Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru Bahasa Melayu belajar guna reka grafik Canva sebagai alat mengajar

Nov 14, 2025 | 7:34 PM
majlis tahunan Penghargaan Guru Gen G,  gen g, berita harian
Majlis tahunan Penghargaan Guru Gen G anjuran Berita Harian (BH), telah dihadiri 70 guru dari sekolah rendah dan menengah. Ia telah diadakan di restoran The Malayan Council, Esplanade, pada 14 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Perisian reka bentuk grafik dalam talian, Canva Education, boleh digunakan sebagai alat yang dapat membantu guru Bahasa Melayu dalam pengajaran di bilik darjah.

Perkara itu dikongsi Duta Canva, Cik Nurliyana Ahmad, semasa majlis tahunan Penghargaan Guru Gen G anjuran Berita Harian (BH), yang dihadiri 70 guru pada 14 November.

Diadakan di restoran Malayan Council, Esplanade, beliau menjelaskan bahawa antara manfaat Canva Education adalah keupayaannya menghasilkan dek slaid, lembaran kerja dan poster dengan menggunakan templat sedia ada, sekali gus mengurangkan masa untuk guru menyediakan bahan pengajaran.

Semasa acara itu, Cik Nurliyana turut membimbing guru menghasilkan slaid pembentangan dan lembaran kerja serta mengajar mereka menggunakan ciri kecerdasan buatan (AI) dalam Canva Education.

Guru hanya perlu memasukkan penerangan ringkas tentang jenis bahan atau dek slaid yang diperlukan ke dalam kotak ‘prompt’ untuk menjana kandungan.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata: “Acara ini amat penting bagi BH dalam mendekati guru Bahasa Melayu agar mereka dapat mempelajari kemahiran baru seperti penggunaan Canva Education dan juga Gen G di dalam kelas.”

Menurutnya, acara itu turut memberi peluang kepada guru bertemu rakan sejawat dan berkongsi idea, di samping memberi ruang bagi BH mendapatkan maklum balas untuk menambah baik mutu Gen G pada masa hadapan.

Gen G, singkatan bagi ‘Generasi Geliga’, merupakan akhbar untuk pelajar terbitan BH yang setebal 16 muka surat.

Guru Bahasa Melayu berhimpun dan menikmati hidangan bersama semasa majlis Penghargaan Guru Gen G anjuran Berita Harian (BH) yang diadakan di restoran The Malayan Council di Esplanade pada 14 November.
Guru Bahasa Melayu berhimpun dan menikmati hidangan bersama semasa majlis Penghargaan Guru Gen G anjuran Berita Harian (BH) yang diadakan di restoran The Malayan Council di Esplanade pada 14 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selain Canva Education, acara itu turut mempromosikan Gen G sebagai bahan pengajaran untuk membantu guru mengajar di bilik darjah.

Bercakap kepada BH, Cik Noor Hayati Mohamed Yusoff, Ketua Subjek Pengurusan Pelajar (guru disiplin) Sekolah Menengah St Gabriel, berkata penerbitan Gen G berguna sebagai bahan bacaan tambahan di samping buku teks dan membantu pelajar mengikuti perkembangan isu semasa.

Bahagian kosa kata dalam Gen G juga bermanfaat bagi memperkenalkan perkataan baru kepada pelajar, kata Cik Nur Mahana dari Sekolah Rendah Rosyth.

Guru Bahasa Melayu dari Sekolah Rendah Wellington, Encik Muhammad Shahzulhari Johari, turut berkongsi mengenai kepentingan mendedahkan pelajar kepada sumber berita yang berwibawa dan ini sesuatu yang disediakan Gen G memandangkan semua artikel telah melalui proses semakan fakta.

Gen G diberikan secara percuma kepada pelajar sekolah menengah di bawah pengurusan Ngee Ann Kongsi, manakala murid sekolah rendah perlu melanggan.

Sejak Januari 2025, Gen G turut boleh diakses dalam talian bagi memudahkan pelajar.

Pelajar juga boleh menghantar karangan atau sebarang karya bahasa Melayu mereka ke bhgeng@sph.com.sg bagi peluang untuk diterbitkan di dalam akhbar Gen G.

“Acara ini amat penting bagi BH dalam mendekati guru Bahasa Melayu agar mereka dapat mempelajari kemahiran baru seperti penggunaan Canva Education dan juga Gen G di dalam kelas.”
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg