Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Bahasa memperlihat jiwa bangsa

Aug 13, 2023 | 05:30 AM



Hari ini bermula bulan yang amat bererti dari segi bahasa – Bulan Bahasa 2023 yang akan berlangsung hingga 9 Oktober.


Bererti kerana banyak yang boleh diperkatakan tentang bahasa.


Bahasa Melayu, seperti bahasa lain, adalah struktur komunikasi perhubungan dalam masyarakat.


Namun, lebih daripada setakat struktur komunikasi, menyelami sistem bahasa Melayu akan memperlihatkan pandangan hidup dan jiwa orang Melayu kerana di sebalik bahasa terungkap jati diri dan pandangan hidup Melayu, sebagaimana ungkapan menyatakan bahawa bahasa jiwa bangsa.


Banyak yang boleh diketengahkan tentang jiwa Melayu menerusi pelbagai aspek bahasa – menerusi peribahasa, pantun, puisi, sajak, gurindam, kehalusan makna yang tersirat di sebalik perkataan dan pelbagai cabang dalam khazanah bahasa Melayu.

Namun, ruangan kali ini menjurus kepada aspek yang berkaitan dengan perkataan bahasa sahaja.


PELBAGAI ISTILAH

Pelbagai makna dan gambaran terhasil apabila perkataan tertentu digandingkan dengan perkataan bahasa.


Bahasa ibunda misalnya bermakna bahasa kelahiran, ibu bahasa yang digunakan untuk berhubungan dengan keluarga dan lingkungannya.


Bahasa Kebangsaan adalah bahasa oleh rakyat sesebuah negara sebagai bahasa perhubungan. Umpamannya di negara-negara Arab, bahasa kebangsaannya ialah bahasa Arab, di Italy adalah bahasa Italy, di Sepanyol adalah bahasa Sepanyol, di Perancis adalah bahasa Perancis, di Malaysia adalah bahasa Malaysia dan di Indonesia adalah bahasa Indonesia.


Di Singapura, bahasa Melayu berkedudukan sebagai Bahasa Kebangsaan. Namun ia tidak digunakan secara meluas oleh semua penduduk berlainan bangsa, kecuali dalam beberapa aspek seperti Lagu Kebangsaan Majulah Singapura dan arahan/perintah (command) dalam tentera semasa berbaris. Ia ada kaitan dengan sejarah.


Bahasa Inggeris, salah satu daripada bahasa rasmi lain di Singapura iaitu Mandarin, Melayu dan Tamil, seolah-olah telah menjadi bahasa penyatu – bahasa yang berperanan menyatukan masyarakat, kerana ia menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan, pekerjaan, dan komunikasi umum antara kaum, kerana realiti dan sebab praktikal dalam masyarakat berbilang kaum, budaya, agama. Semua orang umumnya boleh berbahasa Inggeris.


Namun di Indonesia misalnya, Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penyatunya ialah bahasa Indonesia, begitu juga Malaysia dengan bahasa Melayu Malaysia sebagai bahasa penyatu, bahasa Kebangsaannya.


Bahasa baku adalah ragam bahasa yang diakui betul dan diterima oleh penutur aslinya yang terdidik dalam bahasa mengikut kaedah tatabahasa dan digunakan dalam perhubungan rasmi atau acara rasmi. Ada baku dari segi ejaan dan ada baku dari kededua ejaan dan sebutan.


Bahasa lisan atau bahasa pertuturan adalah bahasa yang digunakan dalam percakapan, semasa bertutur.


Bahasa tulisan pula ialah bahasa yang digunakan dalam penulisan, dengan struktur bahasa yang teratur, digunakan dalam penulisan seperti karangan, surat-menyurat, umumnya berbentuk formal.


Dalam penulisan ada pula beberapa pecahan seperti bahasa persuratan, iaitu bahasa yang digunakan dalam penulisan dan karya, kaya dan diperindah dengan kepelbagaian perkataan; bahasa kesusasteraan lebih dalam dari segi pemilihan kata, bahasa berbunga yang memperlihatkan keindahan seninya.


Terdapat juga istilah seni bahasa, iaitu penggunaan bahasa yang indah dari segi susunan kata-kata.


Bunga bahasa ialah ungkapan berbaur kiasan seperti mengandungi peribahasa atau simpulan bahasa bagi mencantikkan percakapan, karangan atau penulisan.


Bahasa berbunga pula ialah penggunaan bahasa yang mempunyai erti dua lapis dengan maksud yang dalam.


Dwibahasa bermakna dua bahasa. Misalnya, kamus dwibahasa yang mengandungi penjelasan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.


Tribahasa ialah tiga bahasa.


RENCAM

Banyak lagi gambaran makna apabila perkataan bahasa dipadankan dengan perkataan lain.


Bahasa moden adalah bahasa yang terus digunakan, hidup dan berkembang misalnya perkataan asal bahasa Inggeris yang dimelayukan dari segi sebutan dan/atau ejaan.


Bahasa ilmu ialah bahasa mengenai ilmu seperti geografi, sementara ilmu bahasa ialah ilmu atau pengetahuan mengenai bahasa.


Budi bahasa ialah adat sopan santun, sopan. Lawannya ialah biadap – tidak beradab atau tahu adab, kurang ajar, tidak berbudi bahasa.


Kurang bahasa ialah kurang sopan santun, budi bahasa yang tidak halus.


Manis/baik budi bahasa menggambarkan tingkah laku yang baik, bersopan santun.


Membisu seribu bahasa bermakna diam sama sekali.


Penguasaan bahasa ialah tahap atau kemampuan menggunakan bahasa.


Penyantun ialah orang yang halus budi bahasa, sopan.


Bahasa dalam adalah kata-kata dengan maksud atau mempunyai perkataan mendalam. Ia juga bahasa yang biasa digunakan di kalangan golongan tertentu seperti bahasa raja atau bahasa istana.


Bahasa halus ialah kata-kata atau bahasa yang dianggap lebih sopan digunakan dalam pertuturan atau tulisan (misalnya, bersalin lebih halus daripada beranak; hamil lebih halus daripada bunting; meninggal dunia atau berpulang lebih halus daripada mati atau mampus).


Lawannya ialah bahasa kasar – kata-kata atau bahasa yang kasar, ada dianggap kurang sopan atau menggambarkan keadaan yang kurang elok (seperti mampus dan lahap).


Bahasa basahan adalah bahasa yang digunakan sehari-hari dalam keadaan tidak rasmi.


Bahasa pasar pula ialah bahasa Melayu yang tidak betul jalan bahasa atau strukturnya, biasa digunakan dipasar, termasuk oleh orang bukan Melayu yang bercakap Melayu bukan dengan kaedah bahasa Melayu).


Bahasa asing adalah bahasa yang bukan bahasa ibunda sendiri, misalnya bahasa Perancis, bahasa Italy dan bahasa Sepanyol adalah bahasa asing bagi orang Melayu.


Bahasa badan atau ‘body language’ adalah gambaran yang terlihat bukan daripada pertuturan tetapi daripada gerak-geri badan seperti gaya duduk, gaya jalan, mimik muka dan sebagainya.


Bahasa budak/kanak-kanak bahasa yang dikaitkan dengan bahasa yang digunakan oleh kanak-kanak.


Bahasa vernakular ialah bahasa yang dituturkan oleh golongan/kaum ter­tentu. Di Singapura, bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Mandarin adalah contoh bahasa vernakular.


Bahasa Latin ialah bahasa Rumawi.


Kaya bahasa antara lain ialah orang banyak ilmu atau banyak pengetahuan bahasa.


Bahasa campur atau bahasa kacukan ialah bahasa yang bercampur dengan bahasa lain.


Gila bahasa ialah terlalu suka pada bahasa sementara bahasa gila ialah bahasa yang rosak, tidak tersusun dan lari daripada tatabahasa.


Bahasa nista ialah kata-kata yang menghina/mencela/mencemuh.


Bahasa sains dan teknologi ialah bahasa yang berkaitan dengan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi, misalnya bahasa saintifik ialah bahasa yang berkaitan dengan sains, sementara bahasa komputer adalah bahasa yang berkaitan dengan komputer (misalnya sofwe dan hadwe adalah bahasa teknologi komputer).


Pencemaran bahasa penggunaan bahasa yang tidak betul yang boleh merosakkan bahasa.


Tahu/reti bahasa bermakna tahu adab dan tahu berbudi bahasa. Ungkapan tak reti bahasa atau tidak mengerti/tahu bahasa bermakna tidak tahu atau tidak faham.


Tak reti bahasa Melayu juga bermakna tidak faham atau tidak tahu bahasa Melayu.


Bahasa pujangga bahasa yang digunakan pengarang/penyair, ahli fikir, menggunakan bahasa berbunga.


Bahasa singkatan atau singkatan bahasa ialah kependekan atau bahasa yang di­singkatkan seperti jejatas (jembatan jalan atas).


Bahasa klasik ialah bahasa lama yang kurang dipakai, berlawanan dengan bahasa moden.


Bahasa cantik dan bahasa manis ialah bahasa yang indah dan menyenangkan.


Rosak bahasa/bahasa kacau menggambarkan pencemaran bahasa.


ISTILAH KHUSUS BAHASA

Dalam bahasa, ada beberapa istilah yang khusus mengenai bahasa.

Linguistik misalnya ialah kajian saintifik mengenai bahasa.


Tatabahasa ialah nahu atau pengetahuan/pelajaran tentang pembentukan perkataan dan proses pembinaan atau penyusunan ayat. Nahu ialah cabang ilmu linguistik bahasa.


Laras bahasa ialah variasi bahasa berdasarkan peng­gunaannya (misalnya sebagai bahasa klasik, bahasa istana, bahasa sains dan ragam bahasa.


Ragam bahasa ialah variasi bahasa ber­dasarkan penggunaannya.


Lagak bahasa ialah gaya bahasa atau kata dan pe­ngucapan.


Jalan bahasa ialah gaya penggunaan bahasa dalam penulisan seperti novel.


Susuk bahasa ialah bentuk, gaya atau rangka bahasa.


Kolokial ialah bahasa percakapan basahan yang tidak baku seperti ‘jom pergi’, ‘kau orang’ dan sebagainya.


Peribahasa ialah kelompok kata atau ungkapan yang memberi gambaran atau pengertian tertentu, seperti bulat air kerana pembetong, ibarat sireh pulang ke gagang dan sebagainya.


Simpulan bahasa ialah ungkapan, biasanya terdiri daripada dua perkataan atau lebih, yang menyimpul makna tertentu seperti kaki bangku (tidak pandai bermain bola), kaki ayam (tidak pakai alas kaki) dan sebagainya.


Kosa kata ialah keseluruhan atau perbendahaan kata dalam sesuatu bahasa.


Kata ambilan/kata pinjaman ialah kata yang diambil daripada bahasa asing.


Struktur bahasa ialah penyusunan sesuatu sistem bahasa.


Morfologi ialah kajian tentang pembentukan kata.


Fonetik ialah cabang ilmu bahasa berkaitan pengucapan/bunyi perkataan.


Nuansa ialah kelainan halus pada perkataan.


Lingo ialah bahasa atau laras yang asing.


Etimologi ialah cabang ilmu bahasa mengenai asal usul perkataan dan perubahannya.


Loghat ialah gaya menyebut perkataan di daerah tertentu atau dialek bahasa yang digunakan dalam masyarakat tertentu, misalnya loghat/telor atau pelat Kedah, Kelantan.


Bahasa serumpun ialah satu kumpulan bahasa, misalnya bahasa Melayu Riau ialah bahasa serumpun yang digunakan masyarakat Melayu di Singapura, Malaysia dan Kepulauan Riau.


Lingua franca ialah bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa.


Prosa ialah karangan yang ditulis dalam bahasa biasa.


Retorik ialah keupayaan menggunakan bahasa untuk menarik atau mempengaruhi pendengar, atau bijak berpidato.


Makmal bahasa makmal yang dilengkapi pelbagai alat untuk belajar bahasa.


Metabahasa adalah sistem lambang yang digunakan untuk menjelaskan suatu bahasa.


Sepoi-sepoi bahasa ialah perlahan atau atau lemah lembut, seperti tiupan angin.


Kesantunan bahasa ialah kehalusan atau bahasa sopan.


Bahasa terjemah ialah bahasa yang diterjemah daripada bahasa lain.


Perli/sindir ialah bahasa mempersendakan atau kata-kata berunsur cemuhan.


Tempelak adalah kata-kata pedas mencela orang yang melakukan kesalahan.


Kecam ialah mengkritik dengan keras/membidas.


BERIMBUHAN

Berbahasa bermakna menggunakan bahasa: Misalnya, orang Melayu berbahasa Melayu, orang Arab berbahasa Arab.


Satu lagi makna ialah baik budi bahasa, bersopan santun. Orang yang berbahasa ialah orang yang ada sopan santun dan pekerti baik.

Antara ungkapan yang biasa digunakan dalam kempen budi bahasa ialah orang berbudi kita berbahasa.


Membahasakan ialah menyebut atau memanggil seseorang dengan panggilan tertentu. Misalnya orang Jawa menggunakan gelaran wak bagi bapa saudara yang lebih tua daripada bapanya, orang Perak membahasakan saudara lelaki paling tua dengan panggilan yop, dan sebagainya.


Dalam keadaan tertentu, bahasakan bererti memperli atau mengatakan secara menyindir.


“Oh, kau bahasakan aku ya” bermakna kau memperli atau menyindir.

KESIMPULAN

Bahasa Melayu memang kaya dengan pelbagai khazanah bahasa.


Bulan bahasa yang sedang berlangsung harus mencetus minat bersama untuk melazimi penggunaan bahasa Melayu – sebagai bahasa komunikasi, bahasa ilmu, bahasa yang memperlihatkan identiti, pandangan hidup, jati diri, jiwa Melayu – supaya dapat menguasai dan memelihara kemurniannya dengan baik.


Kelaziman ini akan membolehkan orang Melayu memperkasa penghayatan dan penghargaan yang selayaknya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang memperlihatkan jiwa bangsa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >