Penulis tempatan, Noorfaziha Md Abdollah, menyuntik nafas baru dalam dunia buku cerita kanak-kanak dengan buku pertamanya berjudul, Tudung Saji Nenek.
Buku itu memperkenalkan pembaca muda kepada barangan yang biasa dilihat dalam budaya Melayu.
Bidang penulisan bukanlah sesuatu yang asing bagi Noorfaziha, 37 tahun, seorang Pengurus Kurikulum sepenuh masa.
Namun, menurutnya, penghasilan buku cerita kanak-kanak seperti,Tudung Saji Nenek, memberikan pengalaman baru dan mencabar, tetapi amat bermakna.
“Inspirasi bagi buku ini datang daripada pemerhatian saya terhadap kanak-kanak – baik yang saya temui di pusat prasekolah mahupun dalam kalangan keluarga sendiri,” katanya.
Buku tersebut mengisahkan tentang sepasang kembar, Haziq dan Sofia, yang menghadapi kesukaran menyiapkan tugasan ‘tunjuk dan ujar’ di sekolah mereka.
Dalam usaha mencari idea, mereka melawat rumah nenek mereka – satu kunjungan yang membuka mata mereka.
Di rumah nenek, mereka diperkenalkan kepada pelbagai alat dan kuih-muih tradisional Melayu.
Melalui penceritaan dan penerangan nenek mereka, pasangan kembar itu bukan sahaja belajar mengenali warisan budaya, bahkan turut menyedari benda yang kelihatan serupa kadangkala memiliki fungsi dan makna sangat berbeza.
“Watak ‘nenek’ memainkan peranan penting sebagai sumber ilmu dan pemangkin penceritaan.
“Beliaulah yang memperkenalkan Haziq dan Sofia kepada keindahan dan kekayaan budaya Melayu melalui peralatan dan kuih-muih tradisional,” kata bekas guru prasekolah itu.
Proses menulis buku tersebut, katanya, tidak mengambil masa yang lama untuk idea awal dan konsep.
Namun, proses penerbitan yang melibatkan penyaringan, suntingan dan kerjasama dengan penerbit, mengambil masa lebih panjang bagi memastikan mutu kandungan yang sesuai untuk kanak-kanak.
Noorfaziha turut berkongsi bahawa beliau memerah otak agar dapat menyampaikan mesej bermakna dalam bentuk cerita yang ringkas dan mudah difahami oleh kanak-kanak.
“Cabaran saya adalah untuk mencipta jalan cerita yang ringkas tetapi tetap memberi nilai.
“Watak-watak pula perlu dekat di hati pembaca muda supaya mereka dapat rasa seolah-olah mereka juga sebahagian daripada cerita itu,” kata Noorfaziha.
Beliau berharap kanak-kanak akan mengenali dan menghargai kekayaan budaya Melayu, seperti keunikan kuih-muih tradisional dan peralatan lama yang mungkin kini jarang dilihat.
Mesej tersebut bertujuan memupuk rasa penghargaan dan minat dalam diri terhadap budaya sendiri.
Noorfaziha memilih menyampaikan mesej tersebut kerana beliau rasakan amat penting bagi kanak-kanak masa kini didedahkan dan diajar tentang kekayaan budaya Melayu yang mungkin kian kurang dikenali.
“Selain itu, saya juga berharap mereka dapat mempelajari perkataan baru dalam Bahasa Melayu dan dengan pengakhiran cerita yang bersifat terbuka, kanak-kanak boleh menjadi sebahagian daripada penceritaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penulis untuk berkarya dengan pendekatan segar dan kreatif.
“Fahami audiens kanak-kanak anda, sampaikan mesej bermakna secara menyeronokkan, dan pastikan ketepatan maklumat melalui kajian mendalam.
“Kekalkan minat serta kesabaran, kerana karya anda berupaya membentuk minda generasi akan datang dan memupuk penghargaan terhadap bahasa dan budaya kita,” ujarnya.
Buku, Tudung Saji Nenek, sebahagian daripada Siri Pengkarya Singapura, yang merangkumi kisah bertema budaya, permainan tradisi, hobi dan lawatan ke tempat menarik di Singapura.
Buku yang berlatarkan Singapura dalam siri tersebut turut memberi pengetahuan berguna kepada pelajar.
Bagi mendapatkan buku Tudung Saji Nenek serta Siri Pengkarya Singapura, lungsuri laman web, Alam Cahaya di pautan, https://bh.sg/MUHU


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg