Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Enam buku kanak-kanak baru dilengkapi video animasi

Buku terap nilai murni untuk diteladani, kegiatan bahasa dilancar 19 Apr
Apr 14, 2025 | 5:30 AM
Sumiati Ra’at akan melancarkan enam buku terbaru tulisannya dalam satu majlis di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 19 April.
Sumiati Ra’at akan melancarkan enam buku terbaru tulisannya dalam satu majlis di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 19 April. - Foto ihsan SUMIATI RA’AT

Lebih banyak buku kanak-kanak dalam bahasa Melayu dapat dinikmati pembaca cilik mulai 19 April selepas penulis tempatan, Sumiati Ra’at, melancarkan enam buku terbaru tulisannya.

Buku-buku itu turut disertakan dengan video animasi bagi memberi pengalaman membaca lebih interaktif dan menghidupkan cerita dalam bentuk visual.

Kegiatan bahasa berkaitan buku-buku itu juga disediakan untuk digunakan oleh kanak-kanak, guru dan ibu bapa.

Contoh aktiviti itu termasuk lembaran kerja dan latihan pemahaman yang bertujuan menggalakkan kanak-kanak berinteraksi dengan bahasa Melayu dalam cara yang lebih menyeronokkan.

Ini bagi membantu mereka memperkukuh kosa kata dan kemahiran membaca, kata Sumiati.

Penulis buku kanak-kanak itu berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang pendidikan.

Sejauh ini, beliau telah menulis 12 buku cerita kanak-kanak.

Beliau juga pernah menulis cerpen yang diterbitkan dalam antologi Citra oleh Pusat Bahasa Melayu (MLPC), skrip empat episod rancangan, Misi Gaia, bagi saluran Suria Mediacorp dan skrip bagi konsert Persada Budaya.

Beliau juga pengasas syarikat penerbitan setempat, Booku, yang ditubuhkan pada 2019 dengan memberi tumpuan kepada penerbitan cereka sastera serta kandungan digital dan bukan digital.

Sejauh ini, Booku telah menerbitkan 12 buku cerita dalam bentuk fizikal dan 12 video animasi berdasarkan tajuk-tajuk buku tersebut yang disertakan dengan kegiatan lanjutan.

Selain Sumiati, pasukan Booku turut terdiri daripada tiga anak muda yang memberi sokongan wadah dan menyumbang kepada aspek penceritaan daripada sudut berbeza.

Amyrah Mustafa membawa kepakaran dalam penceritaan menerusi media sosial dan turut terlibat dalam pengisahan serta menonjolkan emosi yang sesuai dalam ilustrasi.

Huzair Mustafa memanfaatkan minatnya dalam bidang pengarahan dan penceritaan visual untuk menghidupkan cerita melalui sentuhan sinematiknya.

Reedduwan Seherzan pula merupakan pengurus web Booku dan bertanggungjawab memastikan semua laman web dan wadah dalam talian berfungsi dengan lancar.

Booku turut mempunyai pengilustrasi, artis papan cerita, juruanimasi dan jurupemasaran digital.

Pasukan Booku turut terdiri daripada tiga anak muda, (dari kiri) Amyrah Mustafa, Reedduwan Seherzan dan Huzair Mustafa, yang memberi sokongan wadah dan menyumbang kepada aspek penceritaan daripada sudut berbeza. 
Pasukan Booku turut terdiri daripada tiga anak muda, (dari kiri) Amyrah Mustafa, Reedduwan Seherzan dan Huzair Mustafa, yang memberi sokongan wadah dan menyumbang kepada aspek penceritaan daripada sudut berbeza.  - Foto ihsan AMYRAH MUSTAFA, REEDDUWAN SEHERZAN, HUZAIR MUSTAFA

Berkongsi lebih lanjut tentang enam buku baru yang ditulisnya, Sumiati berkata setiap satu membawa tema dan nilai tersendiri.

Buku, Mana Irfan menyentuh tentang nilai keberanian dan kesungguhan dalam mencari penyelesaian.

Buku, Jangan Masuk Stor!, pula menerapkan unsur misteri, sikap ingin tahu dan pengajaran tentang keselamatan.

Buku Kertas Kosong, menggalakkan kreativiti dan imaginasi bebas manakala buku, Kota Tawabta, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar dan kepentingan menjaganya.

Buku, Lampu Lap-Lip Luli dan Segala-galanya Berubah, pula menceritakan tentang perubahan besar dalam kehidupan dan cara menghadapinya dengan daya ketahanan diri.

Menurut Sumiati, setiap kisah diilhamkan daripada pemerhatian beliau terhadap dunia kanak-kanak, pengalaman mengajarnya, serta peri penting membentuk nilai murni melalui cerita.

“Proses menulis setiap buku mengambil masa berbulan-bulan, daripada peringkat konsep hingga penyempurnaan ilustrasi dan animasi.

“Cabaran utama adalah memastikan cerita menarik, mendidik serta selari dengan perkembangan kanak-kanak,” ujarnya.

Sumiati berharap usaha beliau menghasilkan buku kanak-kanak yang dilengkapi video animasi dan kegiatan bahasa dapat menyokong usaha memperkasa literasi bahasa Melayu sejak usia muda.

“Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu selama lebih 20 tahun sebelum menjadi guru adjung untuk memberi lebih banyak tumpuan kepada penulisan.

“Antara cabaran utama dalam pengajaran Bahasa Melayu adalah memastikan pelajar terus berminat dengan bahasa dan budaya mereka dalam persekitaran yang semakin berorientasikan bahasa Inggeris.

“Ramai pelajar kurang yakin untuk menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian, dan ini memerlukan pendekatan kreatif untuk membina keyakinan dan minat mereka,” kata Sumiati.

“Buku-buku yang saya hasilkan, bersama video animasi dan aktiviti bahasa, dirangka khusus untuk membantu guru dan ibu bapa mendekatkan kanak-kanak kepada bahasa Melayu melalui pendekatan yang menyeronokkan dan kontekstual.

“Visual yang menarik, jalan cerita yang dekat dengan dunia kanak-kanak dan aktiviti yang boleh dimanfaatkan di rumah atau di dalam kelas dapat menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan bermakna,” tambahnya.

Majlis pelancaran buku itu akan diadakan di Perpustakaan Daerah Woodlands.

Selepas itu, kanak-kanak dan ibu bapa boleh menonton video animasi yang disertakan dengan buku-buku itu di laman web bookusg.com serta di laman Instagram dan Facebook @bookusg.

Kegiatan bahasa berkaitan buku pula boleh didapati di laman web Booku dan dalam bentuk bahan tambahan untuk guru dan ibu bapa.

Buku-buku itu dan buku lain terbitan Booku boleh diperoleh secara dalam talian di laman web bookusg.com.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg