Menjelang 2030, tambahan 4,500 orang kurang upaya (PwD) di Singapura dijangka memasuki tenaga kerja, sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah meningkatkan kadar pekerjaan golongan itu daripada 32.7 peratus pada 2022/2023 kepada 40 peratus.
Pasukan petugas Amalan Pekerjaan Inklusif (TIE) telah menggariskan pendekatan serampang tiga mata untuk mencapai matlamat itu – membangunkan majikan yang inklusif, meluaskan peluang pekerjaan untuk PwD, dan meningkatkan kemahiran jurulatih kerja.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, berkongsi cadangan tersebut semasa Pesta Pembelajaran Enabling Academy 2024 di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar, pada 16 September.
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 16 September, purata kadar PwD warga Singapura atau penduduk tetap berumur 15 hingga 64 tahun telah meningkat daripada 28.2 peratus pada 2018/2019 kepada 32.7 peratus pada 2022/2023.
Untuk meningkatkan lagi bilangan pekerjaan bagi golongan itu, pemerintah akan menempatkan seramai 200 PwD ke dalam pekerjaan gig setiap tahun menjelang 2026, dengan matlamat membantu 70 peratus beralih ke pekerjaan formal dalam tempoh enam bulan.
“Adalah penting untuk memanfaatkan tugasan jangka pendek atau kerja gig sebagai cara untuk PwD memasuki semula tenaga kerja, terutamanya mereka yang menghadapi halangan seperti keperluan aturan kerja yang fleksibel,” kata pasukan petugas TIE.
Tumpuan akan diberikan kepada enam sektor termasuk perkhidmatan makanan dan minuman (F&B); perdagangan runcit; maklumat dan komunikasi; perkhidmatan kesihatan dan sosial; pengangkutan dan penyimpanan; serta perkhidmatan kewangan dan insurans.
Pemerintah menyasarkan untuk meningkatkan bilangan majikan inklusif daripada lebih 7,000 hari ini kepada 10,000 menjelang 2030, dengan 30 peratus daripadanya menggajikan lebih daripada seorang PwD.
Untuk itu, pasukan petugas TIE mengesyorkan pengukuhan keupayaan dalaman majikan untuk melaksanakan amalan pengambilan pekerja yang inklusif.
Di samping itu, Encik Chua melancarkan Rangka Kerja Memperkasa Kemahiran dan Kecekapan (ESCF) untuk menggariskan kemahiran penting bagi PwD dan rangkaian sokongan mereka, bagi membantu mereka mengasah kemahiran untuk pekerjaan dan hidup dalam masyarakat.
Jurulatih kerja – yang bekerja dengan PwD dan majikan untuk mengenal pasti padanan pekerjaan yang sesuai – turut perlu dilengkapi untuk memastikan kemahiran dan pengetahuan industri mereka adalah terkini.
Terdapat kira-kira 200 jurulatih kerja pada masa ini yang bertugas di agensi perkhidmatan sosial, sekolah pendidikan khas dan organisasi swasta yang menyediakan sokongan pekerjaan kepada PwDs.
Dengan meningkatkan bilangan jurulatih kerja, pasukan petugas berharap ia dapat membantu tambahan 4,500 PwD untuk mendapatkan pekerjaan.
MSF akan bekerjasama dengan SG Enable yang melancarkan Peta Kerjaya Jurulatih Kerja sebagai sebahagian daripada ESCF baru, yang menggariskan kemahiran dan laluan kemajuan kerjaya yang diperlukan untuk jurulatih kerja.
USULAN PROMOSI AMALAN KERJA INKLUSIF
INISIATIF BARU
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg