Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Gila ‘menggilakan’ bahasa

Jul 16, 2023 | 05:31 AM



Encik Andyn Kadir tidak suka berlari tetapi beliau akan lakukan kerja gila – berlari 21 kilometer bagi kategori separuh maraton di Maraton Singapura Standard Chartered pada Disember – maraton sulungnya – bagi memberi inspirasi kepada bekas pesalah untuk mencapai matlamat dalam hidup.


“Keluarga dan rakan-rakan saya tahu saya gila. Jadi, ia tidak mengejutkan bahawa saya akan berbuat sedemikian. Mungkin, mereka terkejut saya akan mengambil bahagian dalam pertandingan larian sebab saya benci berlari dan hingga kini masih membencinya,” kata Andyn, 38 tahun, dalam satu laporan akhbar baru-baru ini.


Gila di sini bermakna melakukan sesuatu perkara yang sukar diterima akal kerana melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kecenderungan diri; macam benci tapi rindu.


Perkataan gila dalam bahasa Melayu agak menarik.


Penjelasan daripada kamus sahaja pelbagai.

GILA MENTAL

Satu daripada makna gila adalah makna yang lazim kita fahami – tidak waras; fikiran, otak atau mental tidak sihat; atau sakit otak dan menjejas daya fikir.


Keadaan ini boleh dilihat dari segi kelakuan yang lain daripada biasa ­­ – ­tidak normal atau ganjil. Maka timbul istilah gila, orang gila, jadi gila, atau kelakukan macam orang gila.


Beberapa istilah lain menggambarkan keadaan itu ialah tidak siuman, hilang akal, senteng, sewel, otak miring, otak tak betul, otak tiga suku, otak setengah tiang.

Sama ada gila boleh dirawat sepenuhnya atau tidak, jelas ada hospital yang mengendali isu mental, disebut sebagai hospital mental atau hospital gila.


Kalau Encik Andyn, mahu lakukan kerja gila (melakukan sesuatu yang mencabar yang belum pernah dan malah benci dilakukannya), ada pula ungkapan gila kerja – sangat suka kerja – seperti datang lebih awal dan pulang lebih lewat berbanding pekerja, terlalu ghairah bekerja hingga tidak kisah waktu makan dan tidak rehat.


Ada pula istilah rasa macam nak gila atau naik gila, bermakna kebingungan kerana terlalu bosan atau risau dirundung keadaan melemaskan mental seperti terlalu lama terlantar sakit, atau terlalu lama terkurung, atau bingung dan tidak berdaya menangani masalah.


KONTEKS KELUARGA/HUBUNGAN

Gila juga dipadankan untuk menggambarkan sesuatu keadaan dalam konteks keluarga, rumah tangga dan hubungan.


Main gila misalnya bermakna berkelakuan atau berbuat se­suatu tidak senonoh atau kurang sopan; seperti suami atau isteri yang mempunyai hubungan dengan orang lain. Suami main gila bermakna mempunyai hubungan dengan wanita lain dan lupa tanggungjawab pada keluarga, begitu sebaliknya.


Main gila juga bermakna melakukan sesuatu sekehendak hati dan tidak mahu ikut ketetapan atau peraturan. Misalnya pekerja main gila bermakna pekerja meninggalkan tugas dan tanggungjawab atau kerja ikut suka hati.


Gila talak pula menggambarkan keadaan fikiran yang terganggu kerana bercerai (selalu teringat-ingat bekas isteri atau suami setelah bercerai sehingga menjejas kelakuan atau perasaan, sehingga kelihatan menjadi kurang siuman).


Gila bayang pula menggambarkan seseorang yang mempunyai perasaan atau ada rasa cinta terhadap seseorang, tetapi orang dicintai itu tidak tahu perasaan orang berkenaan terhadapnya; atau boleh bermakna masih mengharap walau perasaan atau cintanya tidak dibalas.


KEMARUK/AMAT SANGAT

Gila boleh bermakna terlalu suka, gemar yang keterlaluan, melampau, atau kemaruk.


Selain gila kerja (terlampau suka atau kemaruk kerja), terdapat banyak gila serupa itu dalam pelbagai jenis sukan (seperti gila bola, gila badminton, gila golf dan sebagainya).


Gila seks menggambarkan kecenderungan atau keinginan yang melampau (kuat) terhadap kegiatan seksual; tetapi seks gila adalah gambaran perlakuan seks yang di luar tabii.


Gila bahasa adalah orang yang amat suka dengan pelbagai aspek berhubung bahasa, sementara bahasa gila adalah bahasa yang tidak betul, bercelaru, termasuk bahasa tidak sopan.


Gila judi ialah tabiat terlalu suka berjudi; gila wayang bermakna suka sangat tengok wayang; dan gila wanita bermakna suka pada wanita dan memberi gambaran suka bertukar pasangan.


Harga gila menggambarkan sama ada terlalu mahal atau mahal gila, atau terlalu murah atau murah gila – iaitu harga di luar jangkaan biasa.


Cepat gila atau laju gila menggambarkan pergerakan yang terlalu cepat atau deras.


Frust’ gila bermakan tersangat kecewa/hampa; seronok gila bermakna sangat seronok; kelakar gila ialah kelakar yang sangat mencuit hati; sedap gila bermakna terlalu sedap; manis gila bermakna terlalu manis, sambutan gila membayangkan sambutan besar-besaran hingga ke tahap melampau.


MACAM-MACAM LAGI

Terdapat bermacam lagi gila yang menggilakan.


Gila pangkat ialah terlalu ingin naik pangkat, atau sangat ingin mengejar pangkat; juga boleh bermakna kelakuan/sikap berubah setelah mendapat pangkat tinggi.


Gila kuasa ialah kemaruk atau sangat ingin mendapat kuasa; atau menggunakan kuasa yang ada dengan sewenang-wenang.


Gila politik bermakna asyik dengan cita-cita atau kegiatan berpolitik;


Gila isim menggambarkan keadaan gila kerana tersalah mengamalkan ilmu (biasanya berkaitan ilmu batin, atau gila kerana tersalah mengamalkan ilmu batin).


Kau dah gila menggambarkan ekspresi terhadap perbuatan atau keputusan yang tidak selari atau tidak sejajar dengan pertimbangan akal, atau sudah hilang fikiran atau pertimbangan.


Gila duit ialah asyik memikirkan soal buat duit, gila komputer atau telefon bimbit asyik atau leka dengan komputer, telefon.


Gila pesta adalah suka pergi ke pelbagai pesta tetapi pesta gila bermakna pesta dengan acara dan keseronokan yang melampau.


DARI SEGI AGAMA, SOSIAL

Orang yang tidak siuman, hilang akal atau gila tidak tertakluk pada kewajipan atau hukum tertentu – seperti tidak wajib solat dan puasa.


Dalam banyak kes jenayah, pesalah biasanya dijatuhi dengan hukuman setimpal dengan perlakuan jenayah, tetapi tuduhan boleh dipinda atau hukuman lebih ringan jika dia sah didapati menghadapi masalah mental atau ada unsur gila ketika melakukan kesalahan.


BERKAITAN HAIWAN

Anjing gila adalah gambaran anjing yang berbahaya (seperti dikejar anjing gila).


Ada juga penyakit yang disebut penyakit anjing gila – penyakit virus yang berbahaya pada anjing; atau penyakit yang disebabkan oleh virus yang dijangkiti melalui air liur haiwan terutama anjing yang terkena penyakit itu, atau istilahnya ‘Rabies Canina’.


Gila babi bermakna sawan -- penyakit saraf yang menyebabkan kadangkala menyebabkan pesakit berkenaan jatuh, menjadi tidak sedar dengan sebahagian tubuh terketar dan mulut berbuih. Dalam istilah perubatan, ia disebut epilepsi.


Penyakit lembu gila adalah sejenis penyakit daripada lembu yang ada virus, disebut sebagai penyakit lembu gila atau Creutzfeldt-Jakob (vCJD).


ILHAM

Gila juga dijadikan modal atau ilham menghasilkan sesuatu karya.


Di Malaysia pernah terdapat majalah yang disebut Majalah Gila-gila; ada juga drama dengan tajuk Gila-gila Pengantin, juga pernah ada novel dengan tajuk Anak Mat Lela Gila karya penulisan Pak Sako.


APABILA BERIMBUHAN

Gila-gila adalah tingkah laku atau sikap seperti orang gila; seolah-olah, seakan-akan atau pura-pura gila.


Gila-gila juga bermakna melakukan sesuatu ikut kehendak atau sesuka hati tanpa memikirkan akibat atau kesannya: misalnya, lelaki itu memandu kereta gila-gila tanpa memikirkan keselamatan orang lain;


Watak gila-gila adalah watak yang tidak betul, kekadang menyusahkan, adakala menyeronokkan.


Tergila-gila ialah terlalu amat ingin (suka, asyik, cinta, berahi) akan sesuatu: misalnya ramai orang muda tergila-gila dengan penyanyi Taylor Swift sehingga sanggup bermalam dan beratur panjang bagi mendapatkan tiket, dengan harga yang tinggi, untuk menonton persembahannya; lelaki tergila-gilakan seorang wanita.


Menggila pula bermakna keadaan keterlaluan atau berlebih-lebihan seperti hujan ribut dan taufan menggila meranapkan kawasan sehingga ramai yang kehilangan tempat tinggal; atau Seman, yang berpenyakit asma, batuk menggila ketika dijangkiti Covid-19; atau perang menggila di Ukraine; Othman baru habis sekolah dan belum ada kerja tetapi sudah menggila mahu kahwin.


Kegilaan ialah gambaran minat atau minat berlebihan, misalnya anak patung Hello Kitty pernah menjadi kegilaan kanak-kanak suatu ketika dahulu; atau tarian ‘breakdance’ menjadi kegilaan remaja satu ketika dulu.


PERIBAHASA/PANTUN

Gila juga diserap dalam beberapa peribahasa dan pantun.


Misalnya, bagai cacing gila ialah perempuan yang suka berpergian, bertandang dan sebagainya. Cacing gila ialah cacing yang berputar-putar apabila disentuh.


Gila di abun-abun bermakna mengangan-angankan sesuatu yang mustahil. Abun-abun ialah angan-angan.


Sehari kahwin, sehari tua; sehari beranak, sehari gila adalah mengenai orang muda yang sudah kahwin dianggap sudah masuk golongan tua dari segi fikiran dan kelakuan, dan semasa mendapat anak begitu gembira seperti gila (istilah sekarang, ‘happy’ gila).


Antara pantun klasik berkaitan gila ialah:


Rotan akar panjang berjela,


banyak melilit di pokok mati;


hamba jua tergila-gila,


Tuan tidak menaruh hati.


Burung pipit datang ke mari,
Tempat orang menanam pala;
Kening diangkat senyum diberi,
Bagaimana hati tak gila.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >