Pada April, Lapangan Terbang Changi dinamakan oleh perunding penerbangan berpangkalan di London Skytrax sebagai lapangan terbang terbaik di dunia bagi 2025.
Itu bukan kali pertama, kedua atau ketiga Changi dipilih sebagai lapangan terbang terbaik di dunia, tetapi kali ke-13. Ia satu pencapaian besar bagi mana-mana negara sekalipun, mentelah Singapura, sebuah negara kecil yang dikeliling negara besar.
Pada 1998, Presiden Indonesia ketika itu, Encik B.J Habibie, berkata beliau tidak berasa Singapura adalah sahabat Indonesia, dan menambah dalam nada merendah-rendahkan negara ini: “Ia okey bagi saya, tetapi ada 211 juta orang (di Indonesia)... Tengok peta itu. Dan titik merah (little red dot) itu adalah Singapura. Tengoklah itu.”
Perdana Menteri Singapura waktu itu, Encik Goh Chok Tong, menggunakan istilah sama – little red dot – secara pintar apabila beliau tikam balas, iaitu menjawab dengan tepat lagi bijak, kenyataan Encik Habibie.
Pada 1997-1998, Asia dilanda krisis kewangan buruk dan banyak negara terkesan teruk. Encik Goh berkata kesan krisis tersebut ke atas Indonesia adalah satu “tragedi besar” dan Singapura akan membantu jirannya itu.
“Singapura akan membantu Indonesia dalam batas kemampuan kita. Kita adalah sebuah ekonomi kecil. Taraf kita tidak sama. Lagipun kita hanya tiga juta orang. Hanya titik merah kecil di peta. Mana ada keupayaan membantu 211 juta orang?” kata Encik Goh semasa berucap pada Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos 1998.
Selama bertahun-tahun kemudian, Encik Habibie cuba menjelaskan, tetapi tidak berhasil, bahawa beliau tidak bermaksud merendah-rendahkan Singapura. Ia bak kata jauhari, terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik, yang bermaksud sebelum mengeluarkan perkataan hendaklah berhati-hati, kalau sudah terlanjur tidak dapat ditarik balik.
Hubungan Indonesia-Singapura sekarang akrab, dan istilah little red dot akhirnya digunakan pemimpin dan rakyat Singapura dengan rasa bangga akan kemakmuran dan kejayaan negara ini walaupun dalam keadaannya yang terhad dari segi fizikal, dan oleh orang luar yang kagum akan pencapaian itu.
Alhamdulillah pemimpin Singapura – daripada generasi perintis hingga sekarang – berani dan tidak terhambat oleh kekecilan negara ini. Kecil-kecil anak harimau, meskipun kecil tetapi berani, kata orang tua-tua.
Pemimpin negara ini bak kata pepatah tunggang hilang berani mati, yang bermaksud ada sikap berani, atau tidak gentar, untuk menjalankan kewajipan terutama demi bangsa dan negara.
Keberanian mereka membawa kepada pencapaian besar bagi pulau kecil ini. Lapangan Terbang Changi antara contohnya.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata pemimpin perintis Singapura berani dan punya pandangan jauh untuk menyanggah pendapat pakar perunding, lalu memindahkan lapangan terbang dari Paya Lebar ke Changi. Akhirnya, tindakan berani mereka itu menjadi satu kisah kejayaan besar.
Benarlah kata yang arif, berani hilang tak hilang, berani mati tak mati, iaitu siapa yang berani akhirnya akan menang (berjaya), dan tunggang hilang, tak hilang, yang bermaksud siapa yang tetap hati (berani dan sebagainya) akan mencapai maksudnya.
Lebih sepekan, atau seminggu, lalu pula, Encik Wong merasmikan upacara pecah tanah bagi satu lagi langkah berani Singapura – membina terminal kelima Lapangan Terbang Changi.
“Seperti nenek moyang kita yang memilih untuk membina Changi, kami berani bermimpi besar dan bercita-cita tinggi hari ini,” ujar beliau.
Namun, pemimpin negara ini tidak bersikap berani senduk pengedang, air hangat direnanginya, iaitu berani membuta tuli, yang bermaksud membuat sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu (pengedang adalah senduk penceduk air panas dari periuk). Mereka berpandangan jauh, merancang bagi jangka panjang, menyelidik dengan teliti dan membangunkan sumber-sumber terlebih dahulu.
Apabila sudah siap dan bersedia, bak kata peribahasa apa kurang pada belida, sisik ada tulang pun ada, yang bermaksud cukup mempunyai segala yang diperlukan atau memenuhi syarat-syaratnya, barulah mereka bertindak membina (belida adalah ikan darat).
Masyarakat Melayu di negara ini juga harus berani, berpandangan jauh, bermimpi besar dan bercita-cita tinggi, daripada membiarkan diri dihambat saiz yang kecil dan keadaan sebagai kaum minoriti.
Apabila berniaga dalam negara, umpamanya, harus menganggap seluruh negara ini – bukan masyarakat Melayu sahaja – sebagai pasaran. Jika tertumpu pada kaum sendiri sahaja, ia bermakna menyempitkan pasaran, mengecilkan jumlah pembeli.
Kalau mengabaikan kaum lain, ia bererti melepaskan peluang dalam pasaran yang lebih besar. Akibatnya, usaha berniaga itu akan menjadi seperti aur ditarik songsang, iaitu pekerjaan yang sukar dijalankan kerana salah cara melakukannya. Keuntungannya pun akan terbatas. Ia seolah-olah ada sirih hendak makan sepah, iaitu ada yang baik hendakkan yang buruk.
Tetapi sebagai pembeli, walau orang Islam wajib mencari yang halal, tidak harus terbawa-bawa sangat dengan slogan ‘sokong peniaga Melayu’ hingga memulaukan peniaga lain. Slogan serupa itu didasari fikiran sempit, iaitu mempunyai fikiran yang cetek, atau sempit akal, iaitu pendek fikiran.
Bagi kaum minoriti, dengan jumlahnya yang kecil, slogan itu akhirnya boleh menjadi senjata makan tuan, iaitu senjata yang dipakai untuk mengenai orang lain tetapi mengenai diri sendiri.
Dalam negara berbilang kaum, dengan setiap orang saling bergantungan, kalau setiap kaum membantu kaum sendiri sahaja, cuma menyokong perniagaan kaumnya, ia bagai ayam berlaga sekandang, yang bermaksud berkelahi dengan orang serumah.
Jika berkelahi serumah, masakan dapat hidup sebagai di rumah induk bako, iaitu berasa aman dan tenteram (bako adalah sekelian keluarga daripada pihak bapa)!
“
“Dalam negara berbilang kaum, dengan setiap orang saling bergantungan, kalau setiap kaum membantu kaum sendiri sahaja, cuma menyokong perniagaan kaumnya, ia bagai ayam berlaga sekandang, yang bermaksud berkelahi dengan orang serumah. Jika berkelahi serumah, masakan dapat hidup sebagai di rumah induk bako, iaitu berasa aman dan tenteram (bako adalah sekelian keluarga daripada pihak bapa)!”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg