Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah BH alih ke format kompak disambut baik pemimpin masyarakat

Pastikan akhbar kekal relevan, tarik pembaca muda dalami berita dalam bahasa Melayu
Nov 8, 2025 | 7:39 PM
nazry mokhtar, berita harian. compact
Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar (tiga dari kiri), meninjau akhbar BH berformat kompak bersama wartawan BH, yang bakal bermula pada suku pertama 2026. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Peralihan akhbar Berita Harian (BH) daripada format lembaran lebar atau broadsheet kepada saiz kompak akan menjadikannya lebih mudah dibawa, lebih menarik dan lebih relevan kepada pembaca masa kini terutamanya golongan belia, kata pemimpin masyarakat yang ditemui BH.

Berkongsi pandangannya, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata langkah tersebut mencerminkan usaha berterusan BH untuk kekal relevan dalam landskap media yang kian berkembang.

Ini sambil mengekalkan peranannya sebagai suara utama bagi masyarakat Melayu/Islam.

“BH ialah akhbar yang amat bersejarah dalam negara kita dan kita dapati ini merupakan langkah BH mengambil inisiatif untuk kekal relevan sebagai akhbar bagi masyarakat Melayu/Islam,” kongsi beliau.

Kata Dr Syed Harun lagi, format kompak baru itu berpotensi menarik lebih ramai pembaca muda agar lebih mendalami berita dan pandangan dalam bahasa Melayu, sambil menyifatkan pembaharuan tersebut “menarik sekali”.

“Ia diharapkan dapat menarik lagi para belia kita untuk terus membaca akhbar Melayu dan melihat dunia serta berita daripada lensa identiti Melayu juga.

“Dengan itu, dapatlah kita memupuk bahasa dan budaya Melayu dan melestarikannya melalui pembacaan akhbar dan sikap ingin tahu kepada masyarakat,” ujar beliau, yang juga pemimpin bersama Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Encik Didicazli Ismail, mendapati saiz yang lebih kecil itu memudahkan pembaca membawa dan meneliti akhbar di mana-mana sahaja, tatkala dalam pengangkutan awam atau di tempat yang sesak.

“Ia memberi kesenangan untuk saya, sebagai seorang pembaca di tempat yang sesak seperti di MRT ataupun di dalam bas, kerana ia mudah untuk dibelek, dipegang dan dibawa ke mana-mana.

“(Ini) berbanding dengan edisi sedia ada, apabila ada kalanya kita memerlukan meja untuk meletak dan membukanya,” kongsi beliau.

Pandangan itu dikongsi susulan pengumuman Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, semasa majlis Anugerah Jauhari 2025 di Hotel Four Seasons pada 7 November bahawa akhbar tersebut akan beralih ke format kompak pada suku pertama 2026.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan transformasi menyeluruh selama lebih dua tahun untuk mengukuhkan penglibatan pembaca di wadah cetak dan digital, kata beliau.

Anugerah Jauhari 2025 anjuran BH itu disokong oleh OCBC sebagai penaja utama, di samping tajaan bersama penaja lain, MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises, dan NETS.

Selain itu, Encik Didicazli berpendapat format kompak itu boleh memperbaharui minatnya terhadap edisi cetak BH memandangkan beliau lazimnya membaca kandungan akhbar tersebut secara digital.

“Selama ini, saya membaca kira-kira 90 peratus (kandungan) BH melalui wadah digital kerana saiz akhbar cetak yang besar agak kurang praktikal.

“Namun, dengan adanya edisi kompak fizikal ini, saya menjangkakan akan lebih banyak membaca versi cetak,” jelasnya, yang turut memberitahu beliau lebih gemar memegang bahan bacaan.

Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, menyifatkan susun atur muka surat edisi kompak itu lebih menarik dan tertumpu, menjadikan pembacaan keseluruhan akhbar lebih mudah diikuti.

“Ciri menarik lain ialah setiap artikel yang hendak diutarakan kini lebih tertumpu dalam satu muka surat, dan ia menarik perhatian orang untuk membaca akhbar tersebut,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai transformasi BH, Ustaz Fathurrahman menganggapnya sesuatu yang “sangat baik dan diperlukan pada masa ini”.

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi data, Parrot Social, Cik Hamidah Aidillah, mendapati pembaharuan BH ke format kompak membuka ruang bagi pendekatan yang lebih segar dan santai dalam menyampaikan berita kepada pembaca.

“Format yang santai sebegini mungkin dapat menarik pembaca yang baru, termasuk golongan karyawan dan mereka yang lebih muda,” jelas beliau.

“Ia juga harapan saya agar BH dapat menarik pembaca baru, yang mungkin tidak pernah terdetik di hati mereka untuk membacanya, dan dengan pembaharuan ini, lebih ramai dapat membaca dan memahaminya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, peguam yang juga pemilik firma guaman A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip, menolak tanggapan bahawa saiz lebih kecil akan menjejas kebolehpercayaan akhbar.

“Ada yang menyatakan format ini tidak sesuai kerana nampak kurang serius dan sebagainya. Namun, ada yang berpendapat memang masanya untuk memperkenalkan format sedemikian.

“Kedua-dua pandangan itu ada hujah masing-masing, namun saya rasa untuk mendapatkan dan menarik lagi ramai pembaca, langkah ini amat baik,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg