Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Cerpen

Hajmi mencari Hijrah

Aug 20, 2023 | 05:30 AM



NAZARIAH NASIR


Dalam perjalananku dari Rome ke Singapura tanpa henti mengambil masa kira-kira dua belas jam. Jenuh dan lenguh. Kaki mula semut-semut! Duduk, bangun dan tidur semula. Terjaga semula bangun lalu makan dan selepas itu pergi ke tandas! Sungguh membosankan dan terlalu lama kurasakan penerbanganku kali ini.

Aku sempat terlena dan dalam lenaku mindaku berligar-ligar dengan putaran roda bagaikan tidak tentu arah. Aku cuba mengimbas kembali lima belas tahun lamanya aku bermastautin di negara Italy kerana aku ingin menjadi pelukis yang tersohor di dunia seperti Leonardo da Vinci, Raffaelo Sanzio, Vincent Van Gogh dan Oscar-Claude Monet. Itulah nama-nama penukis yang terhebat di dunia!

Aku banyak menghabiskan masa untuk membaca tentang mereka dan cita-citaku ingin menjadi seperti mereka. Akhirnya, aku berjaya menjadi seorang pelukis di kota Italy. Bezanya, aku dari Singapura dan namaku Hajmi Bin Hazrin tetapi Leonardo da Vinci siapa yang tidak kenal? Beliaulah salah seorang pelukis yang dianggap paling hebat yang pernah hidup di dunia ini. Malah, beberapa karya beliau yang paling ikonik dan banyak telah direproduksi dalam sejarah seni. Selain unggul dalam bidang seni, beliau juga memiliki kemampuan dalam bidang anatomi, arkitek, topografi, matematik, geologi, astronomi dan botani. Hebat sungguhkan beliau!

Leonardo dilahirkan pada 1452 di Vinci, Italy. Beliau mula berkecimpung dalam seni lukis dan patung dengan seniman Andrea del Verrocchio pada 1466. Beliau juga pernah mendirikan studio sendiri di Florence pada 1478. Karya-karya yang pernah dibuat oleh Leonardo semasa hidupnya, masih dalam laman Sotheby’s, antara lainnya ialah The Last Supper (1495-1498) dan Mona Lisa (1503-1517). Itulah kehebatan Leonardo da Vinci yang amat aku mengaguminya!

Selain dari Leonardo, aku juga terpegun dengan Seniman Vincent Van Gogh yang dilahirkan di Belanda pada 1853. Van Gogh memulakan kariernya dalam dunia seni sebagai seorang pedagang seni. Beliau seniman yang benar-benar serius melukis pada 1881 dan karya-karya awalnya sebahagian besar adalah tentang kehidupan dan buruh tani yang dibuat dengan muted tones.


Apa yang menariknya, aku terpegun dengan cara beliau yang menggunakan warna palet yang khas. Ketika beliau berpindah ke Paris pada 1886, beliau telah bertemu dengan seniman Émile Bernard dan Paul Gauguin. Dari Paris, Van Gogh berpindah ke Arles yang berada di selatan Perancis.

Di Arles inilah, Van Gogh pernah disebut mencapai puncak artistiknya. Beliau bahkan menghasilkan banyak lukisan dengan tema-tema potret diri, pemandangan, dan bangunan-bangunan kota dengan menggunakan komposisi warna cerah dan ladang gandum di sekitarnya. Aku begitu teruja dengan kehebatan Van Goh dan Leonardo da Vinci!

Kini, setelah lebih lima belas tahun, aku digelar seorang pelukis mungkin belum lagi sehebat mereka namun perjalananku hura-hara dibuatnya. Manakan tidaknya hasil dari penjualan segala lukisanku, aku telah mensia-siakannya dengan berbelanja dengan boros sekali. Aku lupa diriku yang berasal dari orang biasa dan aku bukannya luar biasa! Aku terlupa akan kenikmatan yang telah diberikan Allah.

“Ha, mengapa kau terlupa akan kenikmatan Allah?” tanya satu lembaga hitam yang terpantul dengan tiba-tibanya di hadapan mataku.

“Siapa engkau?” tanyaku ingin tahu.

“Ha…ha…ha…itu tidak penting,” kata lembaga hitam itu lagi.

“Yang penting aku ingin ingatkan kau akan surah Al-Rahman yang mengatakan maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” sungguh tegas sekali kata-kata yang terkeluar dari mulut lembaga hitam itu.

“Aduh, Aku tidak tahu. Aku takut!!!” jeritku.

“Takut? Mengapa sekarang baru kau hendak takut?’” tanya lembaga hitam itu lagi dengan terbuntangnya mata yang berwarna merah menyala bagaikan bola api.

“Yalah, aku takut. Aku tidak pernah pun menghargai dan bersyukur dengan limpah rezeki yang aku dapat beribu-ribu Euro itu. Habis begitu sahaja duit yang aku dapat! Aku suka berjoli dengan perempuan-perempuan yang bukan muhrimku. Aku bergaul dengan bebas tanpa batas! Malah, aku juga suka minum arak dan hampir setiap malam aku akan pergi ke pub-pub di serata Italy. Diriku ini bergelumang dengan dosa dan noda!”

“Baguslah, kalau kau sudah tahu kesilapan kau itu!”

“Aku…aku hilang semuanya dalam sekelip mata! Kerjaya aku musnah akibat Covid-19 dan selama dua tahun, aku cuba perbaiki diriku. Tetapi setelah Covid-19, aku masih tidak sedar lagi malah, sewaktu bulan Ramadan, aku tidak berpuasa kerana pada aku itu tidak penting. Yang penting aku enjoy setiap masa dan aku tidak ikut perintah tuhan dan rasul-Nya.”


“Ha, rasakanlah dan terimalah balasan dunia kau ini!” pekik lembaga hitam itu.

“Eh, mengapa kulit aku bertukar warna hitam legam seperti kulit kau? Kulit aku tidak lagi putih mulus seperti dahulu. Mengapa mataku kabur dan sosok badanku semakin cengkung. Aku bagaikan mayat hidup dan hanya tinggal tulang belulang!”

“Tolonglah aku! Tolonglah aku…tolong!!!” jeritku sekuat hatiku.

Tiba-tiba sahaja, bahuku digoncang seorang pramugari yang menegurku.

“Sir, are you ok? Sir, is there anything I can help you?”


Dengan terpisat-pisat aku mengesek-gesek mataku yang tidak gatal.

“Yes…yes…I’m ok. Thank you,” kataku dengan terketar-ketar.


“Ya Allah, rupa-rupanya aku terlena sebentar tadi. Siapakah lembaga hitam itu? Adakah malaikat atau hanya bayang-bayang khayalan aku sahaja. Sebenarnya, aku masih berasa ketakutan dan gementar. Badanku mula bermandikan peluh!” Aku bermonolog sendirian.

Sekilas aku memikirkan tentang keluargaku yang sudah hancur! Setelah aku berkahwin dengan Andrea Calandra berkecai bagaikan serpihan kaca yang terhempas ke lantai, segala impianku musnah dan ranap! Nasib baiklah aku tidak dikurniakan zuriat, kalau tidak anak-anak aku pasti merana dan hidup mereka akan menjadi melarat. Aku tidak layak dipanggil ayah dan aku juga tidak layak menjadi imam kepada isteriku. Aku bukannya baik pun malah aku sendiri yang menjerumuskan diriku ke lembah yang sehina ini. Aku tidak boleh menjadi khalifah yang baik di dalam keluarga jauh sekali. Aku masih menyambut hari Natal dan tidak peduli dengan ajaran Islam, sehinggakan aku tersungkur jauh di landasan yang tidak ada pegangan agama Islam lagi! Hatiku hancur lebur! Remuk sekali.

Kini, aku bergelar duda. Inilah akibatnya jika berkahwin tanpa restu kededua ibu dan bapa. Setelah lama mengelamun di awang-awangan, kapal terbang yang aku naiki itu pun mendarat di Lapangan Terbang Changi. Aku tidak sabar untuk bertemu dengan keluarga yang telah lama kutinggalkan.

Aku cepat-cpeat mengambil bagasiku setelah diperiksa aku pun keluar dari kastam. Dengan tidak pedulikan orang disekelilingku, aku mula bergegas untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba sahaja, aku terlanggar dengan seorang lelaki barbadan gempal dan memakai jubah putih.

“Allahu. Mengapa terburu-buru ni?” tanya lelaki itu.

“Ma…maaf Encik, saya tidak sengaja!” kataku sambil mengutip pasport dan tiket penerbangan lelaki itu.

“Tidak mengapa,” katanya dengan ringkasnya.

Ketika aku hendak memberikan tiket itu, aku ternampak nama yang tertera di situ. Ammar Arman.

“Ustaz Ammar Arman?” tanyaku dengan gembiranya.

“Ya, saya Ustaz Ammar Arman. Siapa nama awak?’’

“Ustaz tak kenal saya? Saya Hajmi bin Hazrin. Saya murid ustaz dahulu?”

“Ya, Allah sungguh ustaz tidak kenal kamu. Kamu sudah berubah wajah! masya-Allah, manalah ustaz kenal lagi sudah lima belas tahun lamanya,” sambil bersalamam denganku.

Maaf ya Hajmi, ustaz sudah lewat. Ustaz hendak menunaikan haji dan penerbangan ke Jeddah tidak lama lagi! Ini kad ustaz dan Hajmi boleh berhubung dengan ustaz nanti,” kata Ustaz Ammar sambil menghulurkan sekeping kad nama beliau.

“Ya, terima kasih Ustaz Ammar. Insya-Allah, akan saya hubungi ustaz nanti. Saya doakan semoga ustaz mendapat haji yang mabrur,” kataku.

“Amin ya rabbal alamin,” sambut Ustaz Ammar lalu bergegas pergi meninggalkan aku.


Sebulan kemudian, aku bertemu dengan Ustaz Ammar. Aku telah memberitahu beliau apa yang telah terjadi kepada diriku selama ini.

Kata Ustaz Ammar, “Janganlah menyerah hanya kerana satu bab buruk yang terjadi dalam hidupmu. Teruskanlah melangkah. Kisahmu tidak akan berakhir di sini.’’

“Tapi ustaz, saya… saya telah banyak melakukan dosa!”

“Ya, sebagai manusia kita tidak terlepas dari membuat dosa. Bangkitlah dari kesedihan, kerana kesedihan itu adalah proses yang harus dilalui untuk menuju kebahagiaan.”

“Ya, ustaz saya cuba perbaiki diri ini,” kataku sambil mengangguk-anggukkan kepalaku.”

Sambung Ustaz Ammar lagi, “Jika kamu berasa bebanmu lebih berat daripada yang lain, itu kerana Tuhan melihatmu lebih kuat daripada yang lain.”

“Tapi Ustaz, bagaimanakah saya hendak mendapatkan kebahagiaan?”

“Oh, mudah sahaja sebenarnya kunci dari segala kebahagiaan adalah bersyukur. Jika banyak kamu bersyukur, jika sedikit juga kamu bersyukur. Sehingga tidak ada celah bagi kesedihan.”

Aku hanya menunduk malu. Memang selama ini, aku tidak pernah bersyukur dengan segala kemewahan dan kenikmatan yang diberikan kepada diriku selama ini. Betapa kerdil dan daifnya aku ya Allah!

“Tapi ustaz saya tidak yakin boleh mengecapi kebahagiaan itu?”

“Ingat ini ya. Mengeluh hanya akan membuat hidup kita semakin tertekan. Sedangkan bersyukur akan senantiasa membawa kita pada jalan kemudahan. Jangan mengeluhkan masalah, kerana Tuhan mempunyai tujuan untuk perjuanganmu saat ini. Pelajarilah apa yang hendak Tuhan ajarkan kepada kita.”

Sambung Ustaz Ammar lagi, “Ketahuilah bahawa rasa syukur merupakan tingkatan tertinggi, dan ini lebih tinggi daripada kesabaran, ketakutan atau khauf, dan keterpisahan dari dunia (zuhud). Ini dari Imam Al-Ghazali.

“Insya-Allah akan saya ingat pesan ustaz.”

“Hajmi perlu ingat lagi ya, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, namun jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.” – QS. Ibrahim: 7

“Emm…Kehidupan ini indah, tetapi ada jalannya masing-masing, carilah jalan terindah untukmu. Dengan selalu mensyukuri apa yang dijalani setiap hari, tanpa ada rasa penyesalan di dalam hati, itulah jalan kehidupan yang terindah.”

Begitu tuntasnya Ustaz Ammar menerangkan kepadaku tentang makna bersyukur dan kebahagiaan.

Alhamdulillah, di Tanah Haram inilah aku cuba berhijrah demi kebaikan. Aku pasrah dan reda dengan ketentuan-Mu, ya Allah. Setiap hari, aku cuba membaca selembar demi selembar ayat dari surah Al-Quran. Aku merangkak-rangkak membacanya. Air mata jantanku berguguran setiap kali aku cuba untuk membaca satu huruf daripada ayat di dalam Al-Quran. Tanpa kusedari begitu menyentuh hati dan perasaanku.

Tiba-tiba sahaja, empangan kolam air mataku tidak dapat aku tampung lagi lalu berguguran air mutiara jernih mengalir dengan derasnya. Betapa sedihnya dan terharunya aku tidak boleh lagi menahan malu ketika aku berada di hadapan rumah-Mu ya Allah. Alhamdulillah, Kau masih menyayangi diriku dengan memberikan aku peluang untuk bertaubat dan memperbaiki segala kesalahan aku selama ini.

Semoga aku menemui Hijrah yang sebenar-benarnya! Di sini, aku bermohon semoga Kau berikanlah aku kesempatan untuk memperbaiki diriku yang semakin rapuh bagaikan telur di hujung tanduk! Imanku begitu rapuh. Imanku yang dahulu sering melayang-layang bagaikan di tiup angin petang namun aku tidak pasti ke manakah arah tujuan kehidupanku. Kini, Kau kuatkanlah keimananku untuk bertakwa dan semoga aku menjadi seorang Muslim yang sejati dan bermanfaat kepada orang lain. Itulah doa yang aku pohonkan setiap kali aku bermunajat kepada-Mu.

Sesungguhnya, detik ini dan saat ini, aku benar-benar bersyukur kerana Kau telah memberikan aku kesempatan berada di rumah-Mu ini untuk aku mengerjakan umrah. Terima kasih tidak terhingga ya Allah. Rupa-rupanya, inilah kebahagiaan yang aku cari selama ini dan ingin kukecapi. Begitu hebat dan indah sekali aturan-Mu ya Allah. Kini, aku berasa lebih tenang sekarang tentang dengan perjalanan kehidupan aku yang bernama Hajmi mencari Hijrah!

BIODATA PENULIS:


NAZARIAH NASIR minat menulis sejak di bangku sekolah. Beliau pernah memenangi hadiah merit bagi puisi ‘Siapa Diri Ini?’ dalam peraduan ‘Noktah Putih’. Nazariah juga telah menghasilkan dua novel bertajuk ‘Cinta Facebook Cinta Tanpa Suara’ dan ‘Tin’. Lima puisinya pula dimuatkan dalam kumpulan buku ‘Puisi Bebas Melata Menekat Sayang’. Puisi dan cerpen Nazariah juga telah dimuatkan dalam buku ‘Hempedu Di Tasik Madu’ terbitan Asas ’50.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >