Dalam dunia Islam, sanjungan kepada Baginda Rasulullah saw terakam dalam pelbagai bentuk.
Sirah Nabi adalah antara yang terawal merakam riwayat Nabi saw, dengan segala segi perjuangan, pengalaman dan kerahmatan yang dilalui dan dimiliki oleh Nabi Muhammad.
Daripada qasidah Al-Burdah oleh Imam al-Bushiri asal Mesir, karya agung terkarang pada abad 13 Masihi, terlantun indah penghayatan kecintaan kepada Nabi kita, yang terserlah sifat Akhlak Karimahnya:
“Memuliakan al-Mustafa,
menghidupkan hatiku
Segala dosa dan salah diampuni.
Aku berharap hidup bahagia bersamanya
Aku berharap bertemu dengannya
Hingga aku tak lagi berduka kerana dosa.
Dialah sang paripurna
Dialah puncak segala keindahan
Dialah sang kekasih.
Menyebut namanya,
menyembuhkan segala duka lara
manakala ia menyapaku.
Memuliakan dia
makin menambah rinduku kepadanya
Al-Mustafa bagai permata
dan mawar mewangi.”
Karya Burdah ini malah sudah diterjemahkan dalam dunia Melayu semenjak abad ke-16 Masihi, lantas mengingatkan kita betapa pemujian dan pemuliaan kepada Nabi Muhammad saw, menjadi salah satu yang berupa khazanah dalam tradisi keagamaan Islam di rantau ini.
Sebaris daripada Qasidah Burdah dalam versi Melayu klasik yang berbunyi:
“Nabi kami yang menitahkan maaruf juga menitahkan (menafikan) munkar; tiada seorang pun lain daripadanya yang lebih sadik, pada mengatakan tiada dan ada daripada segala katanya.”
Di Nusantara terdapat pelbagai karya lama yang ditulis untuk meriwayatkan kehidupan dan perjalanan Nabi Muhammad saw dalam mendirikan ajaran Islam.
Ada yang berbentuk syair, gurindam dan hikayat.
Antaranya ialah, Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mikraj, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Wafat dan banyak lagi.
Dalam bentuk puisi, Syair Sinar Gemala Sakti dan Syair Kelahiran Nabi Muhammad adalah antara beberapa contoh.
Syair Kelahiran Nabi Muhammad yang tiada diketahui gerangan penulisnya, bercerita tentang Halimah al-Sa’diyyah, yang telah menyusukan Nabi selepas Aminah, ibu Baginda, wafat.
Teks ini ada tercatat nama penyalinnya, Al-Faqir Ahmad Al-Faqir Abdul Rahim, bertanggal 1301 Hijriah (bersamaan 1883).
Ia berkemungkinan asal Terengganu.
Syair ini yang disunting oleh Faizurah Basri, terbitan 2009, melantun, antaranya:
“Nur Muhammad serinya alam
Ialah pelita siang dan malam
Cahayanya rata sekaliannya alam
Dijadikan Allah Tuhannya alam.
Nur Muhammad gugur ke Abdullah
Cahayanya terang segenapnya daerah
Perempuan muda-muda gundah gelabah
Hendaklah menerima nurnya nubuwwah.
Abdul Mutalib diberinya Allah
Mencarikan anaknya Abdullah
Berkira anak Wahab diberinya sudah
Yang bernama Siti Aminah.
Cahaya mukanya Abdullah berseri-seri
Dikurniakan Allah Tuhan Ilahi
Perempuan muda banyak rosak hati
Sebab tidak boleh kehendaknya hati.
Nabi Muhammad jadi di Makkah
Cahayanya terang segenap daerah
Turun malaikat membawanya titah
Sekalian anbiya datang menziarah.”
Dalam Syair ini, beberapa rangkap khas membutirkan peribadi Halimah yang menjadi ibu susuan Nabi:
“Maka Halimah hendak pergi menyusu
Berjalan Halimah terlalulah laju
Halimah pun sampai Nabi beradu
Hati Halimah belas dan sayu.
Maka [Halimah] duduk menilik
Rupanya Nabi elok dan cantik
Putih dan kuning warnanya kulit
Hidungnya mancung keningnya lentik.”
Satu lagi adalah Syair Sinar Gemala Mestika Alam, karya Raja Ali Haji, pada pertengahan abad ke-19.
Syair ini tercantum 111 rangkap, yang terbahagi kepada 8 fasal.
Ia menyingkap dari kelahiran Nabi sampai kepada menerima wahyu dan kemudian memperluaskan panji-panji Islam ke seluruh jazirah Arab.
Puji-pujian dipanjatkan kepada Baginda:
“Sifat kepujian berhimpun kepadanya
Sifat kecelaan jauh daripadanya
Hai segala kamu umatnya
Ikutlah olehmu segala jalannya.
Serta kasih akan dianya
Sukakan olehmu mendengar kisahnya
Apa lagi di bulan mauludnya
Harus dibesarkan itu waktunya.
Seperti makan minum ugahari
Jangan yang berat nyakiti diri
Menzahir kesukaan demikian peri
Kepada ahli al-Islam masyhuri.”
Menyambut Maulid Nabi menjadi adat yang dianjurkan:
“Kerana di beberapa negeri yang besar
Mengerjakan maulud Sayyid al-Basyar
Tiada ada ulama yang ingkar
Kerana adat hasanah yang benar.”
Seperti mana umat Islam yang sering mengharapkan syafaat Nabi pada Hari Kiamat:
“Ayuhai Nabi Rasul yang mulia
Harapkan syafaat kita akan dia
Padang Mahsyar berhimpun manusia
Menghakimkan kita Tuhan yang kaya.
Ayuhai Nabi Junjunganku
Tiada lain pengharapan aku
Hanyalah tuan mahkotaku
Melepaskan daripada kejahatan aku.
Ayuhai Nabi kami Muhammad
Tuan hambalah Nabi kasihkan umat
Syafaatkan kami Hari Kiamat
Daripada huru-haru yang amat azmat.”
Dalam tradisi Turkey, memperingati Nabi Muhammad terakam dalam tradisi yang dipanggil Hilya, di mana naskhah hiasan diperbuat untuk mengenang dan memuliakan Nabi Muhammad.
Deskripsi tentang Nabi dikhatkan dalam naskhah yang dibuat cantik, dengan niat merakam kerinduan dan keterkaguman umat kepada Baginda Nabi.
Antara yang tertera dalam naskhah sebegini menyebut Nabi sebagai pembawa rahmat sarwa sekalian alam.
Dalam dunia Melayu, terdapat juga beberapa teks prosa yang memberi sekilas gambaran tentang peribadi Nabi.
Dalam Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Nabi Muhammad digambarkan mempunyai segala kecantikan dan kesempurnaan dengan “putih amat bercahaya seperti bintang timur dan hidung mancung gilang-gemilang”.
Kesempurnaan Baginda juga terungkap daripada Siti Khadijah dalam teks tersebut:
“Merdu suaranya, baik senyuman, jinjang lehernya, luas dadanya, putih kulit tubuhnya, harum bau peluhnya, tiada pada tubuhnya bulu roma sehelai pun. Tinggi orangnya kerana apabila baginda berdiri dengan orang kebanyakan, tiada yang lebih tinggi daripada Baginda. Jika ia duduk barang di mana, maka tiga hari lekatlah baunya”.
Dalam Hikayat Nabi Mikraj, selain dimulakan dengan nasab Nabi, juga dibayang peri kesempurnaan Baginda:
“Penghulu kita Muhammad Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang anak Abdullah, yang anak Abdul Mutalib, yang anak Hasyim, yang anak Abdul Manaf dan ibunya itu Aminah dan diperanakkan di dalam negeri Makkah yang masyrifah. Kemudian ia berpindah ke negeri Madinah, maka lalu ia wafat di Madinah, dan ialah yang disuruhkan Allah Subhanahu wa Taala dan kepada segala makhluk akan mengajarkan agama Islam; dan warnanya putih kuning gemilang cahayanya, lagi elok rupanya, lagi halim dan rahim akan segala umatnya, lagi pun berperangai yang amat lemah lembut, lagi kasih dan sayang kepada segala manusia. Dan ialah Nabi akhir zaman, Nabi Ba’dah, dan agamanya itulah kekal hingga Hari Kiamat…”
Rata-rata karya begini digunakan dalam proses Islamisasi di rantau ini.
Daripada penceritaan berbentuk hikayat dan syair, naratif tentang peribadi dan risalah (taraf kerasulan) Nabi diperkenalkan.
Walaupun ada beberapa tempat sisi yang fantastis (mengadun dunia nyata dengan khayalan) terjelma, ia sebenarnya bertujuan menekankan kebesaran dan kemuliaan Nabi Besar kita.
Pemerhatian oleh Ismail Hamid, sarjana yang banyak mengkaji hikayat yang berasal daripada tradisi Islam, menyimpulkan dengan tuntas berkenaan karya-karya yang bersangkutan dengan riwayat tentang Nabi kita:
“Terdapat segolongan pendakwah Islam yang menggunakan saluran penceritaannya untuk menyiarkan seruan Islam. Mereka menuturkan cerita-cerita mengenai Nabi Muhammad dengan tujuan untuk menggambarkan tentang pelaksanaan ajaran Islam seperti yang dipraktikkan oleh Nabi sendiri, atau contoh perjuangannya untuk menjadi model dan ikutan umat Islam. Cerita-cerita mengenai Nabi Muhammad itu telah digubah oleh mereka untuk menarik perhatian pendengar dan memainkan emosi mereka.”
Hari ini, Sirah Nabi masih terus ditulis dan dibicara.
Usaha M. Quraish Shihab pada 2011, yang menghasilkan Membaca Sirah Nabi Muhammad, suatu sumbangan yang berharga.
Begitu juga buku kecil yang disusun baik oleh KH Husein Muhammad yang berjudul Merayakan Hari-Hari Indah Bersama Nabi (2017).
Malah Quraish Shihab akur bahawa membicara Sirah atau perihal Nabi, ia tidak akan pernah tersempurna selesai, kerana kebesaran Baginda tiada mungkin tergarap, dihurai dan dikupas.
Pantaslah pula Quraish Shihab mengutip daripada Burdah daripada Imam Al-Bushiri: “Batas pengetahuan kita tentang beliau hanyalah bahawa beliau adalah manusia. Dan bahwa beliau adalah sebaik-baik makhluk Allah seluruhnya.”
Mendalami riwayat Junjungan Besar adalah suatu hikmah besar yang akan diperoleh bagi mereka yang sedia menekuni dan mencari.
Seyogia ditemukan anak kunci keperibadian Nabi Muhammad, seumpama peribadi Baginda yang:
“Bagai istana yang kukuh. Kendati anda memiliki kunci untuk masuk ke dalam istana itu, tetapi kamar-kamarnya tetap tertutup. Bila anda beruntung memiliki satu anak kunci ruangannya, anda menemukan lagi kamar-kamar lain yang tertutup dan membutuhkan anak-anak kunci yang lain pula, bahkan bisa jadi dalam kamar yang anda telah buka ditemukan juga ruangan-ruangan terkunci yang memerlukan juga anak-anak kunci.”
Mohammed Hussein Heikal, penulis tersohor Mesir yang pernah menulis Riwayat Nabi Muhammad (1933), menyimpulkan hayat Baginda Nabi yang:
“Memiliki sesuatu kekuatan yang dapat mengangkat manusia ke puncak ruh, yang di sana ada kehidupan terdiri atas persaudaraan dan cinta, dan keinginan keras untuk memahami hakikat segala hal yang ada di dunia ini.”
Khalid Muhammad Khalid, yang menulis buku Insaniyah Muhammad, (diterjemah ke dalam bahasa Melayu, Kemanusiaan Muhammad, 1994), dalam buku ini mencirikan keperibadian Baginda yang: “Rahmat adalah jiwanya”; “Keadilan adalah syariatnya”; “Kasih sayang adalah fitrahnya”;“Keluhuran budi adalah amalnya”; dan “Derita manusia adalah kebaktian ibadatnya.”
Perkara yang terakhir ini menarik kerana Baginda memberi teladan agar hidup kita mesti sedia menolong yang memerlukan.
Baginda memikirkan urusan manusia dan berusaha menyelesaikannya dengan sebaiknya, kerana ikhtiar itu adalah suatu ibadat yang mendekatkan diri manusia kepada Tuhan.
Baginda menyerukan umatnya agar:
“Bahu-membahu, tolong-menolong dengan seruan yang tidak henti-hentinya dan menjunjung setiap pertolongan kepada masyarakat ke puncak yang tinggi di antara amal-amal yang soleh… Insan yang sebenar-benarnya adalah yang menjadi penolong dan pembela atas sesamanya, dan itulah Mukmin sejati.”
Nabi Muhammad mengajar umatnya mencapai tingkat insaniah yang tertinggi, yang peduli, sedia berbakti dan menyantuni.
Pernah ditanyakan kepada Baginda bagaimana kita mengamalkan amalan sedekah pada saat kita tidak berpunya.
Baginda menjelaskan banyak jalan untuk bersedekah selain wang ringgit.
Diserukan Baginda: “[Apabila] engkau menyingkirkan rintangan di jalan yang mengganggu pejalan, mendengarkan (memberi pengertian) kepada yang tuli, menuntun orang buta, memberi petunjuk kepada orang sesuai dengan hajatnya, berusaha dengan melangkahkan kaki sekuat tenaga guna memberi pertolongan, mengangkat kedua tangan terhadap si lemah yang memerlukan. Kesemuanya ini adalah sedekah daripadamu dan untuk dirimu”.
Itulah hikayat insaniah yang paling terpuji, dan Baginda telah memberikan contoh dan seruan sempurna untuk kita teladani.
Semoga dengan tanggal keramat 12 Rabiulawal yang jatuh pada hari keputeraan Nabi Besar kita, dapatlah kita terus diteguhkan dengan nilai, amal dan semangat untuk meneladani keperibadian unggul Baginda.
Dapatlah ia menjadikan kita umat yang boleh membawa rahmat kepada kesejahteraan dunia, sebagaimana Penghulu Besar kita Nabi Muhammad saw ialah pembawa Rahmat untuk sekalian alam sepanjang masa.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg