Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penulis cabar takrifan hitam putih manusia dalam novel ‘Kaisar’

Mustaqim Jiwa ambil masa setahun bangun ilham novel fantasi, romantik dengan unsur rohani
Jun 16, 2025 | 5:30 AM
Mustaqim Jiwa, Kaisar, Nukilan Biruni
Penulis dan pengarah kreatif di Nukilan Biruni Publication, Mustaqim Jiwa, menerima Anugerah Buku Sastera Mabopa 2023, bagi buku puisi beliau, ‘Teruntuk Langit yang Bercanda’. - Foto ihsan MUSTAQIM JIWA

Selepas hampir sedekad bergiat aktif dalam penulisan puisi dan buku pemulihan diri, penulis Singapura, Mustaqim Jiwa, yang lebih dikenali dengan nama penanya, Jiwa, kini tampil dengan karya terkininya, novel sulung dalam genre fantasi romantik berciri Islam.

Kaisar, yang mula diterbitkan pada 1 Mei 2025, mengisahkan pertembungan dua jiwa dari dunia yang bertentangan – seorang tenggelam dalam kegelapan, manakala seorang lagi lahir dalam cahaya dan nilai-nilai agama.

Pertemuan antara mereka mencetuskan konflik, drama dan pertembungan nilai yang penuh emosi dan simbolisme.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Mustaqim, 29 tahun, berkata ilham novel Kaisar datang daripada rasa ingin mencipta sesuatu yang belum banyak diteroka dalam penulisan Melayu.

“Saya memang minat dengan filem mafia seperti, The Godfather, dan saya tertanya-tanya mengapa tiada lagi novel mafia yang digarap dari sudut Islami?” katanya.

“Saya mahu gabungkan tiga genre – fantasi, romantik dan Islam – dalam satu naratif. Bukan mudah, tapi itulah cabarannya,” tambah beliau.

Menurut Mustaqim, Kaisar mengambil masa lebih setahun untuk melalui proses pencetusan idea, sebelum beliau menghasilkan novelnya itu dalam masa empat bulan.

Cabaran utama baginya ialah memastikan kesinambungan plot dan konflik dapat dikembangkan tanpa wujud lopong pada jalan ceritanya.

Beliau turut menekankan bahawa antara mesej yang ingin disampaikan dalam novelnya adalah dunia tidak harus dilihat dari sudut hitam dan putih semata-mata.

“Kita sering cepat menilai orang hanya berdasarkan permukaan. Tapi manusia itu penuh lapisan. Kaisar mahu mencabar persepsi ini. Bahawa yang lahir dari gelap tidak semestinya jahat, dan yang hidup dalam cahaya tidak semestinya suci,” katanya.

Menariknya, Mustaqim pernah dikenali dengan nama pena Serban Putih ketika mula menulis pada 2015.

Ketika itu, beliau lebih dikenali sebagai penulis karya berunsur kerohanian.

Namun pada 2018, beliau memperkenalkan identiti barunya, Jiwa, bagi membawakan gaya penulisan yang lebih ringan dan merentas genre.

“Nama pena memainkan peranan dalam membentuk persepsi pembaca.

“Nama ‘Jiwa’ lebih sesuai untuk karya bersifat naratif dan puitis, berbanding ‘Serban Putih’ yang lebih berat dan bernada keagamaan,” tambah Mustaqim, yang merupakan anak penyair Singapura, Ahmad Md Tahir.

Latar belakang Mustaqim dalam bidang perfileman turut mewarnai cara beliau bercerita.

Beliau merupakan lulusan perfileman daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Ang Mo Kio (kini ITE Kolej Central), dan mengakui pendekatan sinematik banyak mempengaruhi struktur dan gaya penceritaannya.

“Filem mengajar saya bagaimana membina babak dengan visual dan ritma. Saya tidak mahu hanya menulis, tetapi mahu pembaca melihat apa yang saya tulis,” katanya.

Mustaqim juga merupakan Pengarah Kreatif di syarikat penerbitannya sendiri yang ditubuhkan pada 2019, Nukilan Biruni Publication, yang diasaskannya bersama isterinya, Aishah Manan, yang merupakan Pengarah Urusan syarikat tersebut.

Di bawah jenama itu, mereka telah menerbitkan beberapa karya terkenal termasuk, Tulisan oleh Daiyan Trisha dan Rumah Untuk Alie oleh Lenn Lui.

Salah satu kejayaan awal Mustaqim ialah buku puisinya, Teruntuk Langit Yang Bercanda, yang terjual sebanyak 2,000 naskhah pada hari pertama pelancarannya pada 2020 – di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Buku itu juga memenangi Anugerah Buku Sastera Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) 2023 dan menjadi titik tolak beliau bergelar penulis sepenuh masa.

Ditanya tentang harapan beliau sebagai penulis, Mustaqim berkata beliau kini lebih menumpukan perhatian kepada keseimbangan antara karya bermutu dengan buku yang boleh diakses serta dijual.

“Ada buku yang bagus tapi tidak boleh dijual.

“Ada juga buku yang laku tetapi tidak memberi manfaat. Saya mahu cipta karya yang ada nilai, ada isi, tetapi tetap relevan dan dekat dengan masyarakat,” ujarnya.

Novel Kaisar, terbitan Nukilan Biruni Publication, kini boleh didapati menerusi laman rasmi mereka di pautan, www.nukilanbiruni.com.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg