Amnesia
Dalam usia sepi, pudarlah warna pada polaroid peristiwa lama dicalit karat penumbra sepia cahaya purnama menjadi imejan kelibat kelabu tidak bernama kerana kini kesemuanya tampak sama sepanjang parabola ufuk tidak bertepi
Dalam waktu senyap, sayuplah melodi irama bisikan kaset kelmarin dihela puting beliung Masa dihembus angin dibiar terngiang merentasi samudera masin untuk padam liuk tarinya pelita lilin kemudian segalanya kembali lenyap
Dalam saat sunyi, ghaiblah ceritera mitos purba seorang enigma menyucikannya dari segala status dan stigma pencerahan nan mendakap anjakan paradigma kerana sebalik semua terkandung hikmah tertimbus pasir sejarah biar tersembunyi
Mungkin semua ini mimpi mamai belaka kualpa dalam kembara mencari Aku, maka maafkanku; kutinggalkan semalam penaka sebuah kota nostalgia ditelan malapetaka
MOHAMED NAGUIB BIN NGADNAN

