Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bengkel podcast BH dedahkan para guru kepada wadah berita masa kini

Sep 17, 2024 | 6:51 PM
(Dari kiri) Cik Diana Baharudin, Cik Irdawati Mohd Ariffin dan Cik Junaidah Md Sali merupakan guru-guru  daripada Sekolah Rendah Townsville yang berharap dapat terapkan ilmu  podcast kepada murid-murid untuk melatih kemahiran lisan mereka.
(Dari kiri) Cik Diana Baharudin, Cik Irdawati Mohd Ariffin dan Cik Junaidah Md Sali merupakan guru-guru daripada Sekolah Rendah Townsville yang berharap dapat terapkan ilmu podcast kepada murid-murid untuk melatih kemahiran lisan mereka. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Saya gementar,” kata seorang guru ketika penganjur podcast, Cik Natasha Mustafa, menyampaikan bahawa guru-guru di dalam bilik latihan harus berperanan sebagai penyampai/hos podcast.

Seramai 18 guru bahasa Melayu dari pelbagai sekolah di kawasan selatan Singapura (Cluster South S7 schools) berkesempatan menjengah bidang kewartawanan era moden dalam Bengkel Podcast anjuran Berita Harian (BH) pada 16 September 2024.

Bengkel tersebut dijalankan oleh Ketua Media Sosial BH, Cik Siti Aisyah Nordin, dan Penerbit dan Penyampai Podcast No Tapis, Cik Natasha Mustafa.

Dengan penuh bersemangat, para peserta membentuk lima kumpulan dan menjalankan ‘tugas’ sebagai penyampai podcast mereka.

Dalam bengkel tersebut, para guru didedahkan kepada fungsi podcast sebagai wadah untuk menyalurkan informasi, serta aspek-aspek teknikal dalam penghasilan podcast itu sendiri seperti alat-alat yang digunakan dalam sesi rakaman di samping sofwe untuk menyunting rakaman dalam bentuk video mahupun audio.

Selepas bengkel, Cik Diana Baharudin, Cik Irdawati Mohd Ariffin, dan Cik Junaidah Md Sali yang merupakan guru daripada Sekolah Rendah Townsville berkata mereka mendapat banyak ilmu baru daripada bengkel tersebut.

“Sebelum ini saya tidak tahu bahawa podcast sangat popular di luar sana. Ketika kami didedahkan kepada data bahawa ada sekitar 5 juta podcast dalam talian, saya agak terkejut,” kata Cik Diana yang sudah mengajar selama 24 tahun.

Lima kumpulan guru itu kemudian menunjukkan kemahiran mereka dalam penulisan skrip serta lisan bak seorang pengacara pada penghujung sesi bengkel ini. Di antara topik yang menjadi mauduk perbahasan meliputi kesihatan mental, dwibahasa serta media sosial.

Gelak tawa memenuhi ruangan studio BH ketika ada guru yang bergurau dan menyelitkan lawak dalam skrip mereka yang membuat suasana tidak kaku seperti saat ujian lisan.

Para peserta berharap apa saja yang ditimba daripada bengkel itu dapat diamalkan dalam bilik darjah.

Selain kemahiran teknikal, ia diharap dapat membantu guru menyuntik inspirasi murid-murid mereka agar terdedah kepada pelbagai kesempatan dalam bidang kewartawanan.

“Para guru nampak sangat bersemangat sepanjang sesi bengkel ini,” kata Cik Natasha.

“Tujuan podcast ini adalah untuk menunjukkan kepada guru-guru bahawa kini berita dapat disampaikan melalui pelbagai wadah dan salah satunya adalah melalui podcast,” jelas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg