Sepanjang kerjaya tiga dekadnya sebagai guru prasekolah, Ismadiana Muhamad, selalu memerhatikan bahawa permainan budaya wayang kulit sering hanya menjadi bahan hiasan di sudut Bahasa Melayu di dalam kelas.
Menyedari ramai murid tidak tahu asal usul seni tradisional itu, beliau memutuskan untuk menulis buku tentang wayang kulit yang sesuai dibaca kanak-kanak berusia empat hingga sembilan tahun.
Buku berjudul, Wayang Kulit Aidin itu dilancarkan pada 26 Julai sebagai sebahagian Siri Pengkarya Singapura terbitan Alam Cahaya.
Dalam wawancara melalui e-mel baru-baru ini, Ismadiana, 49 tahun, berkongsi bahawa ilham bagi buku tersebut datang daripada salah seorang cucu saudaranya yang petah berbual dan mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi.
“Saya juga memutuskan menulis buku ini kerana sedar bahawa penggunaan bahasa Melayu yang ringkas dan baik dapat membantu kanak-kanak melestarikan bahasa ibunda dari usia muda.
“Penting juga untuk mendedahkan mereka kepada warisan budaya yang pelbagai agar tertanam sifat menghargai dalam diri,” katanya.
Selain memperkenalkan pembaca kepada wayang kulit, buku itu turut menyampaikan kisah tentang watak kanak-kanak lelaki bernama Aidin dan kakaknya yang berasa teruja setelah dihadiahkan permainan wayang kulit oleh ayah mereka.
Sedang Aidin dan kakaknya asyik bermain wayang kulit, tiba-tiba wayang kulitnya itu patah.
Aidin tidak mudah putus asa, dan mencuba pelbagai cara untuk memperbaiki wayang kulit yang patah itu bersama kakaknya.
“Banyak perkara dapat dipelajari melalui buku, Wayang Kulit Aidin.
“Selain keutamaan memperkenalkan permainan wayang kulit dengan agak terperinci kepada pembaca, cerita ini juga memberi peluang kepada ibu bapa serta guru menerapkan dalam diri kanak-kanak tentang pentingnya berdaya tahan, terus mencuba dan tidak mudah putus asa dalam sesuatu perkara yang dilakukan,” kata Ismadiana.
Selesai membaca buku itu, ibu bapa dan guru boleh memikirkan kegiatan susulan mengikut konteks harian kanak-kanak yang memberi peluang kepada mereka menggunakan sikap berdaya tahan dalam menyelesaikan sesuatu masalah, kata pakar kurikulum prasekolah itu.
Ibu bapa dan guru juga boleh mengadakan kegiatan susulan seperti mencipta wayang kulit yang kukuh menggunakan pelbagai bahan yang ada di sekeliling.
“Di sini kanak-kanak berpeluang memilih bahan-bahan yang mereka rasa sesuai, sekali gus menggalak mereka membuat penerangan dengan menggunakan bahasa ibunda,” kata Ismadiana.
Berkongsi pengalamannya menulis buku itu, Ismadiana berkata cabaran utama yang dihadapinya bukanlah dalam mencari masa di tengah-tengah kesibukan bekerja, atau kesuntukan idea.
Tetapi cabaran yang dihadapi lebih kepada memastikan cerita-cerita yang direka itu menarik perhatian dan tidak terlalu panjang, agar sesuai untuk peringkat umur pembaca.
Justeru beliau tidak melepaskan peluang menghadiri bengkel penulisan dan penggunaan bahasa, serta peka tentang penghasilan buku-buku Melayu baru untuk kanak-kanak.
Antara lain, beliau berpeluang menghadiri bengkel penulisan buku cerita kanak-kanak yang dikendalikan pengasas Alam Cahaya, Hana Mohd.
“Apabila buku, Wayang Kulit Aidin, terpilih untuk disertakan dalam Siri Pengkarya Singapura, saya berasa sangat teruja.
“Ini kerana selain daripada tema dan judul buku-buku yang menarik dan pelbagai, siri ini memaparkan pelbagai ilustrasi comel, jelas dan berlatarkan konteks tempatan Singapura yang dekat dengan hati pembaca,” kata Ismadiana.
Selain Wayang Kulit Aidin, lima judul lain dalam Siri Pengkarya Singapura adalah, Pak Busu Raja Sehari, karya Hafeeza Ju; Dikir Barat, karya Amirul Hakim; Amir Cari Hobi, tulisan Sanesa Salleh; Tudung Saji Nenek, tulisan Faziha Abdollah; dan Lawatan Ke Pulau Sentosa, tulisan Hana Mohd.
Set buku itu boleh didapatkan di laman web, alamcahaya.com.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg