Topik diikuti
Pergi ke BHkuBuku ajak pembaca muda hargai barangan lama, elak sikap ‘pakai buang’
Karya dwibahasa, ‘Si Mangkuk Tingkat yang Berjasa’ pupuk rasa homat, hargai dan hidupkan semangat kejiranan
Buku ajak pembaca muda hargai barangan lama, elak sikap ‘pakai buang’
Ibu bapa yang mahu mengelakkan sikap ‘pakai buang’ dalam diri anak-anak mereka boleh menggunakan buku, ‘Si Mangkuk Tingkat yang Berjasa’, bagi mengetengahkan mesej tersebut.
Buku dwibahasa sulung karya, Siti Nurshahira Mohamed Osman, itu memperkenalkan pembaca muda kepada barangan harian yang digunakan pada zaman ibu bapa atau datuk nenek mereka, yang masih kekal relevan serta digunakan hari ini, iaitu mangkuk tingkat atau tepen.
Kanak-kanak hari ini mungkin lebih terbiasa dengan bekas makanan seperti ‘Tupperware’ yang walaupun berbeza dari segi bahan dan corak, penggunaan kedua-duanya sama iaitu untuk mengisi makanan.
Melalui buku itu, Siti Nurshahira, 42 tahun, mengupas tema menghargai barangan lama, mengelakkan sikap ‘pakai buang’, dan menghidupkan suasana kejiranan di rumah flat.
Berkongsi jalan cerita, bekas guru pendidikan awal itu berkata buku tersebut membawa pembaca mengikuti perjalanan sebuah mangkuk tingkat yang dimiliki oleh nenek kanak-kanak lelaki bernama, Hamka, dari zaman beliau menetap di kampung hingga berpindah ke rumah flat.
Karya yang dilancarkan pada 22 November itu turut menyentuh tentang usaha mengukuhkan semangat kejiranan dengan masih mempraktikkan sikap berkongsi rezeki sesama jiran dengan memberi juadah dan lauk-pauk.
“Buku ini mengajar pembaca tentang menghargai jasa dan kegunaan barangan lama serta mengurangkan penggunaan bekas pakai buang,” kata siswazah Sarjana Muda Pentadbiran Seni dari Maktab Seni Lasalle itu.
“Ia juga menggalak hubungan erat antara kanak-kanak dengan warga emas kerana ini membentuk peradaban dan rasa hormat dalam diri si kecil.
“Ia turut mengajar kanak-kanak erti berkongsi rezeki dan bertegur sapa dengan jiran tetangga.
“Ini penting memandangkan kita semua tinggal di rumah flat dan semakin timbul rasa segan untuk bertegur sapa dengan jiran sebelah rumah kita ataupun di dalam lif,” tambahnya yang turut mempunyai Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak (NIEC).
Menurut ibu tiga anak itu, anak lelakinya yang kedua, yang juga bernama Hamka, menjadi ilham bagi buku itu.
Memandangkan kanak-kanak tersebut mempunyai sikap ingin tahu yang mendalam, Siti Nurshahira pun mendapat idea memperkenalkan barang-barang lama serta kegunaannya kepada pembaca muda seperti anaknya.
Jalan cerita dalam buku itu pula ada hubung kait dengan zaman kehidupan kampung bapa Siti Nurshahira di Kampung Kaki Bukit.
Pada waktu itu, bapa penulis serta adik-beradiknya menolong ibu mereka menjual kuih-muih di sekitar kampung.
“Walaupun kita sudah menetap di flat HDB sekarang, dengan adanya barang-barang lama yang saya kumpul dari zaman ibu bapa saya, ia mungkin menggamit kenangan manis tinggal di suasana kampung buat warga emas kita,” kata Siti Nurshahira.
Usai membaca buku itu, orang dewasa boleh mengadakan beberapa kegiatan susulan untuk kanak-kanak.
Bagi pendidik, mereka boleh mengadakan pembelajaran dari segi main peranan sebuah majlis kenduri, saran Siti Nurshahira.
“Semasa sesi main peranan, galakkan kanak-kanak untuk menyediakan benda-benda yang diperlukan ketika menganjurkan majlis kenduri.
“Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan mangkuk tingkat yang diisi dengan lauk-pauk mainan,” ujarnya.
Selain itu, pendidik boleh melibatkan ibu bapa dan kanak-kanak dalam kegiatan menghias mangkuk tingkat dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berkongsi tentang mangkuk tingkat ciptaan mereka semasa sesi unjuk dan ujar.
Buku ‘Si Mangkuk Tingkat yang Berjasa’ setebal 35 muka surat termasuk panduan untuk pendidik dan ibu bapa sesuai dibaca kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.
Menariknya, ia boleh dibaca menggunakan gaya pelbagai bentuk puisi tradisional seperti pantun, gurindam dan syair.
Ia juga boleh disesuaikan mengikut melodi lagu kanak-kanak dan rakyat seperti ‘Rasa Sayang Eh’, ‘Enjit Enjit Semut’ dan ‘I’m a Little Teapot’.
Ini dapat dilakukan kerana Siti Nurshahira berusaha menulis manuskrip dengan pemilihan perkataan yang berakhir dengan ritma – sesuatu yang beliau dapati cukup mencabar untuk dilakukan.
“Pengalaman ini mengajar saya tentang pentingnya menghadiri bengkel sastera bagi memperelok karya penulisan.
“Saya juga berterima kasih atas kerjasama dengan konsultan bahasa, Encik Suhaimi Nasrain, dan penyunting, Encik Farihan Bahron, yang telah membantu saya dalam perkembangan buku ini,” ujarnya.
Buku bergambar itu berharga $12 dan boleh didapatkan di pautan, https://tinyurl.com/thehandytiffincarrierbook.
Animasi bagi mempromosikan buku itu boleh ditonton di dalam talian melalui Instagram @padasuatuharisg.