Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Cerpen: Bazar

Jun 04, 2023 | 05:31 AM



CERPEN

Oleh: Wan Jumaiah Mohd Jubri

Kanopi hijau-kuning di tengah padang berumput keemasan seakan melambai ke arahnya. Saila menguis telefon bimbitnya; mencari-cari pesanan di Whatsapp tempoh hari. Hmmm… Jalan Taman Abadi …betullah alamatnya… desis hati kecil Saila. Desir bayu yang serentak muncul membelai lembut rambut perangnya yang mencecah pinggang. Sesekali rambut perang panjang mengurai itu menghala ke hadapan lantas menutup sebahagian wajah bujur sirihnya. Saila menolak perlahan sebahagian rambut yang menutup pandangannya.

Saila menguis-nguis telefon bimbitnya. Namun tiada riak di permukaannya. Ah! Macam mana boleh mati ni… dengusnya sendirian. Saila sudah merancang untuk bersiaran langsung di akaun Facebook setibanya dia di situ. Rancangannya kini hancur. Dan, bagaikan hilang kawalan, kakinya yang tersarung sepasang but hitam tinggi mencecah lutut bergerak pantas ke arah kanopi hijau kuning itu.

Mata bundar Saila yang disolek tebal dan berbulu mata palsu melentik panjang itu tidak berkelip memandang lautan rumput yang mengalas kanopi. Rerumput keemasan seakan tersenyum kepadanya. Tiada keluhan menahan sakit dari rerumput ketika but setinggi lima inci itu menikam dada. Jika tidak disebabkan blaus spaghetti dan skirt jeans pendek yang dipakainya, pasti Saila sudah menjongkok dan memetik sehelai rumput keemasan itu untuk diabadikan dalam akaun Facebook dan Instagramnya. Saila kian menghampiri kanopi bila tiba-tiba dia mematikan langkahnya. Ditatapnya lautan rerumput emas yang berkilauan. Sebuah keindahan yang tidak pernah dimimpikannya seumur hidupnya!

“Awak kagumkah? Ya. Itu rumput. Rumput asli. Bukan tiruan.”

Berderau darah Saila dek suara parau seorang lelaki yang bergema dengan tiba-tiba. Saila pantas memusingkan tubuhnya ke arah suara itu. Seorang lelaki berwajah jernih tersenyum ke arahnya. Saila bungkam. Bibirnya yang memang semula jadi kaya senyuman itu membatu.

“Err… Rumput berwarna emas?” Saila tiba-tiba bersuara.

“Ya. Kenapa? Salahkah?” Jawab lelaki berwajah jernih dan bertubuh tegap.

“Janggal! Mustahil!” Saila bersuara lagi. Tegas.

“Tiada apa yang janggal atau mustahil jika itu mahu-Nya.” Balas lelaki itu lagi. Dia berpakaian serba putih; kemeja berlengan panjang melepasi lutut sementara seluarnya agak gedoboh. Saila mengerutkan dahinya.

“Maaf Encik. Saya Saila. Pempengaruh global masa kini.” Saila menghulurkan tangan kanannya. Lelaki berwajah jernih itu diam memandang. Dia meletakan tangan kanannya ke dada kirinya.

“Oh? Maaf Encik! Saya lupa. Musim Covid-19 masih lagi berkepanjangan ya.” Saila bersuara lagi untuk menyembunyikan rasa malunya.

“Nampaknya begitulah Cik Saila. Perkenalkan, saya Aidil Fitri Abdullah. Cik Saila boleh panggil saya Fitri. Sayalah penghantar mesej Whatsapp kepada Cik Saila tempoh hari. Silakan masuk.” Pelawanya sambil mengekori Saila yang sedang melangkah masuk ke dalam kanopi.

Saila menggerak-naikkan kededua alis matanya. Pelbagai pertanyaan mula bersarang di kepalanya. Saat melangkah masuk ke dalam ruang bazar, anak telinganya dijentik alunan ayat-ayat yang tidak difahaminya. Namun tahap udaranya begitu berbeza nyamannya. Sukar dan tiada perkataan yang dapat Saila ungkapkan sebagai gambaran.

“Wow! Hebat! Encik Fitri, saya rasa peratusan oksigen di dalam kanopi ini amat tinggi ya. Begitu segar sekali. Saya dapat rasakan tarikan pernafasan saya begitu mudah dan baik.” Saila bersuara sambil menguntum senyum.

“Baguslah jika Cik Saila rasakan kelainannya yang luar biasa. Jika lebih ramai yang dapat mengunjung bazar ini, pasti mereka juga boleh menikmati udara nyaman yang amat berlainan di sini. Saya amat perlukan pertolongan besar dari Cik Salia. Sebagai seorang pempengaruh masa kini yang punya lebih daripada sejuta pengikut, saya pasti Cik Saila dapat menguar-uarkan bazar saya ini di ruang sosial media awak. Usah risau tentang bayaran. Beritahu saya berapa. Saya akan bayar.” Jelas lelaki berwajah jernih itu lagi.

Mata bundar Saila mengelilingi ruang kanopi. Sesekali lehernya memanjang cuba mengintai reruai-reruai yang tersorok dari pandangan. Saila mengatur langkah dari satu reruai ke satu reruai. Tiada sesiapa yang mengendalikan reruai-reruai itu. Papan tanda yang tergantung pada setiap reruai menjungkit tinggi kededua alis matanya. Hati Saila semain dikuit. Garis-garis melebat di kening Salia setiap kali matanya bertembung dengan papan tanda-papanda: “Kenali Diri”, “Lihat Ke Dalam Diri”, “Memperkasa Diri”, “Meyakinkan Diri”, “Menjadi Diri Sendiri”, “Menginsafi Diri”, “Membersih Diri”, “Persiapan Pulang”, “Jalan Pulang”.

“Encik Fitri?” Saila bersuara lagi.

“Ya. Saya di sini Cik Saila.” Jawab Fitri tenang.

“Adakah ini satu gurauan dalam sebuah mimpi indah?” Saila bersuara sinis.

“Tidak, Cik Saila. Ini bukan gurauan. Ini kenyataan.” Balas Fitri bersahaja..

“Saya tak nampak pun reruai-reruai busana raya, kasut, beg tangan, songkok, langsir, alas meja, kusyen, bunga-bunga plastik, kuih raya? Mana dia para pegerai nasi ambeng, nasi sambal goreng, apam balik, dendeng, ayam percik, kuih-muih tradisi Melayu, air katirah? Macam mana saya hendak uar-uarkan bazar pelik Encik Fitri tanpa reruai dan gerai-gerai yang menawarkan barangan dan makanan yang seperti biasa? Para pengikut jutaan saya tentulah mahu tahu terlebih dahulu apa yang istimewanya tentang bazar ini. Susahlah macam ni.” Bertubi-tubi Saila mengasak Fitri yang tetap tenang dan tiada terusik wajah jernihnya.

“Encik Fitri, macam mana dan bagaimana saya mahu buat video menarik jika semuanya sesuatu yang abstrak? Saya bukan ahli psikologi atau orang agama. Encik Fitri ‘kan tahu cara saya juga isi kandungan yang saya bentangkan dalam setiap akaun media sosial saya? Setiap isi kandungan video saya memaparkan kegembiraan dan keseronokan. Itu yang penting. Bukan benda-benda abstrak atau “deep”. Saya tidak mahu menambah stress para pengikut saya.

“Adakah Encik Fitri mahu saya berjubah, berjilbab, berniqab semasa menguar-uarkan reruai barangan abstrak di bazar Encik Fitri ini? Saya bukan seorang pempengaruh yang berpura-pura. Saya pempengaruh yang berpijak di bumi nyata. Bukan khayalan semata. Apa yang Encik Fitri lihat sekarang itulah saya.” Hujah Saila panjang lebar. Dia amat senang dengan keadaannya sekarang. Bahagia menjadi seorang Saila tanpa perlu berpura-pura demi memuaskan hati orang lain. Gembira menjadi seorang Saila tanpa perlu berlakon untuk menyenangkan hati orang sekeliling.

“Cik Saila, saya bukan menyuruh awak berpura-pura atau berlakon. Anggaplah ini satu cabaran baru. Saya tahu awak seorang yang kreatif, kuat dan suka pada cabaran. Apa salahnya awak mencuba?” Suara parau Fitri bergema setelah agak lama membisu.

“Encik Fitri, benda-benda abstrak yang berbau agama seperti ini bukan untuk orang seperti saya. Pilihlah ustaz atau ustazah atau ahli psikologi yang layak. Saya pasti para pengikut mereka akan kunjungi bazar ini. Jika saya melakukannya, para pengikut saya yang melebihi sejuta orang itu pasti mentertawakan saya dan akhirnya mereka menjadi pembenci saya. Saya tidak mahu kehilangan para pengikut saya. Jika saya kehilangan mereka, maka saya akan kehilangan identiti saya, seorang pempengaruh yang terkenal.” Saila bersuara jujur.

Fitri tetap tenang mendengar bedilan suara Saila. Wajah jernihnya tetap manis seperti biasa.

“Baiklah, jika Encik Fitri mahu saya betul-betul tolong, bawalah saya ke bazar Encik Fitri yang biasa-biasa saja. Bukankah Encik Aidil Fitri Abdullah seorang usahawan kaya-raya lagi tersohor? Saya janji akan buat isi kandungan yang terbaik dan “boom-kan” perniagaan Encik Fitri. Para pengikut saya dari semua pelosok dunia pasti datang ke bazar Encik Fitri itu. Saya gerenti. Dan Encik Fitri akan bertambah kaya!” Saila bersuara penuh semangat.

Fitri bungkam. Ditenungnya Saila dengan pandangan redup dari hatinya.

“Encik Fitri, tiada gunanya Encik Fitri tenung muka saya. Ayuh, bawalah saya ke bazar Encik Fitri yang ada gerai-gerai Ramly Burger, wade, nasi mandi, air bandung… Di mana gerai-gerai itu semua Encik Fitri?” Desak Saila berkali-kali.

Lelaki berwajah redup sekali lagi merenung tajam ke muka bujur sirih yang disolek rapi itu. Saila semakin rimas. Tahap kesabarannya kian menipis.

“Encik Fitri, saya tanya, di mana bazar biasa kepunyaan Encik Fitri yang biasa itu?” Saila mendesak lagi.

“Ada.” Jawab Fitri sepatah.

“Di mana?” Saila melonjak gembira.

“Di dimensi yang lain.” Balas Fitri tenang.

“Encik Fitri, cukup-cukuplah gurauan mimpi indah itu ya.” Celah Saila tegas.

“Cik Saila, saya rasa baiklah saya berterus-terang saja. Sebenarnya reruai-reruai yang ada dalam kanopi ini bukan untuk dikunjungi para pengikut Cik Saila.” Fitri bersuara perlahan.

“Apa? Bukan untuk para pengikut saya? Habis untuk siapa?” Soal Saila kebingungan. Matanya bundarnya membesar.

“Untuk awak.” Jawab Fitri pantas.

“Kenapa untuk saya?” Saila kehairanan.

“Awak pempengaruh yang bijak lagi berakal. Tidak perlulah saya menjawabnya. Jawapannya ada pada diri awak sendiri.” Fitri menjawab selamba.

“Jadi, tujuan sebenar Encik Fitri menjemput saya ke bazar eksklusif ini secara tidak langsung hanya mahu memalukan saya?” Saila meninggikan suaranya.

“Cik Saila, saya hanya menurut arahan untuk bertemu awak dan menyampaikan pesanan-pesanan yang diamanahkan. Itu saja.” Fitri bersuara tenang. Mata redupnya merenung sepasang mata bundar yang kemerahan.

Salia mengerutkan keningnya. Dahi licinnya kembali lebat diisi garis-garis kasar.

“Encik Fitri, apa masalah Encik Fitri dengan saya? Pernahkah saya ganggu perniagaan atau hidup Encik Fitri? Saya tidak pernah kenal Encik Fitri selama ini. Inilah pertama kalinya kita bertemu. Selama ini pun saya memang tidak tahu yang Encik Fitri ni wujud!”.

Salia semakin meninggikan suaranya. Dihelanya nafas sedalam mungkin. Perlahan-lahan dilepaskan pergi. Fitri yang diam membisu kembali merenung sepasang mata bundar yang kini reda bahang amarahnya.

“Encik Fitri, tolong jangan buang masa Encik Fitri untuk bersyarah atau berkhutbah atau mahu menginsafkan saya atau mahu saya berpurdah atau mahu saya jadi seorang muslimah yang baik, dan sebagainya dan sebagainya. Hidayah itu milik Allah. Saya tetap ingat Allah. Saya tetap seorang muslimah!” Jerit Saila sekuat hati.

“Ya. Benar. Hidayah milik Allah. Dan awak juga milik Allah. Selagi milik Allah, selagi itu boleh diambil-Nya kembali pada bila-bila masa saja. Awak sudah bersedia?” Fitri bersuara lembut.

Saila terpaku mendengar kata-kata Fitri. Bagai ada sesuatu yang menjentik tangkai kalbunya. Bagai ada sesuatu yang mengetuk pintu mindanya.

“Encik Fitri…”

Saila memandang ke sekelilingnya. Tiada kelibat lelaki berwajah jernih, redup dan manis. Tiada kanopi hijau kuning. Tiada lautan rerumput keemasan. Hanya nota-nota sunyi yang bergema di penjuru hati Saila.

BIODATA PENULIS

Wan Jumaiah Mohd Jubri mula menulis pada 1982. Cerpen sulungnya, Di Telan Pahit Di Buang Sayang, tersiar di akhbar Berita Minggu (BM) pada 2 Mei 1982. Cerpen-cerpennya juga pernah disiar di akhbar Berita Minggu Malaysia, Dewan Budaya dan Dewan Sastera. Buku-buku kumpulan cerpen beliau Penawar Rindu (2003), Dianku Seroja (2014), Kerusi. Rantai. Celung Keramat (2021).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >