Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Bersemangat papar semangat watan...

Aug 06, 2023 | 05:30 AM



Menjelang sambutan Hari Kebangsaan Rabu ini, ramai warga memaparkan semangat watan dengan memasang dan mengibarkan bendera Singapura.


Akhbar The Straits Times Rabu lalu misalnya memaparkan gambar beberapa bangunan yang dihiasi dengan bendera Singapura – gambaran semangat watan yang meluas.


Semangat watan atau semangat kebangsaan ini biasanya lebih terasa semasa Perbarisan Hari Kebangsaan NDP, terutama ketika para penonton bersama-sama menyanyikan lagu Majulah Singapura dan membaca ikrar negara bersama sambil meletak tangan di dada.


Kesyahduan semangat ini terlihat dalam NDP 2022 apabila kamera merakam wajah salah seorang penonton, Encik Mohd Azuan Tan, seorang guru, mengalirkan air mata ketika menyanyikan lagu Majulah Singapura.


Semangat watan, semangat kebangsaansemangat cinta terhadap bangsa dan negara – yang biasanya meresap di jiwa rakyat pada saat seperti semasa menyanyikan lagu kebangsaan bersama di pentas NDP, boleh dijangka bakal terlihat dan terasa dalam acara NDP Rabu ini.


BERKAITAN JIWA

Semangat watan cinta negara adalah antara makna di sebalik perkataan semangat – berkaitan dengan perasaan, hati dan jiwa.


Banyak lagi contoh boleh diketengahkan berkaitan makna dalam konteks serupa ini.

Dalam kempen pilihan raya, ahli politik diingatkan supaya tidak menggunakan semangat perkauman untuk menarik sokongan dan memancing undi kerana ia boleh memecahbelahkan rakyat.


Satu lagi: Walaupun semua bermain dengan serius, ada kala kelihatan kasar, di akhir perlawanan mereka berjabat tangan, dan malah berpelukan sebagai menggambarkan semangat kesukanan.


BERKAITAN ROH

Sebagaimana dijelaskan, perkataan semangat mempunyai beberapa makna dan gambaran lain.


Kamus menjelaskan bahawa satu daripada makna semangat ialah roh dalam makhluk.


Lemah semangat menggambarkan ketahanan dalam diri atau roh yang lemah sehingga mudah terperanjat.


Misalnya, Fatimah tidak gemar menonton filem seram atau filem dengan aksi yang terlalu mendebarkan kerana beliau seorang yang lemah semangat – mudah terperanjat dan mudah takut.


Sebaliknya semangat berani bermakna mempunyai roh atau ketahanan dalaman yang kuat dan tidak mudah gentar dengan perkara yang boleh menimbulkan rasa takut.


Satu lagi contoh: Nama Hang Tuah dan semangat kepahlawanannya terpahat dalam jiwa Melayu.


BERKAITAN PENDIRIAN

Satu lagi makna semangat ialah ia menggambarkan pegangan/pendirian, maksud atau tujuan yang terkandung dalam sesuatu pertubuhan dan/atau perjanjian.


Misalnya, kenyataan yang dikeluarkan bersama di akhir mesyuarat mengenai pendekatan berhubung isu Myanmar memaparkan semangat Asean.


BERKAITAN KEMAHUAN/MOTIVASI

Dan satu lagi makna dan penggunaan perkataan semangat berkait dengan kemahuan/keinginan atau kesungguhan untuk melakukan sesuatu – berunsur motivasi.


Misalnya, syarikat itu bukan sahaja dapat bertakat dalam suasana mencabar semasa wabak Covid, malah berkembang, kerana kakitangannya mempunyai semangat kekitaan dan semangat kerja yang tinggi sebagai satu pasukan.


Ada semangat bermakna mempunyai semangat.


Ungkapan semangat waja menggambarkan jiwa atau kemahuan yang kental atau keras.


Hilang semangat atau tiada semangat menggambarkan ketiadaan lagi kemahuan melakukan sesuatu.


Semangat berkobar-kobar bermakna penuh bersemangat atau meluap-luap.


Dalam ekonomi dan mencabar dan kemajuan teknologi yang cepat mengubah cara kita bekerja, para pekerja kita harus sentiasa disuntik dengan semangat untuk belajar sepanjang hayat dan memperoleh kemahiran baru agar kekal relevan dan ada tempat dalam suasana ekonomi berubah.


BERIMBUHAN

Bersemangat bermakna ada atau mempunyai semangat, kemahuan, kesungguhan atau azam.


Ucapan bersemangat bermakna ucapan yang dapat menaikkan semangat para pendengarnya.


Misalnya, kata-kata bersemangat pengurus pasukan bola sepak kepada anak buahnya semasa rehat selepas separuh masa pertama menjadi pemutar semangat – bermakna me­mulihkan, mendatangkan atau menaikkan semangat – para pemain sehingga berjaya mengubah keputusan dan membawa kemenangan di akhir perlawanan.


Syafie tidak lagi bersemangat meneruskan perniagaan kerana hilang pelanggan dan mengalami kerugian besar semasa wabak Covid melanda; sebaliknya Harun tetap dan malah semakin bersemangat mengembangkan perniagaan kerana melihat ada peluang di sebalik cabaran.


Bersemangat juga menggambarkan kemahuan tinggi. Misalnya, walaupun sudah menjangkau usia hampir 40 tahun, Ahmad masih bersemangat untuk mewakili negara dalam pertandingan serantau.


PELBAGAI UNGKAPAN

Badan semangat adalah ungkapan menggambarkan tubuh badan yang gempal. Ungkapan semangat pada bayi bermakna bayi dengan badan sihat, gempal dan berat.


Kursemangat adalah perkataan yang menggambarkan perasaan hairan atau terkejut, misalnya membeli sebakul durian untuk dua orang sehingga terhambur perkataan berbaur kejutan – kursemangat, banyaknya!


Kursemangat boleh juga perkataan seruan mengembalikan semangat untuk menghilangkan rasa takut pada budak yang terperanjat;


Beri semangat ialah memberi galakan semangat atau dorongan untuk melakukan sesuatu.


Bangkitkan semangat atau membakar semangat ialah menggiatkan semangat yang lebih kuat, supaya lebih terdorong melakukan sesuatu. Semangat berkobar memberi makna hampir serupa.


Sebaliknya patah semangat atau padam semangat bermakna hilang kesungguhan, motivasi menurun, tidak lagi bermaya, lesu, layu.


Semangat kekitaan atau semangat persaudaraan adalah semangat bekerjasama dan sedia bantu-membantu dalam masyarakat, atau kumpulan.


Semangat juang adalah semangat tinggi yang dapat mendorong seseorang mengatasi halangan atau hambatan.


Semangat keislaman adalah hal atau keadaan yang berkaitan dengan Islam. Misalnya, semasa Ramadan, semangat keislaman meninggi dengan ramai yang berusaha melaksanakan pelbagai ibadah dan perintah agama sebaik mungkin.


Kuat semangat bermakna berdaya, bertenaga, ada kemampuan atau kesanggupan.


Penuh semangat bermakna amat bersemangat;


Sebaliknya patah semangat hilang keberanian atau kemahuan, hilang motivasi atau tawar hati.;


Semangat komunalisme adalah semangat yang menitik­beratkan kepentingan sesuatu kaum sahaja, atau faham perkauman, atau aliran politik berorientasikan perkauman.


Semangat muda ialah gambaran lebih bertenaga, ada nafas baru atau sumber baru yang boleh memulihkan sesuatu kegiatan, memberi keupayaan baru.


Semangat setiakawan ialah semangat ketahanan dan saling tolong menolong kerana keakraban hubungan dalam satu kumpulan atau dalam bahasa perancis esprit de corps.


KESIMPULAN

Dengan keadaan dan gaya hidup sekarang, dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penyalur pendidikan, ilmu pengetahuan, komunikasi dan kerjaya, kita harus tetap bersemangat untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, juga sebagai Bahasa Kebangsaan.


Mentelah kita sedang di ambang menyambut Bulan Bahasa 2023 yang akan berlangsung dari 13 Ogos hingga 9 Oktober.

Sikap dan semangat terhadap bahasa Melayu merupakan faktor penting memastikan bahasa Melayu terus segar dan diguna pakai dalam kehidupan.


Dan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-58 Rabu ini, mari kita hidupkan seruan yang terkandung dalam lagu Majulah Singapura:

Marilah kita bersatu
Dengan semangat yang baru
Semua kita berseru
Majulah Singapura
Majulah Singapura...


PERIBAHASA

Mempertinggi semangat anjing bermakna bersusah payah memperbaiki nama yang jahat, akhirnya rugi atau mengecewakan dan menjadi sia-sia sahaja.


Bertukar jiwa dengan semangat adalah gambaran sedang berkasih-kasihan.


Kasih itu roh/semangat yang buta menggambarkan kasih tidak memilih yang baik atau yang cantik sahaja.


Api nan tak kunjung padam menggambarkan semangat yang hidup dan bertahan lama.


PANTUN

Malam ini malam Jumaat,
Pasang lilin kepala titi;
Tepuk bantal panggil semangat,
Semangat datang di dalam mimpi.


Orang mengail Lubuk Bulang,
Taruk umpan kulit limau;
Baik juga semangat tak hilang,
Anak kucing kusangka rimau.


Tebing Tinggi kampung ternama,
Nampak dari Kuala Segamat;
Bila teringat budi yang lama,
Berubah hati berdebar semangat.


Gelang intan dalam puan,
Gelang emas di kain berlipat;
Bila terpandang wajah tuan,
Hati berdebar lemah semangat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >