Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku ‘Lawatan ke Pulau Sentosa’ diterbit 10 tahun selepas ilham tercetus

Keterbatasan modal hambat penerbitan buku yang kini diwarnai ilustrasi lebih segar sokongan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew
Sep 1, 2025 | 5:30 AM
Lawatan Ke Pulau Sentosa
Buku kanak-kanak berjudul, ‘Lawatan Ke Pulau Sentosa’, merupakan satu daripada enam judul dalam, ‘Siri Pengkarya Singapura’, yang diterbitkan Alam Cahaya. - Foto ALAM CAHAYA

Ilham menulis buku kanak-kanak berjudul, Lawatan Ke Pulau Sentosa, tercetus sejak lebih 10 tahun lalu, namun penulis tempatan, Cik Hana Mohd, hanya dapat menerbitkannya pada 2025.

Rancangan menerbitkan buku itu tertangguh disebabkan keterbatasan modal, kata penulis itu, walaupun ilustrasi awal bagi karya tersebut telah disiapkan.

“Saya tergerak menulis kerana ketika itu saya melihat kekurangan buku kanak-kanak bahasa Melayu yang berlatarkan konteks Singapura.

“Pada waktu itu, modal yang diperlukan untuk menerbitkan dan mencetak 500 naskhah buku tersebut adalah sekitar $3,000,” kata pengasas syarikat penerbitan tempatan, Alam Cahaya itu.

Buku tersebut akhirnya diterbitkan pada 26 Julai dengan memaparkan ilustrasi baru yang lebih segar.

Ia satu daripada enam judul dalam, ‘Siri Pengkarya Singapura’, yang diterbitkan Alam Cahaya.

Terbitan siri buku itu disokong Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Menurut Cik Hana, tujuan utama beliau menghasilkan buku tersebut adalah untuk memperkenalkan tempat menarik di Singapura kepada pembaca cilik.

“Saya mahu kanak-kanak kecil mengenali negara mereka sendiri melalui kisah yang dekat dengan kehidupan mereka.

“Dalam buku ini, saya memilih watak seorang kanak-kanak perempuan untuk menampilkan rasa teruja apabila menaiki kereta kabel.

“Bagi kanak-kanak seusia watak ini, pengalaman sebegitu mampu mengundang rasa kagum dan ingin tahu,” kongsi Cik Hana, 60 tahun.

Kisah, Lawatan Ke Pulau Sentosa, bermula dengan seorang bapa yang membawa keluarganya melancong ke Pulau Sentosa.

Watak kanak-kanak dalam buku itu begitu ghairah ketika menaiki kereta kabel – sesuatu yang belum pernah dialaminya.

Lawatan diteruskan ke akuarium dan kanak-kanak itu terpesona dengan pelbagai hidupan laut yang dapat dilihat dari terowong kaca.

Di Taman Dinosaur pula, kanak-kanak itu kagum walaupun sedar dinosaur itu hanyalah replika buatan manusia.

Menurut Cik Hana, buku itu merupakan kesinambungan daripada, Siri Adam di Kota Singa, yang diterbitkan pada 2022.

Siri itu mengetengahkan lokasi ikonik seperti Marina Bay Sands, Pusat Sains Singapura, Taman Merlion, Singapore Flyer dan Taman Haiwan Singapura.

Kesemua judul itu sesuai untuk kanak-kanak berumur empat hingga sembilan tahun.

Seperti yang dilakukan bagi setiap karya yang beliau hasilkan, Cik Hana membuat kajian latar mengikut kesesuaian umur pembaca.

“Di bawah penerbitan Alam Cahaya, saya bukan sahaja bertindak sebagai penulis, malah sebagai penyelaras projek.

“Pendekatan kami adalah menyediakan bukan sekadar cerita, tetapi juga kosa kata, latihan dan kegiatan yang boleh digunakan ibu bapa serta guru.

“Matlamat kami jelas, iaitu kami bukan sahaja mahu kanak-kanak membaca, malah juga memahami dan memanfaatkan cerita,” katanya.

Cik Hana, yang telah menghasilkan 49 buku sejauh ini, mula menulis pada 1995 untuk anak-anaknya sendiri.

Ini kerana ketika itu tidak banyak buku bahasa Melayu berkonteks Singapura, kata ibu tiga anak itu.

Pada 2012, Cik Hana menerbitkan tiga cerpen yang ditulisnya iaitu, Abangku Askar, Masih Ada yang Sayang, dan Demi Papan Luncur.

Dalam menghasilkan buku, Lawatan Ke Pulau Sentosa, dan Siri Pengkarya Singapura, Cik Hana berkata cabaran utama yang dihadapi adalah berkaitan modal dan masa.

“Bukan sahaja untuk satu judul, malah keenam-enam buku dalam siri ini menuntut usaha besar.

“Saya pernah menganjurkan bengkel bagi membantu guru-guru yang ingin berkarya.

“Namun, kebanyakan skrip yang dihantar terlalu panjang dan lebih sesuai dijadikan cerpen,” kongsi Cik Hana.

“Saya perlu menyusun semula dan menyunting skrip, sebelum menghantarnya kepada penyunting dan pakar bahasa.

“Selain itu, masa saya lebih banyak terikat dengan urusan pentadbiran syarikat, maka hanya pada waktu malam saya dapat memberi tumpuan penuh kepada kerja penerbitan,” katanya.

Selain Lawatan Ke Pulau Sentosa, lima judul lain dalam Siri Pengkarya Singapura adalah, Pak Busu Raja Sehari, karya Hafeeza Ju; Dikir Barat, karya Amirul Hakim; Amir Cari Hobi, tulisan Sanesa Salleh; Tudung Saji Nenek, tulisan Faziha Abdollah; dan Wayang Kulit Aidin, tulisan Ismadiana Muhamad.

Set itu dijual pada harga istimewa $55 hingga 15 September dan boleh didapatkan di laman web, alamcahaya.com.sg. Harga biasa ialah $72.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg