Apabila membuka halaman, Terlena di Teluk Bibir, pembaca bukan sekadar menikmati 12 cerpen pilihan, malah berpeluang ikut mengembara menelusuri evolusi kreatif seorang penulis sepanjang hampir sedekad.

Kumpulan cerpen yang dilancarkan pada Jun itu menghimpunkan karya penulis tempatan, Fadhli Fadzil, yang dihasilkan dalam tempoh sedekad.

Yang terawal ditulis pada 2016, dan sebahagian besarnya dalam tiga tahun kebelakangan ini, iaitu sejak 2023.

Justeru, setiap cerpen bukan sekadar membawa kisah dan watak tersendiri, malah, ia turut merakam perubahan yang dilalui penulis menerusi pengalaman hidup dan gaya penulisan.

“Pembaca mungkin dapat melihat perkembangan suara kepengarangan saya daripada satu cerpen ke cerpen yang lain.

“Bagi cerpen-cerpen lama, saya hanya melakukan penyuntingan kecil kerana saya mahu mengekalkan bentuk asalnya sebagai rekod kepada cara saya berfikir dan menulis pada ketika itu,” kata Fadhli, seorang pendidik.

Kumpulan cerpen yang mengambil masa tiga tahun untuk dihimpunkan itu mengangkat pelbagai tema seperti kehilangan, kerinduan, keluarga, bahasa, sejarah, identiti dan harapan.

Ada cerita yang berlatar Singapura masa kini, ada yang menyentuh sejarah, dan ada juga yang disulam dengan unsur realisme magis.

Walaupun jalan ceritanya berbeza-beza, kesemua cerpen diikat oleh satu tema yang sama, iaitu perjalanan manusia untuk memahami kehidupan dan mencari kekuatan untuk meredakan serta meredai.

Menurut Fadhli, 27 tahun, beliau tidak pernah merancang untuk menghasilkan sebuah kumpulan cerpen dan pada mulanya cuma menulis kerana ingin melihat sejauh manakah penanya boleh pergi.

Minat beliau terhadap sastera yang berputik sejak di bangku sekolah terus berkembang menerusi pembacaan, penyertaan dalam pertandingan penulisan serta penglibatan dalam pelbagai bengkel dan program sastera.

Fadhli pernah memenangi tempat pertama dan ketiga bagi kategori Cerpen dalam Anugerah Pena Emas 2023 serta tempat pertama dalam Pertandingan Puisi Kebangsaan 2022.

Beliau juga mewakili Singapura dalam program Mastera 2024 bagi kategori Novel dan menerima pengiktirafan Sahabat Sastera 2025.

Sebelum Terlena di Teluk Bibir, beliau telah menerbitkan buku puisi, Di Sebalik Jendela, serta ‘zine’ (singkatan bagi majalah atau ‘magazine’ yang merujuk kepada penerbitan alternatif), Kulihat Layu dalam Melayu.

Kesemua cerpen dalam ‘Terlena di Teluk Bibir’ diikat oleh satu tema yang sama, iaitu perjalanan manusia untuk memahami kehidupan dan mencari kekuatan untuk meredakan serta meredai.
Kesemua cerpen dalam ‘Terlena di Teluk Bibir’ diikat oleh satu tema yang sama, iaitu perjalanan manusia untuk memahami kehidupan dan mencari kekuatan untuk meredakan serta meredai. - Foto MONDAYSTUDIO PHOTOGRAPHY

Penulisan cerpen, kata Fadhli, menjadi ruang baginya mengasah kepengarangan dan mencabar diri mencuba bentuk, gaya dan idea berbeza.

Lama-kelamaan, beliau sedar cerpen-cerpen itu sebenarnya berkongsi satu benang merah yang sama.

“Walaupun setiap cerpen mempunyai watak dan latar yang berbeza, semuanya berkongsi satu perjuangan yang sama, iaitu mencari bahasa untuk memahami kehilangan, kerinduan, kesunyian dan diri sendiri.

“Kadang-kadang kita memilih untuk terus tersenyum, bukan kerana semuanya baik-baik sahaja, tetapi kerana kita sedang belajar untuk meredakan dan meredai,” kata Fadhli.

Memberi contoh benang merah itu, Fadhli berkata ini dapat dilihat melalui pengulangan nama tempat, tarikh atau nama watak tertentu.

“Bagi saya, ini menjadikan pengalaman menulis lebih menyeronokkan kerana saya bukan sekadar menghasilkan 12 cerpen secara berasingan, tetapi membina satu kumpulan cerpen yang jitu dan selari,” kata pengasas bersama kolektif penulisan, Meja Conteng itu.

Berkongsi ilham bagi karya dalam kumpulan cerpen itu, Fadhli berkata kebanyakan watak dan cerita dalam buku itu datang daripada pengalamannya sendiri.

Namun, beliau tidak menulisnya secara langsung seperti yang berlaku dalam realiti.

Sebaliknya, beliau mewakilkan pengalaman tersebut melalui watak-watak dan persekitaran yang sedikit berbeza supaya dapat menyampaikan emosi dan makna yang serupa dengan cara lebih luas dan terbuka kepada tafsiran pembaca.

Selain itu, beliau juga banyak mendapat ilham daripada pemerhatian terhadap manusia dan kehidupan harian.

“Ada cerita yang bermula daripada satu peristiwa kecil, ada yang lahir daripada persoalan yang bermain dalam fikiran saya, dan ada juga yang berkembang daripada imaginasi apabila saya bertanya, ‘Bagaimana jika perkara ini berlaku?’” kongsi Fadhli.

“Satu ciri yang konsisten dalam karya saya ialah penggunaan unsur realisme magis.

“Saya tertarik kepada genre ini kerana saya percaya ada perkara yang sukar dijelaskan melalui realiti semata-mata.

“Unsur realisme magis membolehkan saya meneroka sejarah, identiti, bahasa dan emosi manusia dengan cara yang lebih simbolik tetapi masih dekat dengan pembaca,” tambahnya.

Fadhli berharap setiap cerpen dalam, Terlena di Teluk Bibir, dapat mengajak pembaca berhenti seketika dan merenung kehidupan sendiri.

“Saya berharap pembaca dapat melihat imbasan diri mereka dalam sekurang-kurangnya satu cerpen dalam buku ini.

“Kadangkala kita sukar menamakan apa yang sedang kita rasakan, tetapi melalui cerita, mungkin kita akhirnya menemui bahasa untuk memahami diri sendiri,” katanya.

“Jika ada pembaca yang selesai membaca buku ini lalu berasa sedikit lebih difahami, lebih tenang atau lebih berani untuk meneruskan kehidupan, itulah penghargaan paling bermakna buat saya,” tambahnya.

Fadhli turut meluahkan harapan agar buku itu dapat menjadi salah satu suara daripada generasinya.

“Masih banyak pengalaman, keresahan dan sudut pandang anak muda yang belum sempat diketengahkan.

“Mudah-mudahan buku ini menjadi bukti bahawa generasi Z masih peduli dan masih mempunyai pena yang tajam untuk berkarya,” ujarnya.

Berkongsi rancangan penulisan beliau yang seterusnya, Fadhli berkata beliau ingin terus mencabar diri menghasilkan novel dan meneroka untuk menghidupkan karya melalui pelbagai medium.

“Cerpen banyak mengajar saya tentang ketepatan dan kepadatan penceritaan, tetapi saya berharap suatu hari nanti, saya dapat menghasilkan sebuah novel yang membolehkan saya membina dunia, watak dan perjalanan emosi dengan lebih mendalam,” katanya.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin terus bereksperimen dengan pelbagai medium.

“Saya berasa amat bersyukur kerana dua cerpen dalam Terlena di Teluk Bibir telah diadaptasi ke pentas.

“Pengalaman ini mengukuhkan kepercayaan saya bahawa sastera tidak seharusnya terhad kepada halaman buku, tetapi boleh terus hidup melalui teater, filem dan medium lain,” tambahnya.