Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Mimpi... antara khayalan dan kenyataan

Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Amalan menyembelih haiwan korban yang dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha minggu lalu bermula dengan peristiwa menarik.

Umumnya umat Islam tahu peristiwa itu – kisah Nabi Ibrahim as bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail as. Nabi Ibrahim menerima mimpi berulang itu sebagai perintah Allah.


Ternyata ia satu ujian ketaatan ke atasnya, dan penyembelihan yang diganti dengan kambing kibasy itu menjadi amalan yang dilakukan oleh umat Islam setiap tahun semasa Hari Raya Korban.

KONTEKS AGAMA

Mimpi mempunyai keistimewaan tersendiri dalam kededua aspek agama dan bahasa.


Dari segi agama, selain peristiwa penyembelihan dalam kisah ujian ketaatan ke atas Nabi Ibrahim as dan anaknya Ismail as hanya melalui mimpi, satu lagi kisah berkaitan mimpi yang terdapat dalam Al-Quran ialah kisah Nabi Yusuf as dalam surah Yusuf.


Antara lain surah itu bersangkutan dengan mimpi – bermula dengan Nabi Yusuf as semasa kecil bermimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan dan bintang tunduk memberi hormat kepadanya. Mimpi itu ditakrifkan oleh bapanya sebagai petanda bahawa Nabi Yusuf as akan menjadi pemimpin yang dihormati. Dalam surah yang sama, Nabi Yusuf as digambarkan mempunyai kelebihan mentakrif mimpi, dan dengan kebolehan itu beliau akhirnya menjadi pembesar, dan dihormati sebagaimana mimpi yang dialami semasa kecil.


Perkara berkaitan mimpi disebut dalam beberapa ayat dan surah dalam Al-Quran, antaranya surah Al Fath ayat 27 yang menceritakan benarnya mimpi Nabi Muhammad saw memasuki Masjidil Haram; surah Al Saffaat ayat 102-105 yang menceritakan mimpi Nabi Ibrahim as menyembelih anaknya Nabi Ismail as; dan beberapa ayat dalam surah Yusuf seperti ayat 4-6 yang menceritakan mimpi Nabi Yusuf as, dan beberapa ayat lain yang berkaitan seperti kesimpulan kisah itu pada ayat 100-101.


Dalam proses pertumbuhan manusia, salah satu kayu ukur yang menjadi tanda seseorang itu memasuki alam dewasa dalam Islam, disebut sebagai mencapai akal baligh, iaitu sudah cukup umur dan menjadikannya disabit di bawah hukum Islam, ialah menerusi mimpi. Ada yang menyifatkan ini sebagai mimpi basah – mengalami mimpi yang menyebabkan keluar air mani. Dalam istilah agama, ia disebut ihtilam.


KONTEKS BAHASA

Dari sudut bahasa Melayu, mimpi juga mempunyai penjelasan dan penggunaan dalam konteks tertentu.


Dari segi makna, mimpi ialah melihat sesuatu – gambaran, fikiran, dan emosi yang dialami – semasa tidur. Ada pelbagai macam mimpi – ada mimpi baik dan membahagiakan, ada mimpi buruk yang menakutkan dan mengerikan, ada yang membingungkan, ada yang tidak pernah terlintas di fikiran, ada yang benar terjadi, ada yang ditakrif sebagai alamat, ada yang di luar jalur pemikiran dan tidak masuk akal, ada yang sekadar khayalan, dan sebagainya.


Selain makna mengalami mimpi semasa tidur, bermimpi boleh juga bermakna angan-angan, igauan, khayalan, bayangan, fantasi dan imaginasi.


Bermimpi menjadi orang kaya boleh bermakna menjadi orang kaya semasa dalam mimpi; dan boleh juga bermakna angan-angan – misalnya, dengan keadaan hidup yang sukar dan tanpa usaha mengubah kehidupan, Sudin hanya boleh sekadar bermimpi menjadi orang kaya.


Selain makna bermimpi sesuatu, memimpikan atau bermimpikan boleh bermakna mencita-citakan atau mengharap-harapkan sesuatu yang mungkin sukar dicapai tetapi tidak mustahil; misalnya Rosnah mengikuti kursus pendigitalan dengan sungguh-sungguh kerana memimpikan keinginan menjadi seorang usahawan yang berjaya.


Termimpi pula adalah sesuatu yang terfikir atau terlintas dalam fikiran. Misalnya pendaratan manusia di bulan bukan suatu yang tidak termimpikan suatu ketika dahulu, tetapi kemudian menjadi kenyataan dengan mendaratnya roket atau kapal angkasa Apollo 11 di bulan.


Termimpi-mimpi pula menggambarkan keadaan diri yang sering teringat-ingat atau terkenang akan se­suatu.


Dimimpikan pula boleh bermakna dibayangkan, seperti keupayaan Singapura berubah daripada sebuah negara dunia ketiga menjadi negara dunia pertama dalam masa sesingkat 50 tahun mungkin tidak pernah dimimpikan.


BEBERAPA ISTILAH

Mimpi digunakan sebagai istilah untuk menggambarkan beberapa keadaan.


Mimpi di siang hari boleh bermakna berkhayal, namun ada juga yang menyifatkan mimpi yang berlaku pada siang hari yang membawa tafsiran tertentu.


Jangan mimpi bermakna jangan harap atau jangan angan-angan – misalnya jangan mimpi boleh menjadi orang kaya kalau tidak berusaha.


Hanya mimpi menggambarkan bahawa sesuatu itu tidak mungkin dicapai dan hanya boleh diangan-angankan sahaja.


Pelajar yang tidur, terlelap, mengantuk atau khayal biasa disifatkan dengan perkataan sedang mimpi dibuai mimpi.


Satu perkataan dekat dengan mimpi, hampir sama makna tetapi ada kelainan ialah impi.


Antara makna impi, menurut kamus, ialah bermimpi yang berbaur makna mengidamkan, mengimpikan, menginginkan, mengharapkan.


Impian Osman untuk hidup bahagia dengan wanita yang dikenali sejak di bangku sekolah tinggal mimpi apabila wanita itu berkahwin dengan lelaki pilihan ibu bapanya.


Satu lagi contoh: Impian Rosnah untuk memiliki rumah besar bak istana impian menjadi kenyataan setelah beliau berhempas pulas mengusahakan perniagaan dan berhasil menjadi seorang usahawan ternama.


PERIBAHASA

Terdapat beberapa peribahasa berhubung mimpi.


Berkelahi di dalam mimpi menggambarkan keadaan memenatkan diri atau berlelah-lelah dengan sia-sia saja.


Siang menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi bermakna seseorang atau perkara yang tidak pernah dilupakan.


Bermimpi mendapat emas, takkan membuat pura; bermimpi mendapat padi, takkan membuat lumbung adalah satu peribahasa panjang yang bermakna menasihati supaya membuat perdamaian dalam sesuatu perselisihan, pandanglah perselisihan itu seperti mimpi yang tidak dapat diterima sebagai suatu kenyataan.


LAGU

Soal mimpi juga dijadikan lirik beberapa lagu Melayu.


Satu daripadanya ialah lagu Impian Semalam, antara lain pernah dinanyikan penyanyi Uji Rashid mengenai mimpi yang dialami dan takrifannya. Liriknya:


Waktu semalam bu
Aku bermimpi
Bertemu ular bu
Besar sekali
Ular menggigit bu
Jari kaki ku


Setelah menggigit bu
Ular berlalu
Ku picit-picit bu
Darah keluar
Aku menjerit aduh
Hingga tersedar


Apakah itu bu
Erti maksudnya
Impian semalam bu
Amat seramnya


Jangan bimbang sayang
Jangan risaukan
Itu hanya mimpi
Cuma khayalan


Bila malam datang
Bulan pun terang
Bintang pun bersinar
Kelip-kelipan


Kuntum yang di taman
Sedang berkembang
Harum baunya aduh
Sungguh menawan
Dicium dipetik
Bunga di taman
Itulah ertinya
Impian semalam


Satu lagi ialah lagu Malam ku bermimpi dendangan Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarhamha Saloma. Bait pertama lagu itu menyatakan:


Malam ku bermimpi
Hai dengan satu bintang
Berkata-kata ku di jendela
Ku lihat kanda tersenyum memandang
Asmara bergelora
Meresap ke dada


Mimpi indah adalah hiasan tidur yang melenakan, sementara mimpi ngeri menjejas tidur dan perasaan.


Dalam alam nyata, semoga semua mimpi dan impian baik disertakan dengan usaha agar impian itu menjadi cita-cita dan impian benar-benar menjadi nyata.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >