Kau boleh memenjarakanku
dalam kamar paling sunyi
tapi dalam kesunyian
yang ghairah menghilangkan degup
meragut ngeri segala tekad janji murni
aku tetap setia berdiri berbicara
kerana Dia sentiasa berada di sisi
maha berkata-kata menjernihkan sukma
meriuhkan bisikan mulus-Nya
yang aku rindukan amat
sinar cahaya tertumpah sarat
ke pucuk akal terhambat
menjalurkan idea
menggelinjangkan alur pemikiran
akan jiwa sesiapa saja
di mana-mana daerah tercinta
yang tersiat duka
hati insani yang terguris luka
penindasan dan kebatilan
yang tiada kesudahan
harus dibelahkan tajamnya pisau keganasan
atas nama pembelaan
kezaliman yang harus dipadamkan.

Kau juga boleh mengurungkanku
di ruang paling gelap
tapi dalam kegelapan yang liar merayap
aku akan terus berbicara syahdu
kerana Dia tetap sentiasa ada
maha berkata-kata tiada bertepian
menerangi cahaya bisikannya
betapa setiap titik hujan kasih
menyerap ke akar hati makrifat
merupakan air ilham pekat
menyegarkan kelopak rohani tak tersukat
terilham keadilan
yang perlu ditegakkan
berulit kebenaran
yang diisbatkan-Nya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan
Di Tepian DesaOct 11, 2026 | 5:30 AM
Warna-warna BiusOct 11, 2026 | 5:30 AM