Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Mesra bahasa, bermesra dengan bahasa

Jul 30, 2023 | 05:31 AM



Satu iklan besar sepenuh muka surat terpapar di akhbar The Sunday Times pada 23 Julai mengenai satu konsert muzikal agak menarik.


Menarik kerana iklan itu adalah mengenai Konsert ChildAid 2023 dipaparkan dengan huruf besar perkataan dalam bahasa Melayu – MESRA the Musical Mystery. Ia dianjurkan The Straits Times dan The Business Times untuk projek saku sekolah, atau The Straits Times School Pocket Money Fund dan The Business Times Budding Artists Fund.


Iklan konsert edisi ke-19 itu menyertakan keterangan makna Mesra dalam bahasa Inggeris iaitu conviviality, warmth and the spirit of togetherness (bermaksud kemesraan, kehangatan hubungan dan semangat kebersamaan).


MESRA HUBUNGAN

Mesra memang menggambarkan suasana hubungan yang baik, ada kemesraan, ada kehangatan hubungan, erat, ada keakraban.


Ungkapan bergaul mesra menggambarkan hubungan baik, tiada cekcok, ada keserasian.


Berbual mesra menggambarkan kemesraan dalam perbualan, tidak janggal atau kekok, diisi dengan senyuman, juga ada keserasian, kekadang boleh dilihat dengan bahasa gerak-geri atau pergerakan badan.


Hubungan mesra adalah hubungan baik dan ramah, ada unsur erat atau bersahabat, suka bekerjasama, sama ada antara keluarga, kawan mahupun antara pemimpin negara.


Misalnya, hubungan kukuh lagi mesra Singapura-Indonesia dan Singapura-Malaysia dipererat dengan kunjungan Presiden Halimah Yacob ke Indonesia pada Februari lalu dan ke Malaysia pada Mac.


Dalam kededua kunjungan itu, Presiden Halimah disambut mesra – sambutan bersemangat, meriah dan membahagiakan.


Ungkapan terdapat kemesraan dalam rumah tangga bermakna hubungan keluarga yang baik lagi rapat, ada komunikasi dan perkongsian dalam kalangan anggota, boleh duduk semeja, bercerita dan gurau senda, dan sebagainya. Faktor keluarga bahagia dibina atas hubungan mesra dalam keluarga.


Lirik lagu P Ramlee Berkorban Apa Saja menyatakan: berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia.


INTIM

Dalam konteks lain, mesra juga menggambarkan intim – malah boleh bermaksud memadu kasih, bercumbu, bercengkerama, berasmara.


Misalnya, dalam satu laporan, seorang pelakon lelaki menyatakan bahawa dalam melakonkan babak mesra dengan pelakon wanita, beliau memerlukan kepercayaan isteri dan sebagai pelakon Islam, beliau cuba elak adegan bersentuhan dengan pelakon wanita.


Di beberapa negara, banyak pasangan bebas bermesra walau di tempat awam, namun di beberapa negara lain, terutama agama majoriti Muslim, pasangan dinasihatkan tidak bermesra di tempat awam atau khalayak ramai kerana bukan sahaja boleh menimbulkan rasa tidak selesa malah kemarahan dan satu kesalahan.


Di Singapura baru-baru ini, ada dua kes berkaitan hubungan mesra dalam kalangan ahli politik, hubungan yang berunsur intim, yang menarik perhatian ramai dan mempunyai implikasi dari segi kedudukan politik.


Satu mengenai perletakan jawatan Encik Tan Chuan-Jin sebagai Speaker kerana hubungan sulit dengan mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui, yang turut meletak jawatan sebagai AP.

Juga langkah Encik Leon Perera meletak jawatan sebagai AP GRC Aljunied selepas video beliau bermesra, berkongsi detik intim dengan mengusap tangan Cik Nicole Seah, bekas presiden Sayap Belia Parti Pekerja (WP), tular di media sosial.


MUDAH/’FRIENDLY’

Satu lagi makna mesra dalam konteks lain dan malah banyak digunakan, ialah mesra yang menggambarkan atau mengandungi unsur berjinak-jinak, sesuai, mudah, mengajak dan menarik kecenderungan, atau dalam bahasa Inggeris, friendly.


Misalnya, mesra pengguna bermakna mudah digunakan, mudah difahami, mudah dikendalikan pengguna yang tidak mahir.


Misalnya, mesra teknologi dan mesra digital bermakna mudah dari segi teknologi dan digital; misalnya banyak usaha dan program dibuat untuk menggalakkan warga tua supaya mesra teknologi dan mesra digital.


Selain mesra warga tua, ada lagi pelbagai usaha yang bercorak mesra seperti mesra belia, mesra kanak-kanak, yang menggambarkan usaha mendekati golongan berkenaan.


Mesra alam adalah sesuatu yang mendekat kepada alam, tidak merosakkan atau mendatangkan mudarat atau menjejas­kan mutu alam sekitar.


Misalnya kegiatan mendaki adalah kegiatan mesra alam; langkah mengurangkan penggunaan plastik adalah langkah mesra alam; program kehijauan – menanam pokok di serata negara, adalah langkah mesra alam; pelbagai langkah mengurangkan pengeluaran karbon adalah langkah mesra alam dan sebagainya.


Baru-baru ini, ada perbincangan mengenai penggunaan inai dengan tagline ‘mesra wuduk dan telap air’ dalam kalangan pengguna media sosial.


Mesra budaya pula menggambarkan kecenderungan dan kebiasaan dengan budaya – kegiatan mesra budaya ialah kegiatan yang antara lain mengajak kepada mendekati, menghargai dan menghayati budaya.


Mesra Muslim ialah perbuatan atau langkah yang turut mengambil berat keperluan pengguna Muslim.


Misalnya di beberapa negara, ada lapangan terbang yang mesra Muslim, seperti mengadakan tempat solat dan wuduk, atau hotel mesra Muslim yang menyediakan keperluan penginap Muslim dengan menyediakan arah kiblat, sejadah dan Al-Quran dalam bilik hotel.


Dan banyak lagi jenis mesra yang menggambarkan nilai prihatin, mengajak, memudahkan, sesuai, berjinak-jinak dan yang serupa dengannya.


MESRA LAIN

Beberapa pertubuhan, syarikat dan negara juga menggunakan slogan mesra dalam mengetengahkan khidmat yang disediakan.


Syarikat Shahidah Travel & Tours Pte Ltd menggunakan slogan, ‘Mesra dan Amanah’ dalam logo syarikat, gambaran melayani pelanggannya dengan ramah.


Etika kerja Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pula menggunakan slogan Mesra berkhidmat, jujur berbakti.


Dalam lamannya, ia menyatakan bahawa warga kerja MBJB sentiasa mengamalkan sikap mesra, bersopan santun, senyum, bertimbang rasa, menyayangi dan menghormati dalam melaksanakan kerja, usaha serta kemudahan dalam menabur bakti untuk kepentingan orang ramai antara warga kerja dan pelanggan.


Di Singapura, ada satu daya usaha yang berusia hampir lima tahun, dimulakan pada 2018, disebut dengan istilah M Kuasa Tiga (M3), dengan satu daripada komponennya ialah Mesra, iaitu Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat.


PERIBAHASA

Ada beberapa peribahasa mengenai mesra atau menggambarkan kemesraan. Antaranya:


Berhadap kasih mesra, balik belakang lain bicara menggambarkan perbuatan yang tidak teguh pada janji.


Tepung kena ragi menggambarkan pertemuan yang sangat mesra; pekerjaan yang lancar.


Bagai kunyit dengan kapur menggambarkan keadaan mudah dan cepat mesra.


KESIMPULAN

Mesra itu biar kena pada tempatnya supaya tidak membawa padah dan malah membawa kesan dan gambaran positif.


Dan penulisan ini dan juga ruangan ini, antara lain, mengajak pembaca supaya lebih mesra bahasa – selesa, lazim, suka dan cinta bahasa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >