Hari Bumi 2025 akan disambut pada 22 April dengan tema Our Power, Our Planet (Kuasa Kita, Planet Kita) yang menyeru seluruh penduduk dunia untuk bersatu menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan penjanaan tenaga elektrik bersih sebanyak tiga kali ganda menjelang 2030.
Usaha ini penting untuk memelihara alam sekitar dan bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan.
Namun begitu, apakah maksud sebenar kekata ‘mampan’ yang sering kita dengar pada tahun-tahun kebelakangan ini apabila kita berkata mengenai alam sekitar?
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘mampan’ membawa maksud kemampuan untuk mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik.
‘Kemampanan’ pula merujuk kepada pendekatan untuk mengekalkan kemampuan memenuhi keperluan semasa, tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang memenuhi keperluan mereka.
Konsep kemampanan sering digunakan dalam mencari huraian kepada isu yang membabitkan alam sekitar, sosial dan ekonomi, tiga aspek utama yang saling bergantungan dalam kehidupan moden.
Seperti yang kita sedia maklum, pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar jarang berjalan seiring.
Dalam mengejar kemajuan, kawasan hutan sering diteroka untuk memberi laluan kepada projek perumahan, ladang komersial dan perindustrian.
Akan tetapi, menerusi pendekatan mampan, pembangunan dapat dijalankan secara lebih bertanggungjawab.
Pengurusan sumber alam boleh dilakukan secara bijak, kesan perubahan iklim dapat dikurangkan serta memastikan generasi masa depan dapat memperoleh akses kepada bahan semula jadi.
Contohnya, penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin dan hidro dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada sumber alam yang tidak boleh diperbaharui misalnya arang batu, minyak serta gas asli.
Ini bukan sahaja membantu memelihara sumber alam untuk kegunaan generasi akan datang, malah ia lebih bersih dan turut membuka peluang pekerjaan, lantas, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam wacana alam sekitar, perkataan ‘lestari’ juga sering digunakan secara bergantian dengan ‘mampan’.
Namun sebenarnya, kedua-dua istilah ini membawa maksud yang berbeza.
‘Lestari’ merujuk kepada keadaan yang kekal, tetap dan terpelihara seperti keadaan asalnya.
Dalam konteks alam sekitar, kelestarian bermaksud usaha memelihara keadaan alam semula jadi seperti hutan rimba, udara dan sungai daripada terganggu disebabkan kegiatan manusia.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan Singapura dalam melestarikan alam sekitar, ialah gerakan OneMillionTrees, bertujuan mengembalikan kehijauan yang semakin hilang akibat kegiatan pembalakan, melalui penanaman satu juta pohon di seluruh pulau menjelang 2030.
Selain itu, perkataan ‘lestari’ juga sering dikaitkan dengan budaya, seperti dalam frasa ‘melestarikan seni’ atau ‘pelestarian warisan’ yang merujuk kepada usaha mengekalkan nilai tradisi dan adat resam daripada pupus akibat arus pemodenan.
Meskipun padanan kedua-dua kata ‘mampan’ dan ‘lestari’ dalam bahasa Inggeris sama, iaitu sustainable, masih terdapat perbezaan halus dari segi skopnya apabila kita berbicara mengenai alam sekitar.
Kemampanan merangkumi usaha mengimbangi semua aspek kehidupan manusia daripada kemajuan ekonomi; kepada keadilan sosial menerusi pengurusan sumber alam yang cekap untuk keperluan generasi hadapan; sehingga ke pengurangan kadar pencemaran alam sekitar.
Sebaliknya, kelestarian lebih fokus kepada aspek perlindungan alam sekitar sahaja.
Walaupun berbeza dari segi maksud, konsep kemampanan dan kelestarian saling melengkapi.
Maka, tiada kemampanan tanpa kelestarian dan kelestarian tidak mungkin tercapai tanpa pendekatan mampan secara menyeluruh.
Sebagai penghuni Bumi ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kedua-dua konsep ini terus diamalkan dalam setiap aspek kehidupan, demi menjamin masa depan yang lebih bersih, adil dan seimbang untuk semua.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg