Seorang noja di masjid bukan sekadar penjaga kebersihan rumah ibadat itu, malah beliau juga menjadi nadi yang memastikan segala urusan masjid berjalan lancar.
Peranan penting itu ditonjolkan dalam buku terkini hasil karya penulis dan pengasas syarikat penerbitan Helang Books, Hidayah Amin, 52 tahun, yang menekankan kepentingan peranan seorang noja.
Kisah buku tersebut tercetus daripada pengalaman sebenar pelukis ilustrasi, Jafri Janif, 50-an tahun, sewaktu beliau bergelar sukarelawan masjid semasa muda belia.
Dari situ, Hidayah mendapat idea mengetengahkan peranan harian penting seorang noja dalam institusi masjid.
Jafri pernah menjadi sukarelawan di Masjid Radin Mas yang dahulu terletak di kawasan Telok Blangah.
Masjid tersebut dirobohkan pada 2001.
Lukisan beliau, yang menggambarkan kenangan yang terakam di fikirannya, menjadi asas kepada naratif buku tersebut.
“Saya rasa kisah ini penting kerana ia merakam sejarah sosial kita, tentang mereka yang menyumbang secara senyap-senyap dalam kehidupan harian kita,” kongsi Hidayah dalam satu temu bual bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Tidak seperti proses penulisan buku-bukunya dahulu, Kisah Noja bermula dengan karya visual terlebih dahulu.
Jafri menghasilkan ilustrasi berdasarkan memori beliau sebagai sukarelawan di masjid yang dipenuhi suasana gotong-royong dan nilai persaudaraan, dengan peranan noja sering tidak disedari masyarakat.
Hidayah kemudian menulis cerita berdasarkan ilustrasi tersebut, satu pendekatan baru yang memberikan jalan cerita lebih asli dan menyentuh hati.
Walaupun proses penulisannya agak cepat, Hidayah menjelaskan bahawa proses semakan fakta dan memastikan kesesuaian kandungan untuk pembaca muda, mengambil masa lebih lama.
“Ini buku pertama saya sepenuhnya dalam bahasa Melayu, jadi saya sangat berhati-hati dengan penggunaan bahasa, supaya ia mudah dihadam ramai dan jelas, serta dapat membantu kanak-kanak belajar Bahasa Melayu,” jelas Hidayah yang telah menghasilkan lebih 20 naskhah buku sejak 2010.
Kisah Noja turut dilengkapi dengan glosari dan soalan perbincangan bagi memudahkan penggunaan buku itu dalam bilik darjah, menjadikannya bukan sekadar bahan bacaan bahkan juga sumber pendidikan.
Menurut Hidayah, Kisah Noja memberi penghormatan kepada individu seperti noja, wira dalam diam atau ‘Silent Heroes’ yang tidak bekerja demi wang, tetapi demi tanggungjawab dan rasa cinta terhadap masyarakat.
Mereka datang awal ke masjid tetapi yang terakhir untuk pulang.
Mereka membentang tikar, mengajar mengaji, dan memastikan suasana masjid selesa untuk semua.
“Noja bukan sekadar penjaga masjid, mereka adalah antara guru pertama dalam masyarakat.
“Mereka mengajar dengan perbuatan, bukan hanya luahan kata-kata,” jelas Hidayah.
Lebih menyentuh hati, watak noja dalam buku itu diinspirasikan daripada seorang noja sebenar di Masjid Radin Mas, Allahyarham Mat Som Ahmad, yang meninggal dunia semasa pandemik Covid-19 pada 2023.
Isteri Allahyarham, Cik Nasijah Bariman, apabila dimaklumkan tentang buku itu, begitu terharu kerana sumbangan suaminya amat dihargai.
“Beliau rasa sangat tersentuh kerana suaminya dikenang hingga ke hari ini sesudah pemergiannya, dan kisahnya dikongsi dengan orang ramai,” tambah Hidayah.
Buku tersebut turut dihadiahkan kepada beberapa masjid di Singapura sebagai satu penghargaan.
Hidayah berharap buku itu dapat membuka mata generasi muda tentang nilai khidmat masyarakat dan semangat gotong-royong.
“Saya lihat bagaimana sukarelawan masjid, termasuk noja, berbakti tanpa mengharapkan balasan.
“Saya mahu kanak-kanak sedar kita tidak semestinya buat sesuatu kerana duit, tetapi kerana kasih sayang dan rasa tanggungjawab,” ujarnya.
Dengan Kisah Noja, Hidayah dan Jafri berharap masyarakat akan lebih menghargai peranan mereka yang selama ini berada di belakang tabir, tetapi amat penting dalam membentuk masyarakat dan kemaslahatannya.
Kisah Noja diterbitkan oleh Helang Books dan boleh didapati melalui Nurul Anwar Bookstore yang terletak di Bussorah Street, atau secara dalam talian melalui laman web Ungu Pen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg