu jalanan lalu tersembam ke tanah tidak bermaya biarpun sayap tumbuh di tanah gersangmu disela daun-daun kering, humus dan lumat ah...! Kenapa kau tidak mahu terbang lagi?


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg