Bayangkan suasana di kampung sewaktu fajar menyingsing dan cahaya mulai terlihat.
Anda dikejutkan daripada lena ekoran bunyi kokokan ayam jantan saling menyahut dan ayam betina berketuk kerana bertelur, memecah hening pagi.
Kedengaran juga kicauan burung bersiulan lembut, kucing di jalanan mengiau manja dan itik mengakak di danau berdekatan yang mendamaikan jiwa.
Ketika jelangnya tengah hari, kerbau mula menguak dan lembu melenguh, sama seperti bunyi manusia mengeluh, kerana sudah kepenatan membajak sawah di bawah sinaran matahari.
Sesekali kelihatan burung gagak terbang menggauk dan tikus berlari berdecit ke sawah mencari makan.
Lebah pula kedengaran berdengung saat mengepak sayapnya, terbang ke sana sini mencari bunga untuk dihinggap.
Apabila sang suria semakin hilang di ufuk barat, anak burung berciak dan anak ayam mencicit, mencari ibu mereka.
Akhirnya malam pun melabuhkan tirai.
Katak pun perlahan-lahan keluar dari bawah tempurung, mengeluarkan bunyi berdengkang diselang-seli dengan alunan cengkerik mengilai yang membuai rasa sehingga membuatkan anda terlena semula diulit mimpi yang indah.
Itulah sedikit sebanyak antara bunyi yang dihasilkan haiwan dalam bahasa Melayu.
Sebagai makhluk di muka bumi ini, manusia dan haiwan berkongsi ruang sama dan kita tidak dapat lari daripada bunyi-bunyi haiwan yang wujud di sekeliling kita.
Melalui bunyi yang kita dengar di sekeliling kita, perbendaharaan kata bunyi yang dihasilkan tercipta dan proses ini dikenali sebagai onomatopoeia.
Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) onomatopoeia bermaksud pembentukan atau penggunaan kata yang bunyinya ditiru daripada bunyi alamiah yang kita dengar, seperti dalam konteks artikel ini iaitu haiwan.
Proses onomatopoeia berlaku bukan sahaja dalam bahasa Melayu, bahkan untuk semua bahasa yang lain juga.
Perlu diingat bahawa penciptaan perkataan berdasarkan bunyi yang didengar dalam setiap bahasa adalah berbeza.
Misalnya dalam bahasa Inggeris, kambing berbunyi baa baa; bahasa Cina mi mi dan dalam bahasa Melayu pula embek embek (mengembek).
Terdapat beberapa peribahasa Melayu yang turut dikaitkan dengan bunyi haiwan.
Antara yang sering kita dengar ialah peribahasa ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum’ yang bermaksud menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya.
Kandang kambing dalam peribahasa ini merujuk kepada persekitaran yang tenang kerana mungkin tempat itu sudah sebati dengan diri kita.
Dalam persekitaran sebegini, kita perlu bersikap rendah diri, ibarat bunyi kambing mengembek yang bernada lembut dan perlahan.
Sebaliknya, jika kita berada dalam persekitaran asing yang mungkin menggerunkan (seperti di kandang harimau), kita perlu menunjukkan keberanian dan kekuatan untuk menghadapinya, ibarat suara kuat harimau mengaum.
Satu lagi peribahasa yang turut menggunakan bunyi haiwan ialah ‘anjing menyalak bukit takkan runtuh’ yang bermaksud orang baik walaupun dicela, tentu tidak akan binasa kebaikannya.
Dalam peribahasa ini, anjing diberi konotasi negatif, diibarat sebagai seseorang yang sentiasa mencari kesalahan orang yang baik, dengan niat untuk menjatuhkannya.
Orang yang bersikap baik pula diibaratkan bukit yang tidak runtuh walaupun sekuat mana salakan anjing itu (cara menjatuhkannya).
Menurut mantan pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Abbas Mohd Shariff dalam bukunya, Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa, ada beberapa spesies burung yang asal namanya adalah daripada bunyi yang dihasilkan.
Contohnya nama burung pipit berasal daripada hasil bunyian yang dikeluarkan spesies ini iaitu pit pit, burung tekukur berdasarkan bunyi kur kur dan burung gagak melalui bunyi gak gak.
Meskipun burung secara amnya dipadankan dengan bunyi kicau, setiap spesies sebenarnya menghasilkan bunyi yang unik dan nama yang diberikan itu adalah berdasarkan bunyi yang dihasilkan.
Berikut kosa kata bunyi lain dalam bahasa Melayu yang dipadankan dengan haiwan (selain apa yang dinyatakan di atas):
Babi (menenguk), cicak (mengecap), gajah/serigala (meraung), keldai (meringkik), kera (mengerih), kuda (berdengus), merak (mengilai), merpati (berdekut), monyet (mengerih), nyamuk (berdengung) dan ular (mendesis/berketur).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg