Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Antologi baru kumpulan Meja Conteng hidupkan sastera perintis

Projek khas, ‘Tinta untuk Tiga’ undang penulis muda dan berpengalaman beri respons kepada karya, gagasan penulis mapan
Dec 23, 2025 | 5:30 AM
Projek antologi puisi, Tinta untuk Tiga, karya, tiga tokoh asas sastera Melayu, Suratman Markasan, Masuri S. N., Mohamed Latiff Mohamed.
Projek antologi puisi bertajuk, ‘Tinta untuk Tiga’, mengundang para penulis saling berbincang tentang karya dan gagasan tiga tokoh asas sastera Melayu, Allahyarham Suratman Markasan, Allahyarham Masuri S. N. dan Allahyarham Mohamed Latiff Mohamed. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM MEJA CONTENG

Beberapa penulis daripada kumpulan Meja Conteng telah memberi nafas baru kepada karya Allahyarham Cikgu Suratman Markasan, dengan memberi respons kepada puisinya dalam siri syarahan umum terakhir Taman Warisan Melayu (TWM) pada 9 November lalu.

Kini, Meja Conteng sedang mengusahakan projek khas, Tinta untuk Tiga, sebuah antologi puisi baru.

Projek itu mengundang penulis muda dan berpengalaman untuk memberikan respons kepada penulis perintis.

Antologi itu merupakan projek pertama kolektif sastera belia Singapura, Meja Conteng.

Ia menjadi jambatan suara penulis muda dan mapan melalui penulisan ‘surat’ berbentuk puisi, sebagai tanda bicara dengan warisan sastera.

Puisi yang dihimpunkan adalah respons kepada karya, pemikiran, dan semangat perjuangan tiga tokoh penulis: Allahyarham Suratman Markasan, Allahyarham Masuri Salikun (Masuri S. N.), dan Allahyarham Mohamed Latiff Mohamed.

Melalui renungan para peserta, antologi itu melihat bagaimana sasterawan tersebut membentuk pemahaman kolektif tentang jati diri, bahasa dan masyarakat.

Menurut Meja Conteng, tokoh-tokoh itu dipilih kerana mereka penerima Anugerah Tun Sri Lanang yang berprestij.

“Penulisan dan pemikiran mereka wajar diketengahkan dan diperkenalkan kepada anak-anak muda,” ujar Fadhli Rusydi Fadzil, 26 tahun, pengasas bersama Meja Conteng.

Puisi-puisi dinilai berdasarkan tiga kriteria utama: Respons terhadap satu karya atau idea daripada mana-mana tokoh; membawa suara, rasa, atau pandangan baru; dan memikirkan isu serta kerelevanannya hari ini, termasuk cara penulis menyuarakannya semula.

Idea projek antologi puisi itu ujar Fadhli, tercetus daripada keinginan untuk “menyoroti karya-karya Pak Suratman, serta penulis tempatan lain, dalam arus perdana”.

Ia seiring dengan semangat membalas puisi tokoh penulis di Singapura, seperti yang dilakukan dalam acara bersama TWM sewaktu Pesta Penulis Singapura 2025 (SWF) pada 9 November.

Acara yang diberi nama, Pelita Sang Pendeta: Cikgu Suratman Markasan dan Lentera Bahasa, memberi penghormatan kepada Allahyarham Cikgu Suratman, seorang sasterawan, pemikir, dan pendidik ulung.

Karya-karya beliau telah membentuk dunia kesusasteraan Melayu dan pendidikan di Singapura.

“Format puisi ini memberi kami (Nur Hikmah Ali, Fadhli dan Hidayat Nordin) ruang untuk benar-benar menghargai warisan penulisan beliau, dengan memikir ulang pemikiran Pak Suratman, menilai mana yang masih relevan atau boleh dikembangkan, dan belajar daripadanya,” kata Hikmah, 26 tahun, seorang ahli Meja Conteng.

Sesi yang diadakan di The Arts House itu dimulakan dengan ucaptama oleh Cikgu Suraidi Sipan, yang menyingkap sumbangan Pak Suratman terhadap pendidikan, terutama bagaimana beliau menghubungkan kesusasteraan, jati diri budaya, dan pembentukan minda generasi muda.

Tiga penyair daripada Meja Conteng – Hidayat, Hikmah, dan Fadhli – kemudian menyampaikan karya asli mereka sebagai respons kontemporari terhadap puisi-puisi Pak Suratman.

Kolektif sastera belia itu yakin warisan sastera hanya akan benar-benar bermakna apabila ia ditafsir dan dihidupkan semula oleh setiap generasi baru.

Lantaran itu, melalui projek tersebut, penulis muda dan masyarakat umum akan dapat berinteraksi dengan teks-teks berkenaan.

Mereka akan mempersoal isu-isunya, menanggapi maknanya, serta mengembangkan idea-idea tersebut ke arah masa depan.

Setakat ini, respons yang diterima sangat menggalakkan dan merangkumi kelompok usia berbeza, ujar Meja Conteng.

Apabila ditanya tentang hasil akhir dan kemungkinan puisi-puisi respons itu dibukukan, Berita Harian diberitahu tiada butiran lanjut setakat ini kerana projek tersebut masih dalam fasa awal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg