Buku cerita kanak-kanak Perlumbaan ke Bali, karya sulung Mahani Ahmad, atau lebih dikenali dengan nama penanya, cintaHany, menyampaikan kisah perlumbaan tiga kapal yang sarat dengan nilai kasih sayang dan warisan budaya.
Ditulis oleh seorang guru prasekolah berusia 42 tahun yang juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan dan model, buku itu bukan sekadar cerita pengembaraan biasa.
Ia membawa mesej mendalam tentang semangat keluarga, keselamatan dan erti persahabatan sejati.
Mengisahkan Feri, Yatzi dan Plazi – tiga kapal yang berlumba untuk menghadiahkan kompas emas kepada ibu mereka yang dirindui – buku itu mengajak pembaca menerokai keindahan pelayaran ke Bali dan cabaran yang dihadapi sepanjang perjalanan itu.
Dalam pelayaran tersebut, mereka sempat menziarahi datuk mereka, sebuah kapal pesara yang pernah membawa rempah-ratus satu ketika dahulu.
Menurut Mahani, yang mesra dipanggil Hany, inspirasi cerita itu datang daripada kenangan bersama arwah ibu dan datuknya.
“Saya terinspirasi daripada pengalaman arwah datuk berlumba di lautan kampung, serta kenangan bersama ibu yang sakit tenat pada 2021,” katanya.
“Cerita ini juga tercetus daripada imaginasi saya menerokai keindahan pulau Bali,” jelasnya.
Antara mesej utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah kepentingan menjaga keselamatan walaupun dalam keseronokan, bersikap rendah hati, menerima nasihat serta saling membantu.
Buku itu juga memperkenalkan rempah-ratus tradisional seperti cengkih, kayu manis dan buah pala – satu bentuk didikan kepada anak-anak tentang warisan budaya yang semakin dilupakan.
“Rempah seperti cili memang dikenali anak-anak, tetapi ramai yang belum tahu tentang bunga cengkih atau buah pala.
“Ini usaha kecil saya untuk mendekatkan mereka dengan budaya kita melalui cerita,” tambah Mahani.
Beliau turut menekankan konsep ‘buah tangan’ dalam cerita ini – simbolik kepada kompas emas – sebagai tanda kasih sayang yang tidak semestinya mahal, tetapi ikhlas.
Penulisan buku tersebut, menurut Mahani, bermula dengan idea utama yang ingin disampaikan kepada kanak-kanak secara menyeronokkan dan mudah difahami.
“Saya suka membayangkan cerita ini dalam bentuk animasi.
“Saya bayangkan anak-anak yang suka berlumba dan bagaimana ia boleh dijadikan pengajaran tentang keselamatan dan sikap baik,” katanya.
Sebagai penulis baru, Mahani mengakui cabaran menulis di Singapura bukan sedikit.
“Saya bukan penulis mapan. Kekangan masa sebagai ibu dan guru, serta kos dan sokongan untuk penulis tempatan dalam bahasa Melayu menjadi antara halangan utama,” kata ibu dua anak, berusia sembilan dan 11 tahun itu.
Namun begitu, beliau tetap bersemangat dan berpegang kepada matlamat asal – menyampaikan mesej dan nilai melalui suara dan pengalaman sendiri.
“Saya menulis kerana saya mahu tinggalkan sesuatu yang bermakna.
“Jika dapat menyentuh hati walau seorang pembaca pun, itu sudah cukup besar maknanya buat saya,” luahnya.
Nama pena cintaHany, yang juga digunakan dalam rekaan kemeja-T dan projek kebajikan prasekolah pada 2018, cukup sinonim dengan Mahani, terutama dalam kalangan pelajarnya dan masyarakat media sosial.
Lebih manis, suaminya, Encik Imran Moosa, turut menghasilkan sebuah lagu berjudul, Cinta Hany, sebagai penghargaan kepada nama pena tersebut.
Mahani berharap, Perlumbaan ke Bali, bukan sahaja dapat menyemai nilai murni dalam diri anak-anak, malah menjadi batu loncatan untuk menghasilkan lebih banyak karya pada masa hadapan.
“Saya berharap dapat kembangkan cerita ini ke bentuk animasi atau video interaktif yang lebih menarik minat generasi muda,” katanya penuh yakin.
Bagi pembacanya, Mahani berpesan:
“Hidup seperti perlumbaan ke hadapan, namun setiap langkah ada akibatnya.
“Warisan dan teladan yang baik akan terus meninggalkan jejak abadi. Semoga karya saya memberi inspirasi kepada anda semua.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg