Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jaga hati, jaga mulut, ambil hati dan beralas...

Ungkapan ‘Jiran Sekuku’ gambarkan jalinan jiran atau masyarakat yang begitu akrab
Jul 13, 2025 | 5:30 AM
Untuk mencapai peringkat ‘jiran sekuku’ atau masyarakat bersatu padu, dengan anggotanya mempunyai jalinan bagai hempedu lekat di hati, iaitu perhubungan sangat rapat dan akrab, setiap ahli, daripada semua bangsa dan lapisan masyarakat, mesti bersungguh-sungguh menjaga hati satu sama lain.
Untuk mencapai peringkat ‘jiran sekuku’ atau masyarakat bersatu padu, dengan anggotanya mempunyai jalinan bagai hempedu lekat di hati, iaitu perhubungan sangat rapat dan akrab, setiap ahli, daripada semua bangsa dan lapisan masyarakat, mesti bersungguh-sungguh menjaga hati satu sama lain. - Foto fail

Dalam adat tradisional Melayu, peringkat bertetangga atau bermasyarakat paling tinggi ialah ‘Jiran Sekuku’. Ciri-cirinya diungkap begini:

Pertama Jiran Sekuku

Bagai kuku dengan daging

Bagai sedarah seibu sebapa

Kurang beri-memberi

Lebih tambah-menambah.

Bagai kuku dengan daging bermaksud sangat erat, atau karib, perhubungan atau persahabatan (tidak berenggang atau bercerai).

Ungkapan itu menggambarkan jalinan jiran atau masyarakat yang begitu akrab ibarat adik-beradik yang saling mengambil berat dan bantu-membantu.

Jalinan peduli akan keadaan tetangga dan orang lain, bukan hidup menghadapi jambar seorang-seorang, iaitu tidak menghiraukan hal ehwal orang lain (‘jambar’ bermakna hidangan).

Pun bukan jalinan seperti lotong meniti batang kayu, yang bermaksud tidak peduli keadaan di sekelilingnya (‘lotong’ adalah kera berekor panjang).

Tidak juga beraja di hati, bersultan di mata, iaitu menuruti kehendak hati sendiri.

Ia menggambarkan juga jalinan seutas rotan ditarik; bergegar hutan belukar riuh bunyi kera dan lotong, iaitu jika seseorang anggota mendapat aniaya, maka marahlah sekelian kaum keluarganya dan sekelian sahabat handainya.

Ciri-ciri ‘jiran sekuku’ itu sejajar dengan masyarakat bersatu padu yang disentuh Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, baru-baru ini.

Beliau berkata dalam masyarakat bersatu padu, anggotanya memahami kesan kata-kata mereka dan bertanggungjawab terhadap apa yang mereka katakan secara terbuka, termasuk di ruang dalam talian.

Ini maksudnya menjaga hati, iaitu menjaga perasaan (orang lain) supaya tidak tersinggung.

Untuk mencapai peringkat jiran sekuku atau masyarakat bersatu padu, dengan anggotanya mempunyai jalinan bagai hempedu lekat di hati, iaitu perhubungan sangat rapat dan akrab, setiap ahli, daripada semua bangsa dan lapisan masyarakat, mesti bersungguh-sungguh menjaga hati satu sama lain.

Ia menuntut setiap anggota berpegang pada prinsip jangan sampai sesat barat, sepuluh kali diukur, sekali dikerat, iaitu suatu pekerjaan atau perkara hendaklah diperiksa secara teliti mengenai baik buruknya sebelum dikerjakan atau diperkata, agar tidak menimbulkan kesan tidak baik bukan pada diri sendiri sahaja, malah orang lain, serta hubungan tetangga dan masyarakat.

“Kadang-kadang ini bermakna mengorbankan keinginan kita untuk bebas bercakap apa sahaja yang kita mahu mengenai apa saja perkara pada bila-bila masa dan keadaan, demi mengambil peduli tentang kesan kata-kata kita ke atas orang di sebelah kita,” ujar Encik Tong.

Begitulah orang tua-tua dulu.

Umpamanya, dek tidak mahu menyakitkan hati jiran, mereka berat hati, yang bermaksud tidak sampai hati, membeli atau memakan durian kerana bimbang baunya terhidu jiran tidak berkemampuan.

Mereka menyepitkan lidah ke lantai, iaitu menahan nafsu dan kehendak, agar tidak mengguris hati tetangga dalam kekurangan.

Ada kalanya mereka terkalang di mata, terasa di hati, yang bermaksud tergerak hati hendak mengetengahkan buah fikiran dan lain-lain, tetapi menahan diri atau menunggu masa dan keadaan lebih sesuai untuk bersuara demi memelihara hubungan baik.

Jika mengatakan juga apa yang tersirat di hati, mereka beralas, iaitu berhati-hati menggunakan kata-kata supaya tidak menyinggung perasaan.

Jiran sekuku berpendirian lebih baik ambil hati, yang bermaksud menyenangkan hati seseorang, dengan mengatakan yang baik-baik atau berdiam, daripada bersuara pada masa atau keadaan tidak sesuai hingga merosakkan hubungan.

Pada masa sama, jiran sekuku tidak mudah ambil hati, iaitu berasa tersinggung. Mereka tidak rapuh hati, iaitu mudah tersinggung, umpamanya, apabila anak mereka dimarahi tetangga atau orang lebih tua dengan tujuan mendidik.

Pada anak-anak, ibu bapa bijaksana berpesan supaya jaga mulut, yang bermaksud berhati-hati apabila bercakap, dan bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam mendengar-dengar, iaitu berhati-hatilah apabila memperkatakan sesuatu hal.

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa, iaitu percakapan yang kasar kerap kali mencelakakan diri sendiri, nasihat mereka.

Dengan pelbagai kaedah dan teknologi komunikasi hari ini, jaga mulut termasuklah menjaga jari-jemari apabila menari-nari di bebutang papan kekunci.

Pesan orang tua-tua dan Encik Tong itu – jaga hati, jaga mulut, ambil hati, dan beralas – amat berguna lebih-lebih lagi dalam era media sosial sekarang.

Dek boleh disertai ramai orang dan sesiapa sahaja – dan mereka bebas hampir sepenuhnya bersuara, memberi pendapat, menyampaikan pandangan, dan mengkritik secara terbuka, dan kerap juga dengan merahsiakan diri – ruang dalam talian menimbulkan risiko tinggi silap cakap, salah langkah, dan terlanjur tindakan.

Jauhari menasihati, silap cakap kena radak, hilang jiwa percuma saja. Ia bermaksud memperkatakan sesuatu perkara hendaklah hati-hati benar kerana buruk padahnya (‘radak’ bermakna tikam atau tusuk).

Mereka juga berpesan, fikir itu pelita hati, iaitu fikiran suluh kebenaran. Ia juga bermaksud menggunakan akal budi dan mempertimbangkan segala sesuatu dengan baik menjadikan seseorang lebih bijaksana.

“Dengan pelbagai kaedah dan teknologi komunikasi hari ini, jaga mulut termasuklah menjaga jari-jemari apabila menari-nari di bebutang papan kekunci.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg