Sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60) pada 9 Ogos 2025 begitu hebat hingga menjadi buah bibir, atau perkara yang menjadi perbualan ramai, di seluruh negara hingga beberapa hari selepasnya.
Ramai mengatakan ia antara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) terbaik.
Tidak kurang rakyat Singapura mengujar bahawa menonton sambutan itu menimbulkan rasa bangga terhadap ibu pertiwi, iaitu tanah tumpah darah atau tanah air sendiri, mereka.
Terpampang di pelbagai skrin wajah seorang penonton di Padang, tempat sambutan itu berlangsung, menangis apabila lagu kebangsaan Majulah Singapura berkumandang dan turut dinyanyikan hadirin.
Malah, ada penonton di rumah mengaku ia menguatkan semangat keSingapuraan mereka hingga mereka menangis dan turut berdiri menyeru Majulah Singapura.
Menjadi rakyat sebuah pulau sekangkang kera, iaitu sangat sempit, tidak luas, yang dipaksa merdeka walau belum bersedia hingga dibimbangi akan gagal tetapi akhirnya berjaya hingga dikagumi dunia, patut disyukuri.
Perubahan hidup daripada serba kekurangan kepada serba ada dan cukup, bak kata peribahasa sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut, yang bermaksud daripada sedikit menjadi banyak, harus membuat diri berasa bertuah.
Hidup merdeka selama 60 tahun dalam keadaan aman, tenteram dan senang berterusan adalah satu pencapaian besar.
Oleh itu, menyambut SG60 secara gah bukan perbuatan air setitik dilautkan, tanah sekepal dipergunungkan, iaitu memperbesar perkara kecil. Tetapi, ia tanda kesyukuran.
Namun, dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan yang menghasilkan pencapaian membanggakan itu, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong tidak menggunakan bahasa muluk, iaitu bahasa indah melampau, penuh dengan pujian melangit, dan berlebih-lebihan daripada perkara sebenar, dalam amanat Hari Kebangsaan beliau.
Dalam bergembira merai kejayaan hebat itu, beliau mengajak juga rakyat supaya berpijak di bumi nyata, iaitu berpegang pada hakikat dalam kehidupan, sentiasa berpandangan realistik dan berwaspada terhadap kemungkinan yang berlaku.
Keadaan dunia sekarang lebih teruk, kata Encik Wong.
“Konflik baru telah tercetus. Ketegangan geopolitik semakin mendalam. Halangan kepada perdagangan semakin keras. Dan sentimen perlindungan semakin teruk.
“Cakap berterus-terang: Keadaan politik dunia yang membolehkan Singapura berkembang maju selama beberapa dekad sedang terungkai di depan mata kita.”
Kuasa-kuasa besar dunia, dengan sumber yang lebih banyak dan populasi besar, sekarang lebih bersedia menggunakan setiap alat yang ada pada mereka – ekonomi, teknologi dan geopolitik – agar berpihak kepada mereka, tambah beliau.
“Ini akan menyukarkan negeri-negeri kecil seperti Singapura mengekalkan keadaan kita dan mempertahankan diri kita.”
Ia bak kata pepatah, durian dengan mentimun, menggolek rosak, kena golek binasa, yang bermaksud orang yang lemah selalu berugi (menanggung rugi) kerana tidak berdaya melawan orang yang berkuasa.
Encik Wong juga berkata Singapura sekarang mesti mengemudi dunia yang lebih bertelagah dan tidak menentu ini dengan caranya sendiri.
Ia sepatah kata pepatah tak kaya oleh emas pembawa, tak gadis oleh kain berselang.
Maksudnya, hendaklah berusaha sendiri untuk mencapai kemuliaan dalam hidup dan janganlah mengharapkan bantuan orang.
Tetapi jauhari mengatakan, kecil-kecil beliung, tumbang juga kempas yang besar, yang bermaksud orang kecil dapat juga mengalahkan orang besar (beliung sejenis kapak yang matanya melintang, sementara kempas sejenis pohon kayu besar dan keras).
Mereka juga menekankan, tak gerun beliung memandang kampas besar tersergam tinggi, yang bermaksud orang yang kecil tetapi pintar tidak takut akan lawan yang besar.
Untuk berjaya, rakyat negara kecil harus mengikuti nasihat leluhur, atau nenek moyang yang dipelajari dari kecil: bersatu teguh, bercerai roboh – persefahaman dalam sesebuah masyarakat dapat membuahkan kejayaan manakala perbalahan akan menyebabkan perpecahan.
Leluhur juga berkata kayu yang banyak akarnya tak takutkan ribut, yang bermaksud orang yang banyak kawan tidak takut akan susah.
Tepatlah Encik Wong berpesan: “Sebagai sebuah negara kecil, kita tidak mampu berpecah-belah. Perpaduan kita sentiasa menjadi sumber kekuatan kita. Apabila kita bersatu, tiada apa yang tidak dapat kita atasi.”
Rakyat Singapura yang berbilang kaum – Cina, Melayu, India dan yang lain – sudah ditakdirkan hidup bersama di pulau kecil ini, jadi daripada berbalah, lebih baik bersatu dan bekerjasama memikirkan cara membaiki hidup setiap kaum dan berusaha mencapai kemajuan bersama.
Daripada menyeru ‘orang Cina harus bersatu padu’, ‘orang Melayu harus bersatu padu’, atau ‘orang India harus bersatu padu’, lebih berfaedah mengajak semua rakyat negara ini bersatu padu demi masa depan bersama.
Hukum sejarah, iaitu ketentuan sejarah, telah menetapkan masyarakat berlainan kaum hidup di negara ini, dan semua kaum dalam situasi secubit tiada dapat menjadi segenggam, iaitu tidak dapat mengubah takdir yang telah ditetapkan.
Tiada gunanya merintih ‘ini dulu Tanah Melayu’ hingga berselisih dan benci-membenci sedangkan semua rakyat adalah saudara setanah air.
Peribahasa mengatakan, kata seorang dibulati, kata bersama diperiakan.
Maksudnya, hal seseorang boleh diputuskan dengan orang itu sendiri tetapi perkara bersama hendaklah dirundingkan.
Jauhari berkata buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat.
Ia bermaksud segala masalah dapat diselesaikan apabila kedua-dua pihak bersedia berunding atau bermesyuarat.
Ini bermakna jauh lebih berfaedah jika semua rakyat Singapura berunding dan muafakat daripada melaungkan retorik perkauman.
Tentang orang yang menjaja sejarah silam untuk mengapi-apikan, iaitu menghasut, dan mengganggu-gugat, ibaratkan mereka sebagai musang, yang sebagaimana kata peribahasa, bagai ayam senang dalam reban, musang yang susah beredar keliling, iaitu dengki, tidak suka melihat orang lain senang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg