“Biarlah alam fikiran wanita

Berseri dengan ilmu pengetahuan.”

Inilah kata hikmah daripada seorang budayawan yang berjasa dalam mengumpul dan menyusun pengetahuan tentang busana dan estetika Melayu.

Puan Azah Aziz, atau nama penuhnya Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff, dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura.

Allahyarhamha merupakan isteri kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Dibesarkan dalam kalangan keluarga ternama Johor di Johor Bahru, Puan Azah mendapat pendidikan aliran Inggeris.

Nasab keluarganya berdarah bangsawan Johor.

Datuknya ialah Datuk Ja’afar Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama, dan nendanya pula ialah Datin Rogayah.

Beliau juga ialah anak saudara kepada Datuk Onn Jaafar, pengasas Umno, dan tokoh terbilang dalam sejarah nasionalisme Melayu.

Ibunya, Azizah Ja’afar, seorang pendidik terkenal pada 1960-an, yang sering juga menyumbang dalam ruangan Dewan Wanita, Berita Harian.

Bangsawan dan Menawan

Puan Azah tampil sebagai wanita bekerjaya yang menjadi connoisseur (pakar) untuk busana dan kraf tangan Melayu, selain minat menyusun pantun dan buku kanak-kanak.

Beliau merupakan penulis serta aktivis budaya, yang pernah disebut oleh novelis dan wartawan Malaysia, Zaharah Nawawi, sebagai ‘Kartika di Langit Seni’.

Anis Sabirin, penulis asal Johor, yang pernah akrab dengan Puan Azah, sangat menyanjungi dan menghormati beliau sebagai seorang “wanita yang cergas dan banyak pengetahuan tentang hal-hal kemasyarakatan”.

Beliau pandai menjaga perasaan orang, tetapi jujur dalam perbualannya.

Walaupun berdarah bangsawan, Puan Azah seorang yang peramah dan prihatin terhadap orang di sekelilingnya.

Wajarlah apabila sifatnya dipuji sebagai “seorang budayawan yang berjasa, mengumpul baju-baju tradisi Malaysia, bersuara lantang menegakkan bahasa Melayu dan berusaha membangkitkan kesedaran umum tentang alam sekitar”.

Penyedar Budaya

Menjadi ikon budaya sangat diperlukan di saat golongan elit atasan semakin terputus dengan rakyat di bawah.

Golongan elit yang sudah mempunyai kemewahan, tiada lagi memerlukan si tukang daripada masyarakat tempatan.

Makanya, menjadi penaung kepada ketukangan anak negeri tidak lagi menjadi keutamaan.

Semuanya boleh diimport dari luar, khasnya Barat.

Rakyat pula kian dipengaruhi proses pembandaran dan konsumerisme, sudah tiada minat dengan barangan dan hiasan tempatan.

Perubahan ini dapat dilihat pada cara berpakaian, muzik yang didengar, tarian dan permainan serta hidangan makanan yang dipilih.

Akibatnya, segala yang bersifat ‘tradisional’ semakin ditinggalkan, malah seolah-olah tersudut daripada kehidupan moden.

Dalam konteks inilah muncul tokoh budayawan Puan Azah, yang gigih dan teliti mengatakan, merakam dan mengangkat kembali warisan budaya Melayu.

Beliau dapat membicarakan tentang seni Melayu dengan sangat elegan dan beralun.

Beliau tajam memerhati jenis corak warna, potongan, makanan dan kegunaan sesuatu pakaian atau kerja tangan lainnya.

Contohnya, apabila memperkatakan corak awan melarat yang sering terdapat dalam ukiran Melayu, beliau berkata:

“Satu-satunya nama reka corak yang paling terkenal dalam ragam hias di alam Melayu ialah awan larat, dan nama ini secara umum diberikan kepada rekaan yang bersambung- sambung, berulang-ulang dan berhubung kait, yang terdapat pada ragam hias tekstil termasuk tenunan songket dan limar, hiasan telepuk perada, cap atau lukisan batik, serta juga sulaman dan tekatan.

“Sering juga reka corak yang dikatakan larat atau berulang-ulang dengan tidak putus-putus dalam bentuk jalur yang tidak lebar, digunakan untuk bahagian tepi atau pinggir sesuatu ragam hias.”

Kemudian dicantikkan dengan sekerat pantun yang ditukilnya:

“Kalau ia selasih dandi

Cendawan tumbuh di atas pintu

Kalau ia kasihkan kami

Guntingkan awan sehelai baju.”

Puan Azah prihatin dengan penggunaan kraf tangan tradisional, seperti tembaga kuning dan anyaman tikar dan alatan lain dalam rumah Melayu.

Beliau juga minat tentang hal masakan dan hidangan sajian Melayu dan berkongsi resipi masakan yang sihat.

Tentang busana Melayu, sangatlah beliau ulet menghimpun makna dan gaya, yang beragam diperagakan sepanjang zaman.

Berpakaian itu Berkeperibadian

Puan Azah ialah seorang tokoh wanita yang banyak minatnya, selain bakatnya yang sama rencam.

Beliau ialah pencinta keindahan dan keseimbangan.

Tekun dalam kerjaya sebagai wartawan, beliau bersungguh dalam menyuarakan pendapatnya.

Keprihatinan beliau kepada busana Melayu, adalah sebahagian daripada usaha untuk mendokumentasi warisan Melayu, memperjelaskan dan menganjurkannya.

Baginya, “pakaian adalah salah satu sifat yang boleh menimbulkan peribadi dan identiti sesuatu bangsa”.

Beliau sendiri menunjukkan contoh pemakaian yang elok dan manis, iaitu berbaju kurung, dengan butang intan atau mutiara pada lehernya.

Kain sarung yang dipakai bersama baju kurung, dipanggilnya kain ‘Ombak Beralun’.

Malah, cara pemakaian beliau sebegini turut diikuti anak perempuannya, iaitu Ungku Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor Bank Negara, Malaysia.

Minat pada busana Melayu tercermin dalam beberapa makalah yang beliau tulis, selain buku gah yang berjudul Rupa dan Gaya Busana Melayu (2006), terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku ‘Rupa dan Gaya: Busana Melayu’ merupakan karya penting yang merakam kehalusan estetika, daya kreativiti dan keunikan cita rasa masyarakat Melayu dalam pakaian serta tekstil. Menerusi karya ini, penulis, Puan Azah, menelusuri semula khazanah warisan Melayu silam dengan meneliti ciri, unsur, sifat dan adat pemakaian yang membentuk identiti busana Melayu.
Buku ‘Rupa dan Gaya: Busana Melayu’ merupakan karya penting yang merakam kehalusan estetika, daya kreativiti dan keunikan cita rasa masyarakat Melayu dalam pakaian serta tekstil. Menerusi karya ini, penulis, Puan Azah, menelusuri semula khazanah warisan Melayu silam dengan meneliti ciri, unsur, sifat dan adat pemakaian yang membentuk identiti busana Melayu. - Foto SALIYAH SAPEON

Koleksi busana Melayu beliau merangkumi baju kurung pesak Teluk Belanga, baju kurung Pahang, kebaya dan songket.

Minat beliau kepada busana Melayu, membuat beliau menjadi pengumpul barang kemas dan kain-kain tenunan Melayu.

Pada 1980-an, Puan Azah merakamkan penyesalan terhadap pengabaian kepada busana tradisional Melayu.

Beliau pernah menulis, ‘Orang Melayu mula melupakan kain songket’ dalam akhbar Mingguan Malaysia pada Mei 1978.

Pastinya banyak lagi yang hilang atau sampai dilupakan hari ini.

Antara yang hilang dan tidak terpakai lagi ialah memakai baju kurung dengan kain dagang luar.

Tulis beliau: “Sehingga kira-kira 40 tahun dulu, pakaian yang disebut ‘kain dagang luar’ menjadi kebanggaan wanita Johor, yang tua mahupun yang muda. Kain dagang luar itu dipakai dengan baju kurung Teluk Belanga, biasanya dari songket sedondon, untuk menghadiri majlis upacara atau temasya yang dianggap formal.

“Biasanya, kain yang digunakan sebagai dagang luar ialah kain gerus, iaitu kain benang kapas atau sutera halus yang telah dikanji sedikit kemudian digilap dengan kulit siput besar hingga berkilat – satu seni tua Melayu yang kini menghilang.”

Masalahnya bukan pemilihan busana antara yang lama dengan baru, tetapi sikap semberono, atau sikap asal boleh, disebabkan daripada literasi budaya yang rendah.

Puan Azah menegur ini:

“Sikap orang Melayu yang ghairah meniru dan mudah terpengaruh, mencelarukan suasana. Pencemaran pada busana yang berupa perubahan atas potongan dan pemakaiannya, jikalau dilakukan oleh pihak yang tidak tahu menahu tentang budaya dan sejarah busana Melayu, tidak ubah daripada apa yang dikatakan, ‘tikus membaiki labu’! Kesannya tentulah membawa kerosakan yang kronik.”

Lantas dipantunkan beliau:

“Kain ini kain sutera

Kalau mandi disesah jangan

Pakaian ini pakaian lama

Kalau sayang diubah jangan.”

Penganyam Pantun

Beliau membicarakan warisan bukanlah semata untuk mencari estetika agar merasa mewah atau mengisi waktu senggang.

Sebaliknya ia dapat memberi kita arah kepada jati diri dan keperibadian bangsa, dalam konteks kita sedang digempur dengan budaya Barat.

Puan Azah ialah pencinta pantun dan beliau pernah menulis beberapa buku pantun.

Antaranya ialah Sayang: Pantun & Seloka Kanak-Kanak (1970), buku yang mengandungi koleksi 33 pantun dengan ilustrasi dilukis Dzulkafli Buyong.

Tidak menghairankan banyak daripada penerbitan beliau sering dihiasi dengan keratan pantun yang indah dan mempesona, memperlihatkan kecenderungan Puan Azah terhadap budaya.

Beliau beranggapan bahawa budaya lama yang diwariskan daripada masyarakat terdahulu, mempunyai pesan penuh hikmah dan nilai sejagat yang masih boleh dipakai oleh masyarakat kini, sedang mereka bergelut dengan perubahan dan kemajuan.

Menulis menjadi penyalur kesedaran Puan Azah, yang minat dengan seni dan warisan bangsa, tekun merakam budaya leluhur, sambil menghimpunkan makna dan gaya yang ada pada seni warisan tersebut.

Beliau menulis dengan padat dan pepat, jelas dan senang difahami.

Namun untuk menulis dengan baik, ilmu dan pengalaman sangat penting.

Peka akan warisan yang terpinggir, membuatkan beliau tekun menjelaskan segi-segi kebudayaan.

Beliau menulis dengan nada yang sedikit ‘romantik’.

Sering terselit pantun dan pepatah menghiasi penulisannya seperti:

“Kalau tuan pergi ke bendang,

Jangan petik buah rembia,

Tuan umpama bulan mengambang,

Cahaya meliput serata dunia.”

Antara karya-karya beliau yang diterbitkan:

Puisi Kanak-Kanak (1967), antologi sajak moden untuk kanak-kanak

Adik sayang (1970), antologi pantun kanak-kanak

Pantun Kanak-Kanak, antologi enam jilid pantun Melayu tradisional untuk kanak-kanak

Taman Seni (1987), buku mengenai kraf tangan Melayu sebagai pengenalan kepada kanak-kanak

Dendang dan Dondang kanak-kanak (1990), lagu-lagu tradisional untuk kanak-kanak yang ditulis bersama Dr Ariff Ahmad.

Selayang Kenangan (1990), himpunan esei dan penulisan lain tentang hal wanita, pakaian tradisional dan kraf tangan.

Marilah Bermain (1993), mengenai permainan tradisional

Rupa dan Gaya Busana Melayu (2006)

Warisan dan Pewaris

Warisan seni budaya perlu ada warisnya.

Sepanjang kerjaya beliau, Puan Azah telah memperlihatkan peranan sebagai pewaris yang cermat dan peduli, bersemangat dan berharapan tinggi untuk memastikan seni warisan terus terjaga, diperaga dan terus disambut.

Khazanah ini bukanlah barang pameran untuk muzium semata, tetapi semangat dan ketukangan seni yang harus kita ambil, sehingga memberikan kita semangat dan inspirasi mencipta budaya.

Dalam rentak pembangunan yang deras bergerak, banyak industri pembuatan tempatan terhapus.

Dengan sektor pertanian terbengkalai, bererti petani bukan sahaja hilang kegiatan bertani, tetapi juga hilang ruang untuk menjadi tukang sambilan, membuat anyaman, tembikar dan menghasilkan peralatan daripada kayu dan tembaga.

Dengan permintaan yang rendah, serta mengecutnya jumlah si tukang, kerja tangan tempatan dan upacara persembahan serta keramaian tradisional sudah tidak dapat dijalankan.

Maksudnya permintaan dan penawaran kerja tangan tradisional mencerut.

Untuk melawan trend semakin menurunnya penerimaan pada seni warisan lama, banyak usaha harus dilakukan.

Kesedaran awam perlu dirangkul, penulis akhbar harus terus mengatakan mengenainya, dan para ilmuwan pula berperanan menegur, membimbing serta menganjurkan wacana.

Di samping itu, pemerintah juga perlu menggubal dasar yang mesra budaya, sekolah harus mengajarkan warisan tradisi kepada generasi muda, sementara siaran televisyen dan media massa wajar mempromosikannya dengan lebih meluas.

Sampai Puan Azah mengagumi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang disebutnya sebagai tokoh “nasionalis yang cintakan budaya bangsa”.

Ini kerana P. Ramlee sangat memberatkan perkembangan muzik Melayu tradisional sehingga mempersoalkan mengapa muzik tradisional tidak mendapat tempat di tanah airnya sendiri.

Hak Wanita bangsa bermaruah

Puan Azah juga giat dalam penulisan menyuarakan hak wanita.

Bangsa yang bermaruah adalah bangsa yang menjaga hak dan kebajikan kaum wanita.

Beliau percaya pendidikan membuka minda dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi, sekali gus turut menjamin kebajikan wanita.

Kepekaan beliau pada kondisi dan nasib wanita membuat beliau tegas bersuara.

Pemerhatian Puan Azah sangat perseptif.

Di saat banyak yang menyeru agar hak wanita di luar bandar dijamin, beliau malah berpendapat mereka sudah sekian lama menikmati persamaan hak, yakni “persamaan hak untuk berganding bahu dan bekerja kuat demi kepentingan keluarga mereka bersama”.

Malah anehnya hari ini, terdapat “seruan negatif yang mahu melarang wanita dan ibu daripada keluar bekerja”.

Beliau cuba memperbetulkan anjuran yang melarang perempuan bekerja di luar rumah.

Baginya, perkara ini bukan mudah untuk diterapkan kerana keperluan ekonomi keluarga juga perlu dipikul bersama oleh suami dan isteri.

Pendapat yang mengatakan perempuan hanya wajar keluar bekerja sekiranya pekerjaan itu “sesuai dengan sifat lemah lembut wanita,” juga dibetulkan Puan Azah.

Katanya: “Apakah bekerja di sawah ladang, bertungkus lumus di tengah panas matahari yang membakar itu boleh dianggap sebagai kerja yang sesuai dengan sifat-sifat lemah-lembut wanita? Tentulah tidak.”

Puan Azah turut menegaskan bahawa belum pernah dalam masyarakat Melayu yang menyeru kaum perempuan untuk meninggalkan kerja-kerja berat dan mengapa pula sekarang menjadi keprihatinan.

Berdepan dengan tantang kaum perempuan memerlukan cara pandangan yang peka kepada dimensi sejarah dan sosiologis.

Kalau benar-benar peduli tentang hal ehwal wanita, ia bukan dengan larangan itu dan ini, melainkan mencari usaha membaiki kondisi kerja mereka.

Kata Puan Azah: “Keadaan mereka bekerja dan ganjaran yang mereka terima, dengan iringan fahaman, pimpinan dan bantuan yang saksama, agar ibu yang keluar bekerja itu dapat menunaikan kedua tugasnya, di dalam dan di luar rumahnya…. bantulah dia, bimbinglah dia, peliharalah dia dari segi rohani dan jasmani, dengan penuh kasih sayang, demi kebahagiaan seluruh keluarga.”

Pengalaman sebagai wartawan membuat beliau peka pada perkembangan semasa.

Beliau meluat dengan gelagat ahli politik lelaki dalam Parlimen yang mempersenda tentang hal perempuan.

Baginya ini memalukan.

Puan Azah berkata: “Peristiwa menggamatkan Dewan Rakyat dengan lawak jenaka murahan telah berlaku dalam sidang Dewan Rakyat Mас tahun ini (1989) ketika Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan – khususnya tentang isu rogol – dibincangkan. Beberapa orang wakil rakyat lelaki merasa perlu berlawak jenaka seperti yang berlaku 20 tahun dahulu. Nyatalah dalam perkara ini kita masih di tahap yang lama sesuatu yang mengecewakan, malah memalukan.”

Kerjaya, Kepimpinan Kemasyarakatan

Puan Azah pernah bertugas sebagai setiausaha Pendeta Za’ba di Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Universiti Malaya, Singapura.

Kemudian, beliau berpindah ke Kuala Lumpur menjadi wartawan dalam Berita Harian dan Utusan Melayu.

Sewaktu bertugas di JPM, beliau didedahkan dengan sastera dan budaya Melayu secara lebih intensif.

Dunia kewartawanan pula memberikan beliau pengalaman tentang hal ehwal masyarakat.

Selain aktif menulis buku bacaan untuk kanak-kanak, beliau aktif bergerak dalam kegiatan kemasyarakatan.

Beliau menjadi pengasas Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan memimpinnya dari 1971 hingga 1978.

Selain ke hadapan mempromosi pantun, beliau juga disebut sebagai penulis yang pertama memperkenalkan haiku, yakni puisi pendek Jepun, dalam ranah sastera Melayu.

Beliau juga aktif dalam Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), dan pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Atas sumbangan besar beliau dalam dunia kebudayaan dan penulisan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Kesenian dan Doktor Pendidikan pada 2008.

Tokoh yang berwibawa ini “mencintai budaya, berjiwa sosial,” adalah anak bangsa yang berjaya di era pascakemerdekaan.

Beliau berasa terpanggil untuk mengisi ruang kepimpinan pemikiran dan gerakan, demi memastikan pembangunan masyarakat dapat berlangsung dengan lancar.

Puan Azah meninggal dunia pada 9 Julai 2012.

Beliau meninggalkan kita bukan sekadar himpunan khazanah budaya yang terus menjadi rujukan, malah, suara yang berdiri untuk mendapatkan hak dan penghormatan terhadap kaum wanita.

Sekerat pantun lama yang beliau ubah sedikit, sayugia menjadi pesan hikmah kepada kita yang bangga dengan warisan budaya:

“Asal sutera menjadi benang

Asal benang menjadi kain

Yang lama mesti dikenang

Jangan hilang berganti lain.”

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.

Sepanjang kerjaya beliau, Puan Azah telah memperlihatkan peranan sebagai pewaris yang cermat dan peduli, bersemangat dan berharapan tinggi untuk memastikan seni warisan terus terjaga, diperaga dan terus disambut... Beliau meninggalkan kita bukan sekadar himpunan khazanah budaya yang terus menjadi rujukan, malah, suara yang berdiri untuk mendapatkan hak dan penghormatan terhadap kaum wanita.
Penulis.