Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Antologi puisi ‘Jatuh Hukum’ gabung ilham tiga penulis

Feb 2, 2025 | 5:30 AM
Buku antologi puisi ‘Jatuh Hukum’ menggabungkan pelbagai genre dengan satu penyatuan dinamik antara pendidikan, drama dan muzik.
Buku antologi puisi ‘Jatuh Hukum’ menggabungkan pelbagai genre dengan satu penyatuan dinamik antara pendidikan, drama dan muzik. - Foto AZMAN SHARIFF

OLEH FARIDAH TAIB

Majlis pelancaran buku antologi puisi, Jatuh Hukum, berlangsung di bangunan Perpustakaan Negara pada 25 Januari lalu.

Seramai tiga penggiat seni tanah air berjaya melahirkan buku antologi puisi ini.

Buku ini agak unik kerana menggabungkan idea insan-insan seni yang mapan di dalam bidang masing-masing.

Antaranya, dramatis dan pelakon pentas legenda, Azman Shariff; penyanyi, penulis lirik dan pencipta lagu, Mohd Khair Mohd Yasin; serta Cikgu Khaziah Yem, seorang guru yang berdedikasi dan juga dikenali dengan dendangan merdu syairnya.

Mereka telah berkongsi cinta terhadap bahasa dengan keindahan bait-bait kata, pesanan yang dirangkai indah, diadun menjadi sebuah karya untuk tatapan pembaca.

Buku tersebut mengetengahkan konsep pemikiran yang terbuka terhadap apa yang sudah mereka bentangkan untuk tatapan masyarakat.

Majlis dimulakan dengan doa pembuka acara oleh Adnan Sirat, diikuti dengan dendangan syair Selamat Datang oleh Cikgu Khaziah, yang diiringi oleh Afiq Syazani Azman dengan alunan muzik akordion.

Pelancaran buku ini telah disempurnakan oleh tetamu terhormat, Cik Som Said, penerima Anugerah Pingat Budaya, yang juga pengasas dan pengarah artistik Sri Warisan.

Ketiga-tiga penulis mempunyai gaya dan tulisan tersendiri. Di sinilah terletaknya keistimewaan pada buku tersebut.

Seperti kata Cik Som: “Ketiga-tiga penulis punya gaya dan tulisan yang sangat istimewa.

“Cikgu Khaziah mempunyai kehalusan dalam pilihan kata-kata yang lembut seperti air yang mengalir. Azman pula tertumpu kepada kekuatan tenaga, pergerakan yang tegas dan emosi mendalam. Manakala Khair pula dengan kepelbagaian pergerakan yang halus dan mengundang teka-teki.”

Hadirin juga menerima satu kejutan istimewa apabila rakaman video menampilkan penggiat seni mapan, Nadiputra.

“Karya yang tinggi nilainya. Buku ini memberi kesan yang mendalam kepada pembaca. Satu percubaan yang baik, bernas, jitu dan bermanfaat. Tahniah,” katanya lagi.

“Tercetusnya idea menghasilkan buku ini adalah kerana niat untuk bergabung ilham bersama sahabat-sahabat seni,” kongsi Mohd Khair.

“Dengan kehadiran buku Bukan Kerana Nama oleh seniman, Abang Azman Shariff, dan kemenangan Cikgu Khaziah Yem di dalam pertandingan Golden Point di dalam bahagian sajak, meningkatkan lagi semangat saya untuk menerbitkan antologi puisi, Jatuh Hukum, ini bersama mereka.”

“Frasa ‘Jatuh Hukum’ itu dipetik daripada salah satu judul sajak tulisan Abang Azman.

“Justeru, apabila berbincang untuk menentukan judul buku ini, kami berasakan judul ‘Jatuh Hukum’ adalah pilihan jelas dan menarik.

“Ia berpotensi mengundang perhatian, sekali gus mengundang analisis serta pemerhatian yang mendalam daripada pembaca, agar mereka dapat meneliti inti pati karya-karya yang terdapat dalam buku ini. Oleh itu, kami bertiga sepakat memilih judul Jatuh Hukum,” tambahnya lagi.

Apabila ditanya mengenai rancangan untuk membawa buku ini ke sekolah-sekolah, Cikgu Khaziah, yang telah menulis puisi sejak 2012, berkata:

“Perancangan belum ada lagi. Tetapi kalau ada yang ingin mengadakan bengkel penulisan puisi atau menghargai puisi, bolehlah menggunakan buku ini sebagai panduan.

“Di dalam buku ini terkandung ‘energy’ penulis daripada pelbagai genre dan satu gabungan yang dinamik dalam pendidikan, drama dan muzik.”

Mengenai harapannya terhadap buku tersebut, Azman, yang menulis secara ‘suka-suka’ sejak awal 1980-an dan secara serius sejak 2015, berkata:

“(Harapan saya) Agar buku ini bermanfaat kepada pembaca, memberikan ilmu daripada kerencaman kehidupan melalui gaya penulisan yang berbeza dari segi cara dan pendekatannya. Saya juga berharap buku ini dapat memajukan bahasa dan sastera kita, agar dapat menyumbang kepada masyarakat.”

Majlis tersebut diselang-selikan dengan sesi ramah mesra bersama penulis, bacaan beberapa kuntum puisi daripada buku Jatuh Hukum dan nyanyian lagu puisi Rojak Cinta, tulisan Azman dan ciptaan Mohd Khair.

Acara diakhiri dengan jamuan bento yang ditaja khas oleh Dmas. Kehadiran hampir 60 tetamu memeriahkan majlis pelancaran yang berlangsung dengan kerjasama Perpustakaan Negara.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan buku ini, anda boleh menghubungi ketiga-tiga penulis melalui Facebook mereka, dengan harga $12 senaskhah.

Penulis ialah seorang penggiat puisi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg