Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Amir Cari Hobi’ buku kongsi keseronokan ada kegiatan digemari

Ibu bapa boleh jelaskan kepada anak manfaat miliki hobi, peluang jana pendapatan
Aug 18, 2025 | 5:30 AM
Penulis buku, ‘Amir Cari Hobi’, Sanesa Salleh, berkata buku tersebut sesuai dibaca ibu bapa atau guru bersama kanak-kanak sebagai sumber bacaan secara santai atau sebagai bahan pembelajaran.
Penulis buku, ‘Amir Cari Hobi’, Sanesa Salleh, berkata buku tersebut sesuai dibaca ibu bapa atau guru bersama kanak-kanak sebagai sumber bacaan secara santai atau sebagai bahan pembelajaran. - Foto ihsan SANESA SALLEH

Dalam satu perbualan bersama cucu saudara yang berumur enam tahun, Sanesa Salleh, bertanya tentang hobi kanak-kanak itu.

Namun jawapan yang diterima adalah, “apa itu hobi?” kerana kanak-kanak tersebut tidak sedar tentang kewujudan dan pentingnya mengamalkan sesuatu yang digemari sehingga ia menjadi hobi.

Justeru buku, Amir Cari Hobi, yang diterbitkan baru-baru ini bertujuan mengajak kanak-kanak mengenal erti hobi atau kegemaran mereka dan manfaat yang boleh diraih apabila seseorang itu mempunyai hobi.

Buku tersebut, yang merupakan sebahagian daripada ‘Siri Pengkarya Singapura’, dilancarkan pada 26 Julai.

Ia mengisahkan tentang budak lelaki bernama Amir yang baru sahaja melangkah ke peringkat sekolah rendah, kongsi Sanesa, 60 tahun.

Guru Bahasa Melayu Amir telah memberi kerja rumah untuk murid-murid mengenal hobi masing-masing dan kemudian berkongsi hobi mereka bersama rakan-rakan di kelas.

“Dalam usaha Amir mencari hobinya, dia mula memerhatikan kegiatan yang dilakukan oleh ahli keluarganya dan bertanya tentang hobi mereka.

“Namun, apabila Amir mengajukan soalan mengenai hobi mereka, setiap ahli keluarga Amir keliru dan terpinga-pinga.

“Mereka tidak dapat memberi Amir jawapan yang Amir inginkan. Mungkin kerana soalan Amir ditanya secara rawak dan semasa mereka sedang melakukan kegiatan yang berkaitan dengan hobi mereka sendiri,” kata Sanesa.

Guru pesara yang berpengalaman mengajar di prasekolah selama lebih tiga dekad itu berkata buku tersebut sesuai dibaca ibu bapa atau guru bersama kanak-kanak sebagai sumber bacaan secara santai atau sebagai bahan pembelajaran.

Memberi saranan kegiatan yang boleh dilakukan selepas membaca buku itu, Sanesa berkata ibu bapa atau guru boleh berkongsi pengalaman Amir yang sedang mencari hobinya melalui ahli keluarganya yang ada di rumah.

Melalui buku itu, pembaca dapat mengenali bahawa hobi adalah sesuatu yang seronok dilakukan semasa masa lapang, katanya.

Selain itu, ibu bapa boleh mengajak anak-anak melakukan kegiatan yang menyeronokkan pada masa lapang mereka dan memperkenalkan istilah hobi kepada anak-anak dengan berkongsi hobi mereka sendiri seperti membuat kek, berbasikal atau bermain alat muzik.

Ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak tentang manfaat mengamalkan hobi mereka secara tekal dan juga peluang menjana pendapatan daripada melakukan kegiatan yang digemari.

Sebagai contoh, menjual kek yang telah disiapkan, menyertai perlumbaan basikal atau bermain alat muzik dalam kugiran.

“Topik hobi juga sesuai diperkenalkan di sekolah agar murid-murid faham tentang pentingnya mengamalkan sesuatu yang mereka gemar, langsung menjadikan ia sebagai hobi.

“Ini termasuk menulis surat kepada sahabat pena yang ada di luar negara, melukis atau menari.

“Kegiatan ini mungkin kelihatan agak ‘ke belakang’ (old school) namun banyak manfaat dapat diraih daripada melakukan hobi sedemikian,” tambah Sanesa.

Sebelum menulis buku, Amir Cari Hobi, Sanesa, yang hobinya menulis, pernah menyertai projek menyiapkan 12 buku besar untuk kegunaan guru Bahasa Ibunda semasa beliau masih bertugas dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau juga telah menerbitkan buku elektronik untuk pembaca dewasa secara antologi dan persendirian.

Bagi buku terkininya itu, Sanesa berkata beliau telah mengikuti bengkel menulis buku cerita kanak-kanak sebelum melakar jalan cerita dan seterusnya menyiapkan penulisan draf yang sesuai untuk pembaca cilik.

“Apa yang ingin saya sampaikan dalam buku ini adalah sesuatu yang dekat dengan kehidupan kanak-kanak dan jalan cerita yang mudah difahami dan relevan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman menulis itu adalah hasil sokongan, tunjuk ajar dan penyelenggaraan pengasas syarikat penerbitan tempatan, Alam Cahaya, iaitu Hana Mohd.

Buku, Amir Cari Hobi, dijual sebagai sebahagian set bersama lima lagi buku dalam ‘Siri Pengkarya Singapura’ terbitan Alam Cahaya.

Lima judul lain dalam siri itu adalah, Pak Busu Raja Sehari, karya Hafeeza Ju; Dikir Barat, karya Amirul Hakim; Lawatan Ke Pulau Sentosa, oleh Hana Mohd; Tudung Saji Nenek, tulisan Faziha Abdollah; dan Wayang Kulit Aidin, tulisan Ismadiana Muhamad.

Set itu dijual pada harga istimewa $55 hingga hujung Ogos dan boleh didapatkan di laman web, alamcahaya.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg